"KAMI naik ke atas dulu, ayah." Jebat meminta diri sambil tanganku dicarinya.
Cuma aku melarikan tangan. Takut ayah terkejut melihat aku dan Jebat berpegangan tangan seperti ini. Walaupun aku sedar yang Jebat terus mengerling aku, tapi aku berlagak biasa saja. Tolong jangan marah, suami!
"Adara pun nak naik atas. Mengantuklah, ayah." Aku mula menambah, lalu berdiri.
Jebat memang dah sebut kami, kiranya pamit untuk kami berdua. Tapi kerana sebab yang sama, iaitu supaya ayah tak terkejut bila tahu kami tidur sebilik, jadi aku terpaksa menapis segalanya.
Memandangkan sekarang sudah lewat malam dan ayah juga perlu berehat, maka ini adalah masa yang tepat untuk masuk ke bilik. Kami berbual di dalam bilik ayah, jadi ayah pastinya tak perlu ke mana-mana lagi. Lepas ini, tutup lampu dan tidur saja.
"Yalah, pergilah tidur. Jangan lupa periksa pintu rumah. Takut mereka lupa nak kunci," balas ayah.
Aku segera mengangguk. "Okay. Ayah tidur tahu? Dah makan ubat kan?"
"Sudah. Awal tadi lagi." Muka ayah seperti bosan mendengar soalan aku.
Yalah, asal balik saja, ubat. Dalam panggilan suara atau video pun, ubat. Semuanya ubat!
"Selamat malam, ayah," ucapku. Aku segera merapati ayah. Tubuh ayah dipeluk sebelum dahiku diciumnya.
Ya Allah, setiap hari aku ingin merasai indahnya dakapan lelaki bernama ayah ini. Jangan biarkan dia pergi terlalu awal seperti mama. Aku belum puas untuk menikmati kasih sayangnya.
Selesai aku, Jebat juga ikut merapati ayah. Tangan ayah disalam lalu antara dua kening ayah diciumnya.
"Esok jangan terus bangun, takut pening. Bangun sikit-sikit. Duduk dulu, regang badan dulu, baru berdiri. Kalau rasa tak larat, call Jebat. Nanti Jebat tolong."
Ayah terus tergelak sebagai balasan. Berseri wajah ayah bila bercakap dengan Jebat. Mungkin kerana Jebat lelaki dan dia tak memiliki anak lelaki agaknya. Jebat pula, dia anak yang baik...
Caranya menyantuni ayah sudah jelas menunjukkan akhlaknya sebagai seorang anak. Tapi kenapa papa....
"Esok turun awal, kita sarapan sama-sama ya?" pesan ayah. Bergilir matanya memandang aku dan Jebat.
Kami hanya mengangguk setuju sebelum aku melambai ayah dan berlalu keluar terlebih dahulu. Bila Jebat ikut keluar, kami terus berlalu ke tingkat atas.
"Tepis tangan ya?" Jebat bersuara. Lain macam bunyi!
Tak puas hati!
"Mana ada tepis. Kan saya larikan tangan?"
"Oh, keduanya sama, Adara. Kenapa?" Jebat mengerling sebelum pintu bilik dibuka.
"Saya takut nak beritahu ayah tentang ingatan ini, jadi saya cuba kawal tindak-tanduk kita. Macam mana kalau ayah terkejut sampai kena serangan jantung?"
Jebat yang sedang menutup pintu bilik, terus memandang aku.
"Jangan buat ayah terkejut."
"Abang...." Mulalah aku merengek geram mendengar balasannya yang tak membantu langsung itu.
Mestilah tak nak buat ayah terkejut. Tapi kalau dah dia tahu yang aku menipu, sudah tentu ayah terkejut. Anak gadisnya yang dianggap naif dan baik ini menipu dia dengan sesuatu yang begitu besar.
"Beritahu ayah secara beransur-ansur. Itu maksudnya untuk tak buat ayah terkejut. Jangan beritahu semuanya sekali gus. Biar ayah yang mula bau sendiri, barulah dia tak terkejut," terang Jebat sambil bajunya ditanggal lalu dibaling ke dalam bakul baju.
ANDA SEDANG MEMBACA
NOTORIOUS : JEBAT ARRAYAN (C)
Romance(COMPLETED) Rapunzel, gelaran Arjuna untuk Adara. Adara rasa dia tidak dapat menolak gelaran itu memandangkan hidupnya memang benar-benar seperti Rapunzel. Jika Rapunzel duduk di bangunan tinggi, dia pula duduk di sebalik pagar tinggi. Hidupnya sent...
