03| Untuk Adik

1.7K 83 18
                                    

"Ukhruj ya Aduwallah, keluarlah wahai musuh Allah." Satu pukulan sederhana kuat mendarat di atas tulang belikat Niyaz. Ayat ruqyah dan arahan berselang-seli meniti di bibir Naail bersama paksi niat yang teguh kepada Allah, memohon kesembuhan buat adiknya dari jeratan gangguan anasir jahat.

Terkotak-katik Niyaz yang berada di hadapan Naail. Sesekali dia membekap mulut menahan rasa mual yang bertandang.

"Khafi bekas."

Semakin lama semakin sukar Niyaz menahan isi perut yang mahu keluar, menunggu Khafi memberikan bekas muntah lagi menyeksa kan dari menahan kesakitan yang menjalar di titik-titik tubuh yang menjadi sasaran Naail sedari tadi.

Dari kejauhan, kedengaran keadaan ribut di dapur. berdentang-dentang bunyi barangan yang diselongkar oleh Khafi.

"Mana pula ni," berdecit Khafi. Dari satu kabinet ke satu kabinet dia buka dan yang dicari masih gagal ditemui. Bekas yang selalu bersepah di tempat terap pinggan dan dalam kabinet, hari ini lesap.

"Cepat angah," gesa Naail saat Niyaz sudah pun terjeluak. Risau kalau terlambat sikit lagi, berbekas lah permaidani mahal Khafi dengan kotoran.

Makin kalut Khafi di dapur, dirembat sahaja mangkuk kaca dari atas kabinet lalu terkocoh-kocoh keluar dari dapur. Licah dia melapik permukaan dalam mangkuk itu dengan plastik yang sempat dia gapai. Kemudiannya, diletakkan di celah lipatan peha Niyaz.

Niyaz makin menekur ke bawah, merapatkan wajah di bibir mangkuk. Tangan yang tadi membekap mulut mengepal membentuk kepalan tangan dan menumbuk-numbuk permaidani.

"Yang berada di perut, yang berada di dada, yang ada di setiap salur darahnya keluar dan jangan lagi menetap di tubuhnya." Naail yang berada di atas sofa sedikit membongkok dan merapat pada belakang tubuh Niyaz. Tangan kiri menyelit di celahan lengan Niyaz dan mendarat di perut leper Niyaz.

Niyaz rasa makin sakit dan senak. Tepukan demi tepukan dari Naail di perutnya begitu menyeksakan. Naail memaksa mereka yang bersarang tanpa kebenaran keluar meninggalkan dirinya melalui saluran rongga mulut.

Isi perut makin melonjak-lonjak naik ke atas dan tersekat di saluran rengkung hingga dia terbatuk-batuk.

"Keluarkan Niyaz jangan tahan," arah Naail dengan tegas.

Ketika Naail melalukan tangan dari perut ke dadanya, Niyaz tidak lagi dapat menahan. Dia terus terbatuk keras dan memuntahkan lendir tak berwarna ke dalam mangkuk.

Naail memicit-micit leher Niyaz, membantu melancarkan proses pengeluaran manakala lendir-lendir yang berjejeran di pinggir bibir dan melekat di bawah dagu Niyaz itu Khafi lap dengan tisu basah.

Setelah beberapa minit berlalu dan terasa tubuh sedikit ringan Niyaz kembali tegak dan bersandar pada kaki Naail, mengatur nafasnya agar kembali teratur seperti sediakala.

Naail pula berehat sejenak, mengumpul sedikit tenaga sebelum dia melaungkan azan.

Mendengar lantunan suara indah berserta sebutan jelas dan tepat yang memenuhi setiap ruangan hadapan rumah Khafi itu menenangkan Niyaz. Rasa gundah dan gelisah bagai hilang sekelip mata.

Sebutan kalimat suci yang terakhir menjadi penutup proses rawatan yang dilakukan kepada Niyaz. Niyaz yang jelas terlihat baik-baik sahaja memberitahu segalanya telah berjalan dengan lancar.

Sesudah itu, Naail merehatkan diri pada kusyen. Melepas lelah, rawatan yang hampir memakan masa sejam itu nampak mudah dan tenang tetapi menguraskan tenaga dalamannya, apatah lagi apabila harus berurusan dengan makhluk-makhluk halus.

C| MANUSKRIPWhere stories live. Discover now