A D Z R I E L | 11

10K 673 25
                                    

     "DASAR anak tak tahu malu! Kau cuma tahu mengemis kat tepi jalan!"

     Zzap!!

     "Ayah! Sakit, ayah!"

     "Hati aku lagi sakit tengok kau pergi minta duit dekat orang lain!"

     Zzap!!

     "Ayah! Tolong, ayah! Sakit!"

     "Aku tak pernah ajar kau macam ni, Adzriel!"

     "Ayah sendiri tak pernah kisahkan Riel! Apa ayah kisah kalau Riel jadi pengemis pun?! Ayah sendiri cakap nak buang Riel dari keluarga ni!"

     "Diam, Adzriel Rafiq Syahputra! Kau memang dah kurang ajar sekarang!"

     Zzap!!

     Mata Adzriel terbuka luas. Siling bilik tetamu itu mendominasi ruang matanya. Dadanya berombak laju. Dia tercungap-cungap cuba mencari nafas.

     Laju Adzriel bangkit dari baringnya. Terasa ada linangan air yang mengalir dari dahi, terus dia mengesatnya. Peluh.

     Dia memerhati sekeliling. Apabila menyedari bahawa dia berada di bilik tetamu kampung Aqlan, Adzriel menghembus nafas lega.

     Adzriel menunduk, memerhati kedua-dua tangannya yang diletakkan di atas selimut yang menyelimuti tubuhnya. Menggigil.

     Mata dipejam. Kedua-dua tangan itu dikepal membentuk penumbuk. Cuba menahan rasa takut yang menggelumang di dalam diri kini. Dadanya yang berombak laju tadi semakin perlahan. Nafas ditarik dan dihembus berkali-kali. Cuba menstabilkan emosi dan perasaan.

     Kenapa? Kenapa perlu hadir lagi situasi itu dalam mimpinya? Apa lagi yang harus dia faham tentang itu?

     21 tahun. Sudah lama ia berlalu. Namun ia tetap menghantui hidup Adzriel.

     Teringat kembali mimpi tadi, tangan Adzriel kembali menggeletar hebat. Riak wajah Adzriel berubah takut. Sekali lagi, ia menghantui dirinya.

     "Anak tak guna!"

     "Kau tak sepatutnya lahir dalam keluarga ni!"

     "Lagi elok kalau kau keluar dari rumah ni!"

     Tubuh Adzriel pula mula menggigil. Kedua-dua kaki dirapatkan ke dada. Wajah ditundukkan sebelum kedua-dua tangan diangkat menekup sepasang telinganya. Seolah-olah cuba melenyapkan suara itu dari telinganya.

     Zzzap!!

     "Ayah! Cukuplah, ayah! Riel ni anak ayah!"

     Zzap!!

     "Ayah! Sakit!"

     Tubir mata Adzriel bergenang. Terngiang kembali suaranya ketika meraung dan merayu kepada sang ayah agar hentikan tindakannya. Terbayang kembali wajah ibu yang sekadar memerhati dari muka pintu.

     Ibu hanya tersenyum sinis.

     "Mulai hari ni, kau bukan keluarga ni lagi. Berambus dari rumah ni."

     Air mata akhirnya gugur dari tubir mata Adzriel. Perkara inilah satu-satunya dia tidak boleh tahan. Dia tidak kuat hadap perkara ini. Dia lemah jika melibatkan hal keluarganya.

     Ya, 21 tahun. 21 tahun hidupnya dikerumuni dengan perkara ngeri ini. Namun, apa yang dia boleh lakukan? Dia harus hadap semua ini.

     "Allah... aku.... aku kuat... aku kuat keranaMu, Allah..." Terketar-ketar bibir Adzriel cuba mengungkapkan kata-kata untuk menenangkan diri. Cuba memujuk diri sendiri.

𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | BAKAL TERBITWhere stories live. Discover now