AKU mengintai ke luar rumah melalui jendela tingkat bawah. Mencari bayangan Jebat yang kali terakhir aku lihat adalah lebih kurang pada dua jam yang lepas.
Itu, dia ada di sana. Duduk di tepi kolam dengan kedua belah tangannya menongkat belakang tubuh, lalu kepala sedikit mendongak menikmati suasana malam. Lewat malam, sudah jam satu pagi. Aku terbangun selepas lena tadi. Dapat tidur dua jam, dan aku terbangun bila sedar yang di sebelah sudah tiada lagi Jebat.
Aku rasa Jebat sedang susah hati. Mungkin? Mungkin juga Jebat menyesal dengan apa yang dikatakan siang tadi?
Kaki dibuka menuju ke dapur. Aku membancuh teh o suam terlebih dahulu. Cuaca malam ini agak sejuk kerana sudah beberapa hari asyik hujan saja. Jadi kalau dapat hirup teh di bawah cahaya bulan pun seronok!
Cewah!
Selesai. Aku membawa cawan terus ke depan. Pintu rumah dibuka, dan aku melangkah keluar. Di luar rumah ini tidak cerah dan tidaklah gelap. Suasana malam yang sederhana.
Berdiri di belakang Jebat, aku berkira-kira bagai mana mahu menyapanya. Panggil? Sentuh?
"Terbangun?"
Eh! Dia sedar.
Jebat menoleh sedikit. Memandang aku yang terus menghulurkan cawan itu kepadanya. Setelah cawan bertukar tangan, aku terus melabuhkan duduk di sisinya. Bersimpuh di sisi Jebat yang bersila.
"Adara nak peluk, tapi abang tak ada," jawabku.
Jebat tersenyum. Teh disisip sebelum aku dipandang dengan pandangan tenangnya.
"Abang tak dapat lelap, jadi abang keluar untuk ambil angin sekejap."
Aku tersenyum. Faham....
Cawan diletakkan atas lantai di tengah-tengah kami. Jebat merenung lama sebelum tersengih saat aku mengalih pandang ke arah lain. Malu!
"Abang okay?" soalku.
"Okay."
"Better?
Senyap.
"Abang...." Aku menoleh semula.
"Hm." Hanya deheman ringkas.
"Abang...." Makin lembut, aku memanggilnya.
Jebat lantas melembutkan pandangan. Aku dipandang tanpa sebarang sahutan, hanya pandangan tanda dia menanti aku untuk menyambung kata.
"Abang...." Tapi tiada kata, aku kembali mengulang. Abang dan abang.
"Ya, si manja?"
Aku tersengih malu. "Tak ada."
"Tak ada?"
Aku menggeleng pula. "Adara suka panggil abang."
"Kenapa?" soal Jebat.
"Bila abang pandang, Adara rasa sesuatu. Entah apa, tapi ia menggembirakan. Macam bila Adara panggil mama dan ayah, dan mereka terus menyahut atau pandang Adara. Perasaan yang sama."
Jebat tersenyum nipis. Kepalanya mengangguk dan tangannya pula menjalar mencari tanganku. Bila jumpa, terus tanganku dibawa ke bibirnya. Dicium lama sebelum Jebat kembali mendongak sedikit.
"Abang rasa lega. Semua yang abang simpan selama ini, dah keluar habis. Semuanya abang dah lepaskan. Dada ini rasa ringan. Rasa lapang."
"Berbaloi ke?"
Jebat memandang aku semula. Kali ini, kerutan muncul bersama. "Maksud?"
"Berbaloi ke abang buat semua itu? Buang keluarga?"
ANDA SEDANG MEMBACA
NOTORIOUS : JEBAT ARRAYAN (C)
Romance(COMPLETED) Rapunzel, gelaran Arjuna untuk Adara. Adara rasa dia tidak dapat menolak gelaran itu memandangkan hidupnya memang benar-benar seperti Rapunzel. Jika Rapunzel duduk di bangunan tinggi, dia pula duduk di sebalik pagar tinggi. Hidupnya sent...
