Halaman demi halaman diselak. Kata demi kata dibaca. Niyaz kembali menelusuri dunia fiksyen berkenaan Kejora, Aren dan Jiwa. Larut dalam pembacaan hingga tingkat bawah rumah Semi D yang mulanya riuh dengan suara perbualan antara Khafi dan Naail, kini sepi dan meninggalkannya seorang diri.
"Sakit otak aku," mengeluh Niyaz. Novel dihentak ke meja. Lagaknya seperti seorang editor. Sibuk mencatat persoalan dan isi penting tiap babak yang dibaca.
Sehelai kertas A4 dikeluarkan lagi setelah kertas yang digunakan itu penuh dengan tulisan tangan miliknya.
Kertas yang siap bertulis Niyaz tindan di bawah bekas pen. Kertas-kertas itu akan diserahkan kepada Alanna pada pertemuan mereka nanti.
Pada ketika itu, Jiwa akan dipanggil dan diajak berbual. Alanna pula akan mengajukan persoalan-persoalan yang telah Niyaz ciptakan dan Jiwa perlu menjawab serta menjelaskan perkara yang sebenarnya di sebalik kisah Kejora. Menyampaikan cerita yang sebenarnya. Setelah semuanya sudah terungkap, tugasnya sebagai media buat Alanna akan berakhir.
Dia juga boleh terus melaksanakan misi mencari jasad Jiwa yang kononnya masih ada di Teratak Kejora. Semadikan dengan selayaknya dan perjanjian antaranya dan Jiwa akan terlerai. That's all. Itu semua perancangan hebat Niyaz buat masa sekarang.
Namun, ingin mencapai semua itu tidak mudah. Dalam semangat yang membara ada satu halangan yang menganggu sedari tadi. Makin memaksa diri untuk menghabiskan pembacaan novel semakin sulit dirasakan.
Ktak! Ktak!
Niyaz bermain dengan batang pen. Diketuk-ketuk ke meja. Kelopak matanya berat semacam. Makin lama makin mengecil sebelum kepala rebah ke meja.
"Mengantuk aih." Niyaz menguap.
Angin sejuk dari pendingin hawa yang terpasang mendorong untuk terus mengulit diri ke alam mimpi. Hampir saja Niyaz terlelap sebelum batang pen dilepaskan kasar dan segera dia beranjak dari kedudukannya.
Tubuh dilenturkan hingga tulang-temulang berbunyi. Dalam masa yang sama dapur yang gelap-gelita dipandang.
Tiada pilihan. Dia perlu membancuh air manis dan membasahkan tekak agar kembali segar. Lambat-lambat Niyaz ke dapur bersama novel. Sambil berjalan dia meneruskan pembacaan.
***
Kejora
Keratan Bab 31.
Matanya perlahan-lahan terbuka. Sirna cahaya menusuk ke dalam retina. Pandangannya kabur. Kepalanya berat. Belakang lehernya perih dan melekit.
Aren cuba mengerakan jari-jemarinya. Tangan yang mahu diangkat ke dahi yang berdenyut tidak bisa bergerak. Berkali-kali dia cuba masih gagal dan pergelangan tangannya perih. Saat dia jatuhkan pandangan ke bawah. Aren baru tersedar yang kaki dan tangannya terikat dengan seutas tali.
Satu umpatan lolos darinya. "Holy shit. He's crazy."
"Rumah aku sendiri?" gumamnya. Aren cam tempat ini. Bilik kecil ini bilik simpanan barang yang terletak di hujung dapur. Bererti dia sekarang berada di rumah sendiri.
Krek...
Pintu dibuka dari luar. Sepasang kasut kulit ditangkap dari ekor mata. Aren mendongak melihat ke arah pintu. Saat terpandangkan satu susuk laki-laki di sana Aren berasa kecewa.
"Ji... Jiwa?" Nama yang tak asing baginya itu disebut. Memanggil seorang lelaki yang sedang berdiri tak jauh darinya itu. Dalam waktu yang sama Aren berharap itu orang asing dan bukan Jiwa.
Bukan Jiwa Aditya yang dikenalinya. Bukan remaja lelaki yang seusia dengan arwah isterinya, Kejora. Bukan tukang kebun teratak mewah ini dan bukan orang kepercayaan Aren selama ini.
ANDA SEDANG MEMBACA
C| MANUSKRIP
ParanormalUnedited version (may contain typos, repetition, and messy structure 𝐓𝐮𝐧 𝐒𝐞𝐫𝐢𝐞𝐬: 𝐓𝐮𝐧 𝐍𝐢𝐲𝐚𝐳 𝐊𝐡𝐚𝐥𝐢𝐟 [PARANORMAL + SLIGHT ROMANCE] "Ketakutan akan membunuhmu. Pertahankan jiwa dan ragamu wahai manusia. Jangan bagi celah untuk aku...
