DUM!
Langkah terhenti bila bunyi sesuatu terjatuh itu kedengaran lagi. Sekali dua, memang takut. Tapi bila dah berkali-kali seperti ini, takut itu sudah bertukar menjadi rasa ingin tahu. Bunyi apa itu?
Hampir dua minggu tinggal di sini, aku sudah boleh mengenali reka bentuk dan ciri-ciri persekitaran di sini. Di sebelah rumah yang berjarak dan terbahagi jauh dengan rumah yang lain, ada sebuah pintu kecil. Semua rumah pun ada. Aku rasa itu stor.
DUM!
Sekali lagi!
Aku terus memandang ke belakang. Lif yang masih tertutup.
Jebat di bawah. Dia sedang menunggu penghantar makanan memandangkan aku sudah terlalu letih untuk menunggu di kedai bersama Jebat. Aku yang naik terlebih dulu untuk terus berehat.
Sebab Jebat masih di bawah...
Kakiku dibuka menuju ke arah stor.
Jantung berdegup kencang, takut. Jangan keluar hantu atau haiwan buas sudahlah!
Tangan menekan butang yang berada pada pintu. Canggih sangat sampai aku memerlukan lebih seminggu untuk sedar yang itu adalah sebuah pintu.
Pintu terbuka. Aku terus menyentuhnya. Menarik perlahan dalam debaran yang menggila. Namun baru berjaya menarik sedikit, tiba-tiba ada tangan lain melekap di permukaan pintu sebelum pintu terhempas kuat. Tertutup rapat semula.
Aku terus memandang tubuh yang sedang menghulur tangan ke permukaan pintu itu.
Sepasang pandangan tajamnya menyapa.
"Jebat?"
"Kenapa tak terus masuk rumah?" soalnya sebelum tanganku dicapai dan ditarik masuk ke dalam rumah.
"Saya dengar bunyi daripada situ."
"Jangan buka sesuka hati. Ke mana-mana sekalipun, jangan buat sesuatu sesuka hati. Kenalpasti bahaya terlebih dahulu, baru bertindak."
"Bahaya? Apa yang ada dalam itu?" Dahiku sudah berkerut memandang Jebat yang terus saja membawa plastik makanan terus ke dapur tanpa mempedulikan soalan aku.
Aku ikut masuk ke dapur. Melihat Jebat yang sedang menghidang bungkusan makanan itu, aku terus menghampirinya.
"Duduk, makan," arah Jebat.
"Apa yang ada dalam itu? Banyak kali saya dengar bunyi."
"Adara..." Meleret suaranya. Sebuah amaran untuk aku.
"Jebat..." Aku ikut meleretkan suara, hanya leret suaraku bernada merayu dan memujuk.
Jebat menghembus nafasnya. Pendek. Wajahku direnung lama sebelum dia mengangguk sekali.
"Ada orang jahat."
Ha?
"Janganlah main-main, Arrayan. Saya bukan budak kecil untuk awak takutkan guna ayat macam itu."
"Kalau tak percaya, terpulang. Sekarang, duduk dan makan. Lepas ini terus masuk mandi."
Aku menurut saja. Tak mahu melawan atau banyak tanya. Hari ini Jebat sudah menunaikan permintaan aku untuk bertemu pak cik. Banyak yang kami bualkan, termasuklah menyampaikan sedikit wang yang diberi oleh Jebat. Aku puas hati dan aku terhutang budi kepada Jebat, jadi kenalah buat baik!
Selepas makan, aku terus masuk ke dalam bilik. Bersedia untuk mandi.
Baru masuk ke dalam bilik air, tiba-tiba Jebat ikut masuk sama. Tak sempat aku menutup pintu. Lelaki itu terus menuju ke arah singki. Diambilnya berus gigi lalu dilalukan di bawah mesin ubat gigi yang melekat di dinding, dan dia terus memberus giginya.
ANDA SEDANG MEMBACA
NOTORIOUS : JEBAT ARRAYAN (C)
Romance(COMPLETED) Rapunzel, gelaran Arjuna untuk Adara. Adara rasa dia tidak dapat menolak gelaran itu memandangkan hidupnya memang benar-benar seperti Rapunzel. Jika Rapunzel duduk di bangunan tinggi, dia pula duduk di sebalik pagar tinggi. Hidupnya sent...
