Krek...
Daun pintu bilik tidur utama ditolak. Engsel yang sudah berkarat berbunyi mengisi keheningan ruang atas banglo usang yang telah lama ditinggalkan. Cahaya semula jadi menerangi. Bintik-bintik debu menari dalam sinaran matahari yang menyelinap melalui jendela yang tidak ditutupi dengan sebarang tirai.
Terbatuk-batuk dia tika habuk tipis berlomba-lomba memasuki salur pernafasan. Hidungnya juga kembang kempis menahan bau hapak dan bangkai tikus yang menyengat.
Masih terpegun di bingkai pintu. Dia ragu-ragu untuk melangkah ke dalam.
Tak sanggup rasanya. Ingatkan sudah cukup seksa menahan sengsara dek persekitaran ruang terbuka yang kotor dan berhabuk. Rupanya menahan energi asing dalam bilik tidak berpenghuni ini lebih menyeksakan jiwa. Menyesal pula menawarkan diri untuk naik ke tingkat atas. Sepatutnya dia kekal di bawah sahaja bersama rakan sekerja yang lain.
Hawa yang meruap dari bilik itu menghadirkan sensasi kurang enak. Seakan tidak dibenarkan masuk ke dalam oleh si kepala bilik.
Di dalam sana juga seolah diseliputi asap hitam tipis yang tak dapat dilihat oleh manusia biasa sepertinya tetapi dapat dirasai pada kulit tipis hingga menaikkan bulu roma.
Dingin dan seram. Atau erti kata lain berhantu. Ya bilik kosong itu berhantu.
"Oit, menung apa lagi Niyaz? Jom ah."
Niyaz terlonjak ke hadapan dan tanpa sebarang persediaan dia termasuk ke dalam bilik yang cuba dielak. Dia mengimbangi badan yang hampir menyembah dasar dan kembali berdiri tegak.
Seorang lelaki tanpa memperdulikan riak wajah bengang Niyaz melangkah santai ke dalam bilik tersebut. Malah ia takjub mengamati ruang bilik yang dua kali lipat besar dari bilik tidur miliknya.
Bilik tidur utama itu lengkap dengan perabot kayu. Di tengahnya ada katil bersaiz king. Sudut kiri ada sebuah rak yang tersusun buku-buku yang tidak Zayid ketahui jenis dan kandungannya. Di sisi rak ada meja kerja yang masih kukuh dan tersusun bingkai-bingkai gambar pemilik rumah yang kusam serta habuk tebal manakala di sudut kanan terdapat almari pakaian besar setinggi lelangit bilik dan juga bilik mandi yang tertutup rapat.
Dari pengamatan Zayid, ia dapat simpulkan pemilik bilik tidur ini pengemar perabot kayu asli, tengoklah walaupun bilik ini tidak dihuni separuh dekad, perabotnya masih utuh dan berguna cuma sayangnya ruangan ini tidak lagi berseri dan perabot yang sedikit kusam memberi kesan menyeramkan.
Puas menilik, Zayid keluarkan talefon dan mula mengambil gambar setiap sudut bilik.
Niyaz juga turut mencatat beberapa detail yang dia berjaya dapatkan dari permerhatian ke sehelai kertas yang terselit di papan keratan. Bermula dari jenis lantai, lapisan terakhir dinding, jenis barang elektrik yang ada dan beberapa input yang lain. Semua informasi ini akan digunakan semasa sesi pengiklanan.
"Hemm. Emmmm... Ni...Yaz."
Gerakan mata pen pada kertas terhenti.
Niyaz angkat kepala dan mencari susuk Zayid yang membelakangi. "Kau cakap apa tadi?"
Zayid membidik gambar yang terakhir. "Bila pula aku cakap?" Dia menoleh ke arah Niyaz.
"Tak lawak Zayid," marah Niyaz. Sudahlah dia seram sejuk dari tadi, Zayid pula tak nak mengaku.
"Aku tak tipu Niyaz." Zayid turunkan telefon dan menampakkan roman mukanya.
Mereka saling bertatapan.
Dari air muka Zayid jelas menunjukkan lelaki itu tidak menipu.
Zayid dari tadi licah bergerak dari satu posisi ke satu posisi memotretkan keadaan bilik tanpa mengeluarkan sebarang suara. Hanya saja kasutnya yang berbunyi dek memijak permukaan keras lantai kayu.
YOU ARE READING
C| MANUSKRIP
Horror[PARANORMAL + SLIGHT ROMANCE] Kerana sebuah manuskrip mereka dincar oleh makhluk tak kasat mata yang mahukan keadilan akan kematiannya. Seorang memanggil. Seorang mencari. Dan dia pula... telah lama menanti manusia serakah yang mahu menentang dan...