13| Lewat

1K 82 28
                                    

Bunyi lolongan anjing belaan dari sebuah rumah berhadapan kediaman Semi-D kepunyaan Khafi menular ke anjing-anjing di sekitarnya. Saling bersahutan dari sebuah rumah ke sebuah rumah lain. Menggemparkan satu lorong perumahan yang tadinya sunyi.

Anjing-anjing itu seolah terancam akan sesuatu yang sebenarnya tidak ada. Menyampaikan mesej kepada manusia akan petanda kurang baik. Kecemasan sang haiwan disusuli dengan cahaya abu dari sang langit yang diselimuti oleh kabut tipis. Merembaskan cahaya remang purnama. Membuatkan seseorang yang sedang berusaha tenang dalam kenderaan yang sudah dimatikan enjin diundang gelisah.

Jangan balik lewat malam.
Jangan balik pukul 3.

Terbit penyesalan melanggar pantang larang yang selalu Khafi tekankan kepadanya. Ini kali pertama dia pulang lewat seorang diri. Bukan sahaja gerun menempuh ujian penuh liku di luar tetapi juga gerun menghadap si kepala rumah. Boleh naik hantu si Macan garang itu jika dia terkantoi. Pernah suatu ketika dulu, Naail dihalau dari rumah bila Khafi sedar kepulangan abangnya bukan berseorangan tetapi berdua dan sejak itu peraturan itu muncul dan hari ini masa Niyaz pula buat hal. Dia tahu dia tak berseorangan.

Anjing jadi saksi.

Dia termenung jauh memikirkan nasib badan. Dari semangat mahu segera bertemu kasur empuk yang melambai-lambai menanti kehadiran kepala bilik, terus memudar bila kepulangannya disambut dengan sesuatu yang tak dijangka.

"Hang boleh. Selamat punya malam ni." Pipi ditepuk-tepuk. Kata perangsang dilontarkan memberi semangat kepada diri.

Dengan lafaz Bismillah dan berbekalkan sedikit semangat. Niyaz keluar dari kereta dan berlari ke pagar rumah automatik yang sudah terbuka separuh dengan bantuan alat kawalan jauh yang dia picit sebelum keluar dari kereta disertai lolongan anjing mengiringi setiap gerak kaki.

Pintu grill besi dibuka pelan. Setiap perbuatan yang diambil dibuat dengan berhati-hati kerana tidak mahu kepulangannya disedari oleh Naail atau Khafi yang kemungkinan masih berjaga tetapi entah mana letak salahnya, mangga dan gugusan kunci terlepas dari pegangan dan jatuh menghentam lantai. Membingitkan.

"Hang saja kan? Saja nak buat jatuh macam ni. Nak bagi depa bangun la tu," omelnya. Geram dia. Kalau tak pikirkan dia perlukan kunci untuk membuka gerbang utama, sudah dia sepak mangga dan gugusan kunci ke sistem saliran air tak jauh dari situ.

Dengan buru-buru Niyaz menunduk. Tangan yang terjulur mahu mengambil mangga tak jauh darinya kejung serta-merta. Dengan gerakan amat perlahan, kepala diangkat sejajar dengan postur tubuh. Anak mata bergerak ke hujung dan tak sampai sesaat, kembali ke titik asal.

"Bencilah." Niyaz membentak.

Satu kain putih di hujung tembok berdekatan kereta Naail, tertangkap sempurna. Masih terpacak di sana sama seperti pertama kali dia sedar akan kehadiran si dia. Dan niyaz pasti itu bukan pakaian yang tergantung di ampaian kerana dia tahu abang-abangnya tidak pernah membiarkan pakaian mereka di luar melebihi waktu senja.

Bau bunga harum yang tercium mempercepatkan pergerakan Niyaz. Dari terkaku dia paksa tangan kembali berkerja, merampas kunci dan mangga selaju yang mungkin dan tangan yang bergetar tak menghalang untuk dia menujah kunci dalam tombol dengan kelajuan pesat.

Kasut ditanggalkan dan dilempar ke luar. Tanpa salam Niyaz meluru masuk dan membanting pintu kayu sekuatnya. Melorot tubuh mencecah dasar. Peluh dingin berjurai turun ke serata wajah disusuli dengan nafas pendek.

Memang patutlah angah tak bagi aku balik lewat!

Dalam sibuk menenangkan diri, satu deheman kasar berpusar di udara menghantar isyarat bahaya kepada si kecil yang ketakutan. Seakan baru tenggelam dalam kolam ais yang bersuhu negatif, setiap sendi kematian fungsi dan mengeras. Sejuk. Beku.

C| MANUSKRIPWhere stories live. Discover now