AKU mengemaskan comforter sebelum berlalu masuk ke dalam bilik air. Tangan dibersihkan. Melihat pantulan imej tubuhku di sana, mulalah pipi memerah sendiri.
Argh, berhenti!
Bunyi pintu terbuka membuatkan dada semakin berdebar. Tapi kaki tetap diorak menuju ke arah ruang tamu.
Jebat masuk ke dalam rumah bersama beberapa beg membeli-belah.
Sekarang sudah jam lapan pagi. Jebat cuti hari ini. Lebih sesuai, ponteng. Jadi kami berdua akan ke rumah ayah bersama pada petang nanti untuk bermalam sehingga ke pagi esoknya. Bila Jebat pergi kerja, aku juga terpaksa mengikut sama. Begitulah kitarannya.
Melihat pandangan tegasnya, aku terus menguntum senyum nipis. Salam selamat pagi selepas tadi aku pura-pura tidur dan kononnya mengantuk sangat apabila Jebat cuba mengejutkan aku untuk solat subuh.
Selepas solat, dia terus keluar dan hanya pada waktu itu aku bangun untuk solat sendiri. Ingatkan Jebat nak cari nasi lemak ke apa, tapi rupanya dia membeli barang dapur.
"Ingatkan nak pura-pura tidur sampai esok pagi." Lalu di sebelahku, itulah yang dibisikkan Jebat.
Cis, setepek dia bagi!
"Kenapa awak beli barang dapur?" soalku tanpa mempedulikan sindirannya.
Langkahnya diikuti sehingga masuk ke dapur. Jebat meletakkan beg di atas meja.
"Barang dapur di rumah dah habis."
Oh.
Teruk betul aku ini. Isteri apa yang tak tahu apa khabar dengan peti sejuk sendiri? Sudah lain pula pembahagian tugas kami ini. Aku boleh dikatakan tak buat apa-apa dan Jebat buat semuanya. Memasak, kerja, buat kerja rumah dan melayan aku. Aku pula?
Tak ada fungsi!
Melihat dia yang sudah mula menyusun barang-barang ke dalam peti sejuk, aku sudah mula dilanda gusar.
Semalam aku tak berpeluang untuk meminta maaf. Aku juga tidak mendengar sebarang kata dan pemberian maaf daripada Jebat.
"Awak..."
"Hm." Tanpa memandangku, lelaki itu menyahut pendek.
"Saya... Saya minta maaf."
"Untuk?"
Aduh, dia nak aku senaraikan kesalahan aku pula ke?
"Sebab sembunyikan keadaan saya yang sebenar." Tapi rasanya ini saja yang paling besar. Yang lain itu, nantilah.
"Apa keadaan kau yang sebenar?" Jebat menutup pintu peti sejuk dan akhirnya memandang aku. Tangannya menyentuh permukaan meja dengan mata yang tajam memandang tepat ke arahku.
"Saya memang tak hilang ingatan. Betul, saya tipu. Tapi saya buat bersebab. Saya buat untuk diri saya sendiri sebab saya rasa semua orang tak boleh dipercayai. Saya hanya nak selamatkan diri dan hati saya, Jebat. Saya hanya nak buang semua yang menyakitkan."
"Termasuk aku?"
Terkedu seketika bila soalan itu dilemparnya, namun lambat-lambat aku mengangguk. Benar, termasuk dia.
Riaknya kecewa. Dan aku semakin tak sedap hati melihat itu.
Tapi!
"Saya tak sangka yang awak akan kembali lepas menghilang beberapa lama. Selepas kemalangan itu, saya tak pernah jumpa awak sampailah saya ke ofis. Saya fikir, saya tak perlukan awak dan awak tak peduli pun tentang saya. Jadi awak juga antara orang yang saya pilih untuk tipu."
"Siapa kata aku tak peduli?"
"Awak tak pernah datang melawat saya. Awak hilang macam itu aje. Waktu saya sakit sampai saya sihat sepenuhnya, awak tak pernah munculkan diri. Itu awak kata peduli?" Mulalah tercetus ura nak bergaduh ini.
ANDA SEDANG MEMBACA
NOTORIOUS : JEBAT ARRAYAN (C)
Romance(COMPLETED) Rapunzel, gelaran Arjuna untuk Adara. Adara rasa dia tidak dapat menolak gelaran itu memandangkan hidupnya memang benar-benar seperti Rapunzel. Jika Rapunzel duduk di bangunan tinggi, dia pula duduk di sebalik pagar tinggi. Hidupnya sent...
