“ siapa je tak sayang i kan? ”
◑ ◑ ◑
PLASTIK berisi tapau lut sinar dihulur pada Din dan Don. Pasangan kembar itu saling berpandangan sebelum memandang Aiden semula.
“Apa ni tuan?” tanya mereka serentak.
“Makanan. Awak berdua belum makan kan? Saya tapaukan balik dari masjid tadi,” balas Aiden.
“Eh, takpa tuan! Nanti kejap lagi kami pergi makan.” Don tolak perlahan plastik itu. Din pula sudah memuncung. Baru saja dia mahu capai plastik itu, tapi Don tepis tangannya.
“Ambil je... Ini tanda saya berterima kasih sebab awak berdua jaga keselamatan isteri saya.” Aiden hulur kembali plastik itu. Memang niatnya mahu membelikan makan tengahari untuk Din dan Don selepas pulang dari solat zohor di masjid. Jauh sedikit dari hospital ini.
“Mesti korang berdua penat kan berjaga depan wad ni...” sambungnya.
Sejak kejadian serangan terhadap Adella tempoh hari, dia dipindahkan ke hospital lain, yang sekarang dia berada. Kata Farhan, di sini lebih selamat. Kawalan juga semakin ketat. Dari luar sehingga ke dalam, ada saja pengawal tegap yang berdiri di setiap penjuru.
Mereka berdualah yang menjadi pengawal peribadi dan berjaga di depan wad Adella dari siang sampai ke malam. Selalunya makanan akan dihantar oleh Farhan sendiri. Terkadang dia kesian juga dengan sepasang kembar itu. Sampai perlu tidur di hospital semata-mata menjalankan tugas mereka.
“Tapi...” Din masih cuba menolak.
“Oh, awak takut dengan saya ke? Saya minta maaflah sebab cekik awak hari tu.” Aiden tertawa perlahan. Bergurau saja. Tapi dia pun rasa bersalah sebenarnya.
“Eh, tak! Err... sikitlah, hehe...” Din mengusap tengkuknya. Masih segar di ingatan kejadian itu. Timbul juga rasa gerun terhadap suami ketua mereka ini.
“Saya minta maaf ya? Saya tak berniat pun nak cekik awak hari tu. Saya cuma...”
“Takpa, tuan. Saya faham.”
“Ambillah... Dah penat tangan saya ni.”
“Hehe... Baik. Terima kasih, tuan.”
"Sama-sama."
Setelah itu, Aiden masuk ke dalam wad. Sebaik saja kakinya melangkah masuk, perasaan itu datang lagi. Perasaan yang sama setiap kali dia melihat wajah Adella yang tidak sedarkan diri. Aiden mendekati si buah hati. Senyum nipis terukir di bibir bersama jari yang mengelus lembut wajah mulus isterinya.
Seketika sebelum riak wajahnya berubah. Berapa lama lagi dia harus menunggu? Hatinya sentiasa meronta-ronta, tak tenang selagi wanita di hadapannya ini masih tertidur lena. Andai dia harus menunggu lebih lama lagi, dia akan kuatkan hati dan tetap setia di sisi Adella.
"Awak jangan risau. Saya tetap tunggu awak.” Katanya separuh berbisik. Dia mencium dahi Adella. Lama. Seperti memberi pesanan. Atau lebih tepat, supaya wanita itu tahu kehadirannya.
Saat dia menggenggam tangan Adella, dia merasakan tangannya digenggam semula. Aiden terkaku. Apa tadi tu? Matanya terus memandang tangan mereka. Beberapa saat menunggu dan tiada pergerakan langsung. Matanya mengendur. Mungkin perasaannya saja.
Tidak lama, tangannya terasa digenggam lagi. Mata Aiden terkedip-kedip. Dia pandang tangan mereka semula dan memang jelas tangan Adella bergerak-gerak. Dia terus berdiri mendekati wajah Adella.
"Adella?" Panggilnya perlahan. Mata Adella terbuka secara perlahan-lahan. Aiden terus tekan butang di kepala katil itu. Adella dah sedar!
"Adella..." Aiden usap ubun-ubun Adella. Tangan wanita itu juga dicium lama. Air matanya mula bertakung. Dia terlalu gembira. Berkali-kali dia memanjatkan syukur kepada Ilahi.
YOU ARE READING
Pengantin Last Minute
RomanceDari hanya menemani kawan ke majlis pernikahan, bertukar pula menjadi pengantin. Semuanya bermula apabila Adella menemani kawannya ke majlis pernikahan sepupu kepada kawannya itu. Dia pula yang menjadi pengantin dan berkahwin dengan Aiden. Apa yang...