49| Hud Khafi

5.9K 363 42
                                        


       Motor berkuasa tinggi berwarna hitam mati itu
perlahan-lahan berhenti di luar pagar Tanah Perkuburan Islam. Khafi melepaskan helmet full-face dari kepalanya. Kemudian termenung sebentar, bingung melihat jeriji pagar kuning yang mengelilingi kawasan perkuburan itu.

Dia tidak pernah merancang untuk datang ke sini. Sebenarnya, dia dalam perjalanan ke D'umai untuk membantu Abang Daiyan melakukan persiapan majlis tahlil dan kesyukuran sempena pembukaan cawangan baru D'Umai. Namun, entah bagaimana fikirannya berkelana sepanjang jalan dan tanpa disedari dia sudah tiba di tempat yang selalu dia hindari.

Khafi memandang cermin sisi motornya, melihat bayang hitam yang menemani sejak dia keluar dari rumah. Lama dia merenung pantulan itu, ada perdebatan yang berlaku antara mereka. Akhirnya Khafi mengalah. Dengan malas dan terpaksa dia turun juga dari motosikal.

Khafi menolak pagar besi yang sudah karat itu, sekadae cukup untuk membolehkan tubuhnya yang tegap melepasi. Suara derit pagar yang tua itu bersatu dengan kesunyian di sekitar. Tiada sesiapa di sana, hanya dia seorang saja yang kurang siuman datang waktu rembang begini.

Dia berjalan melalui lapangan nisan yang berbaris rapi. Berhati-hati agar tidak melangkah mana-mana kubur yang ada. Mengarah ke satu pusara yang dikenali, terletak di bahagian kiri, di kawasan jenazah lelaki. 

"Assalamualaikum." Khafi ucap sebaik saja tiba di hadapan pusara yang dihiasi dengan bata merah yang disusun condong mengelilingi pusara dan batu-batu sungai berwarna putih yang ditabur menutup permukaan tanah pusara tersebut.

Dia bertinggung di sisi kubur itu, tangan terangkat ke dada, bibirnya terkumat-kamit membaca surah Al-Fatihah dengan niat bacaan itu disedekahkan kepada si mati dan ahli-ahli kubur di sini.

Beberapa saat terlewati sebelum Khafi meraup wajahnya dengan kedua tangan, menarik nafas dalam-dalam menenangkan hati yang sedikit terusik. Dia kemudian membuka botol air mawar yang sempat dia beli dari rak kayu di depan pagar tadi. Dengan perlahan dia menuangkan air tersebut ke atas batu nisan di bahagian kepala pusara, membilas debu-debu halus yang melekat di permukaan nisan itu. Sisa airnya dia tumpahkan ke tanah pusara, membiarkan air meresap ke dalam.

"Apa khabar? Mesti rindu aku kan?" Khafi menegur, tangannya sibuk mengutip daun-daun kering yang terperangkap di antara batu-batu sungai. Membersihkan pusara yang sekian lama tidak dirawat.

"Maaf lama aku tak datang jenguk dan bersihkan rumah hang ni. Aku nak datang tapi ada banyak halang yang menganggu sampai aku susah nak datang singgah jenguk hang dekat sini," ujarnya. Berbual dengan nisan yang tak bernyawa. Berharap kata-kata itu sampai kepada si mati di bawah tanah sana.

"Tapi jangan sedih. Kami tak pernah lupa hang. Doa kami untuk hang tak pernah putus. Ramai yang mendoakan dari jauh berharap hang di sana sentiasa dalam keadaan baik, terhindar dari azab kubur dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Jadi jangan rasa sunyi kalau tak ada siapa datang melawat. Doa kami selalu menemani hang di sana." Khafi menyudahkan kerja pembersihan. Setelah dirasa pusara itu sudah bersih dan kemas baru dia mengangkat punggung dan berdiri. Sambil membersihkan punggungnya dari tanah yang melekat, dia merenung nisan itu buat kali terakhir.

"Aku tak boleh lama. Aku ada kerja lepas ni. Aku balik dulu, nanti aku datang sini lagi.... Assalamuailakum." Usai bercakap Khafi mengundur diri dan meninggalkan pusara itu.

Sampai di luar, dia menutup pagar karat itu semula. Suara desahnya mengiringi langkah yang terasa semakin panas di bawah terik mentari. Khafi menyedekap tangan di dada, matanya tajam merenung makhluk yang kini sedang bertenggek di atas motosikalnya

"Dah puas hati? Balik jangan ganggu aku lagi." Dingin Khafi menghalau.

"Hang boleh mai sendiri kan kenapa nak minta tolong aku jugak mai tengok dan sampaikan pesanan hang tu. Apa tak ada manusia lain yang boleh tolong hang jugak ka? Tak dapat nak pi kacau adik aku, hang mai kacau aku pulak." Khafi membebel sendiri. Tangannya melibas angin cuba mengusir makhluk itu dari terus berada di atas motosikalnya.

Hilang makhluk itu dari pandangan, Khafi segera melompat ke atas motosikal, buru-buru menghidupkan enjin. Dia sudah terlambat ke D'Umai. Namun, ketika helmet hampir disarungkan ke kepala, tiba-tiba bahunya terasa dipaut dari belakang. Berat seolah-olah menanggung beban hingga membuatkan tubuhnya membongkok sedikit dan seluruh badannya merinding.

"Kakang." Garang Khafi menyeru nama makhluk degil itu. Dia menggenggam lengan berbulu kasar itu dan cuba menyingkirkan tangan kakang dari bahunya.

"Hang ni nak mampus dengan aku agakmya."

Kakang mengekek suka.

"Terima kasih manusia angkuh." Suara kasar itu sayup-sayup di cuping telinganya. Cengakaman di bahunya juga mengendur dan dalam sekelip mata beban itu lenyap dan bahunya kembali ringan.

"Hang berhutang dengan aku, Niyaz," gumam Khafi.

Tanpa menoleh lagi, Khafi menyarungkan helmet dengan cepat dan memulas gas, meninggalkan tanah perkuburan itu. Menuju ke destinasi yang sepatutnya dan berharap ini kali terakhir dia membereskan kekacauan si adik.

 Menuju ke destinasi yang sepatutnya dan berharap ini kali terakhir dia membereskan kekacauan si adik

Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
C| MANUSKRIPTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang