09| Penjelasan Airen

9.1K 445 22
                                        

      Seawal 7.30 pagi Niyaz bergegas ke pejabat dan menjemput Airen di sana untuk membawa budak intern itu menemaninya ke Alor Gajah, Melaka berjumpa dengan bakal pembeli atas urusan jual beli rumah yang dia pasarkan di laman sesawang tempoh hari.

Mereka sepatutnya bertolak lebih awal tetapi rancangan Niyaz hancur gara-gara dia terbabas. bangun lambat. Kelam-kabut dia menyiapkan diri dalam masa 20 minit hingga tidak sempat bersarapan bersama Khafi yang sudah menyiapkan sarapan untuknya.

Mana lagi badan dia mula sakit-sakit, pegal seperti dihentam besi bersama fikiran yang kusut dan kantuk yang masih menguasai. Semua itu buatkan mood dia pagi hari ini, berantakan. Ikut rasa malas, Niyaz mahu ambil MC, malas kerja dan mahu berguling atas katil tapi mengenangkan sudah buat temu janji
dengan bakal pembeli sejak seminggu yang lalu, hendak atau tidak dia terpaksa tempuh juga hari yang panjang ini.

"Encik okay?" Airen menyoal.

Tak semena-mena Niyaz memekap mulut, menguap terus dia sambil itu dia kerling Airen yang sedang santai menyilang kaki di sebelah tempat pemandu.

Iri betul Niyaz dengan Airen. Gadis itu dari tadi seolah teruja dan seronok betul dapat ikut dia ke Melaka sampaikan Airen tak duduk diam dari tadi, ada saja kerja minah pendek ni. Pasang lagu jedag jedug di radio la, layan Tik Tok sampai terbahak-bahak la, kunyah jajan macam tak makan sebulan la, sekarang dah mula ajak dia bicara pula.

Berat betul mulut Niyaz ingin membalas. Dia makin penat dan perjalanan mereka masih berbaki 70km. Tenaganya harus disimpan untuk sesi rundingan nanti.

"Encik, kalau encik tak larat nak drive saya boleh tolong bawakan kereta." Airen tawarkan diri. Dia regangkan badan yang mula lenguh, bosan juga jadi passenger princess Niyaz, dari tadi Niyaz diam membisu hingga dia terpaksa berusaha semangatkan Niyaz tapi semua usaha dia gagal. Jadi, tawarkan diri sebagai driver adalah usaha yang terakhir.

"Aku okay Airen, aku nampak macam tak larat sangat ke nak drive?" Niyaz turunkan sebelah tangan ke paha, membiarkan tangan kanan mengawal stereng manakala kaki mengurangkan kelajuan kereta dan biarkan kenderaan di kelajuan sedang. Penat bawa kereta kalut-kalut lagipun ada lagi dua jam sebelum temu janji.

"Encik nampak macam mayat yang baru dihidupkan semula," ujar Airen.

Niyaz tercekik ludah. Cepat-cepat dia curi pandang wajahnya pada cermin pandang belakang sekilas.

Betul.

Wajah dia dah macam mayat dan tidak berseri. Bibir merah bak delima yang selalu buat rakan sekerja perempuan di pejabat cemburu tampak pudar, itu belum masuk pakej lingkiran hitam bawah mata seperti kena tumbuk. "Hodohnya aku," gumam Niyaz perlahan.

Airen yang menyisip air kopi hampir tersembur tika menangkap gumaman Niyaz. "Encik pergi hunting ke semalam? Macam tak cukup rehat je?"

"Bukan pergi hunting, aku yang kena hunting semalam," selamba Niyaz balas. Dia tak cari hantu, hantu cari dia sampai ke alam mimpi. Mimpi dalam mimpi, semuanya bagai realiti sampai bagi impak besar kepada dia.

Seminit.

Dua minit.

Tiga minit.

Airen masih diam. Dahi berkerut, hidung digaru sambil mengasah otak memahami jawapan Niyaz dan tiba-tiba dia menampar paha kuat hingga Niyaz terkejut dan hampir menekan hon.

"Kau ni kenapa?" Marah Niyaz, dia usap dada. Boleh sakit jantung dia dengan tindakan rawak Airen.

Airen tayang gigi putihnya. "Maaf-maaf, otak saya baru berfungsi dan faham maksud encik tadi."

C| MANUSKRIPTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang