10| Hancur

1.1K 93 27
                                    

Sebelum matahari terbenam sepenuhnya lagi Niyaz sudah sampai di pondok kecil nan hangat kepunyaan Khafi. Tempat berpulang setelah mereka bertiga berhempas-pulas mencari rezeki. Rumah hangat yang sentiasa menenangkan hati yang gusar.

Niyaz tiba dengan membawa makanan wajib dari Melaka yang selalu menjadi kegemaran Naail, Asam Pedas. Awal-awal lagi Niyaz sudah menghantar pesanan kepada Naail dan Khafi agar tidak membeli makanan makan malam kerana dia sudah siapkan untuk mereka bertiga.

Niyaz pakirkan keretanya di sebelah motosikal berkuasa tinggi Khafi yang sudah tersadai di garaj manakala kenderaan Naail masih tidak kelihatan, mungkin abangnya sorang lagi sedang bertarung dalam kesesakan lalu lintas.

Tingkat bawah sepi, hanya lampu di ruang rehat yang sengaja dibiarkan terbuka sebagai sumber pencahayaan.

Niyaz tinggalkan bungkusan lauk di atas meja makan lalu menapak ke dapur. Periuk yang berada di tempat tiarap pinggan diambil lalu dibawa ke kabinet dapur. Dua cupak beras dimasukkan ke dalam periuk dan dia mula membasuh beras. Setelah yakin beras betul-betul bersih barulah Niyaz mengukur air dan tinggalkan di periuk nasi elektrik.

Selesai hal di dapur, Niyaz naik ke atas ingin membersihkan diri, badannya sudah masam dan melekit kerana peluh. Tanpa berlengah, Niyaz
ke bilik air seusai masuk ke dalam kamarnya. Perut yang bergendang menyingkatkan waktu berendam, selalunya memakan masa hampir 20 minit kali ni 10 minit saja.

Dengan siulan kecil dan wajah yang kelihatan lebih segar berbanding tadi, Niyaz ke kamar Khafi yang berada di hujung sekali pula. Mahu menganggu abang garangnya sementara menanti Naail. Daun pintu kamar Khafi yang tidak tertutup rapat di buka cukup-cukup untuk dia lalu.

Saat kaki ingin ke dalam. Bantahan Khafi menghentikan niat Niyaz. Terus dia tarik semula daun pintu dan menyorok di sebaliknya. Menyandar sebahagian tubuh di permukaan manakala kepala dirapatkan ke celahan pintu yang terbuka. Memasang telinga dan mata akan perbualan dua abangnya itu dengan hati yang berdebar-debar.

"Niyaz tak gila Naail." Khafi membentak lagi.

Di sebalik pintu berona pintu terdapat Naail dan Khafi yang saling bertikam lidah. Di bucu dinding ada Naail yang sedang duduk di kerusi kerja milik Khafi manakala di hujung katil ada Khafi yang sedang berdiri sambil menyilangkan tangan ke dada.

Aura yang merembas di sekitar mereka kelam dan gelap. Masing-masing dengan ego dan pendirian sendiri hingga tercetak jelas pada roman muka masing-masing, tegang dan serius.

Naail raut muka. Dia bersandar lemah pada kusyen tipis itu. "Aku tak cakap adik gila Khafi. Aku cuma cakap adik kemungkinan ada masalah berkait dengan mental. Apa yang susah sangat hang nak faham ni?"

Dari menyilang ke dada, Khafi turunkan tangan ke sisi. Kepala mengeleng, tak percaya yang Naail berani simpulkan satu fakta yang agak keterlaluan. "Hang ka aku yang tak faham sekarang ni? Hang mengarut apa cakap adik aku ada masalah mental? Hang siapa nak diagnosed dia macam tu? Niyaz adik aku tak ada masalah mental Naail. Hang yang mental," bidas Khafi, panas hati dia dengan Naail. Bergetar tulang-temulang menahan baran yang makin lama makin menguasai tubuh.

Naail tolak kerusi ke belakang hingga mengenai dinding lalu bangkit berdiri. "Duduk dulu Khafi, minum dulu. Aku datang jumpa hang ni nak sembang cara elok bukan cara macam ni." Setapak demi setapak dia hampiri Khafi yang mahu meletus. Bukan cara ini yang dia mahukan, mereka sepatutnya berbincang secara baik dan bukan bertengkar.

"Aku tak akan tenang kalau hang tak tarik balik ayat hang." Khafi juga mendekat. Ringan tangan ingin meninju wajah si abang.

"Aku nak tarik apa? Aku tak salah langsung!" Naail juga ada barannya. Makin lama dia juga makin hilang sabar dan tanpa dijangka nada yang tertahan mula meninggi dan mengatasi Khafi.

C| MANUSKRIPWhere stories live. Discover now