"Dia Dudaku ni best. Aku dah re-read tiga kali."
"Ye ke? Aku baca bab 5 terus NDF, hampeh je ceritanya, hype je lebih."
"Haish kau ni, taste orang tua agaknya. Orang lain okay je bacanya."
Sayup-sayup perbualan dua orang perempuan asing menguar ke udara dan mengetuk gegendang Niyaz yang berada di lorong bersebelahan mereka.
Menghiraukan bicara asing, pemuda berpakaian kemas dan bertali leher merah itu berjongkot di hadapan rak novel Bahasa Melayu bergenre seram dan misteri. Novel-novel yang tersusun kemas mengikut rumah penerbit, abjad dan masih berbalut plastik membuatkan ia berbinar-binar, tambahan lagi bila ilustrasi muka hadapan novel terlihat begitu menawan dan seolah menghasut dirinya untuk melaburkan sejumlah wang untuk novel-novel tersebut.
Niyaz mencuba menahan nafsu yang bergelojak. Dia sedaya upaya berusaha tenang dan tidak terikut dengan godaan syaitan. Oleh itu, dia keluarkan alat komunikasi dari kocek, mengambil novel dari rak secara rawak. Membelek muka hadapan novel, membaca sisnopsis yang bercetak di kulit belakang kemudian ia beralih ke telefon yang sudah terpapar laman Goodreads.
Bagi mengelakkan diri dari membazir, Niyaz perlu bersabar dalam memilih. Satu-persatu ulasan daripada pembaca berkenaan buku yang berada dalam pegangan itu dibaca.
"2.5 average rates. Aku menyesal beli, penulisan karut. Penulis tutup penulisan buruk dia dengan cover cantik!" Niyaz kembalikan novel itu ke tempat asal. Hilang minat dia bila terbaca review buruk, Nasib dia tak teracun dengan muka hadapan cantik itu, kalau tak menyesal tak sudah.
Niyaz ambil pula sebuah novel yang berada di sebelah novel yang dia singkirkan dari list to buy. Novel itu juga melalui proses yang sama seperti tadi.
Menjadi seorang pembaca harus bijak memilih bahan bacaan dan Niyaz selalu terapkan dalam diri agar dia tidak akan terbeli bahan bacaan yang karut dan membuang duit pada bahan bacaan sia-sia yang tidak memberi nilai baik, kerana pada akhirnya novel sampah itu akan berakhir ke dalam tong sampah biliknya.
"She is such a great writer. Dari dulu lagi saya suka karya dia dan semuanya tak pernah mengecewakan. Korang wajib beli dan baca semua penulisan Alanna. Untuk novel baru ni saya bagi 4.5 bintang, tolak 0.5 sebab watak saya suka mati." Niyaz terus menatal layar, mencari lagi ulasan-ulasan novel Alanna.
Diambilnya satu lagi novel daripada penulis yang baru dia ketahui kewujudannya.
"3.9 average rates. not bad," gumam Niyaz. Novel kedua itu, Niyaz letak atas peha lalu diraih novel berjudul lain tetapi masih daripada penulis yang sama. Niyaz mulai terpikat dengan karya penulis itu walaupun dia hanya membaca blurb dan ulasan saja dan sedar tak sedar dah lima novel tersusun di atas peha.
Dalam leka memilih. Satu suara asing memecah keheningan dan menusuk ke dalam pacaindera hinggakan Niyaz terkesiap hingga kesemua novel di atas peha bertaburan ke lantai.
"Peminat Atma Alanna ke?"
Niyaz berpaling ke arah punca suara asing itu berasal.
Berjarak beberapa meter dari tempatnya berjongkot, seorang wanita lingkungan 50-an berdiri menelisik dia atas bawah bersama senyuman mengembang di bibir. "Terkejut ya? Maaf."
Niyaz meliarkan pandangan. Mencari susuk manusia di sekitar mereka. Tiada sesiapa, hanya dia dan wanita berusia itu.
"Acik cakap dengan saya ke?" tanya Niyaz sambil menunding jari ke diri sendiri.
"Acik cakap dengan awak la, tak akan acik cakap dengan perempuan putih belakang awak pula," selamba wanita tua itu, dia menjuih ke belakang Niyaz.
Niyaz serempak menggerakkan kepala hingga terhenti
di bahu kiri, dia berusaha mengerling ke belakang. Mulut cabul mak cik asing berjaya mengundang debaran.
YOU ARE READING
C| MANUSKRIP
Horror[PARANORMAL + SLIGHT ROMANCE] Kerana sebuah manuskrip mereka dincar oleh makhluk tak kasat mata yang mahukan keadilan akan kematiannya. Seorang memanggil. Seorang mencari. Dan dia pula... telah lama menanti manusia serakah yang mahu menentang dan...