BAB 11

2.8K 169 4
                                        

AKU memainkan video yang baru saja diterima daripada pekerja di rumah. Antara salah seorang pengawal peribadi aku juga. Video itu pula adalah rakaman di ruang tamu CCTV pada malam semalam.

Video menunjukkan aku yang sedang berbaring di atas sofa benar-benar di tengah ruang tamu rumah ini.

Ya, ruang tamu pada waktu malam sebab aku tak tidur di bilik. Sekurang-kurangnya itulah hajat aku baring di atas sofa malam tadi. Untuk tidur di situ kerana Jebat tak balik ke rumah.

Oh, bukan sebab aku menunggu dia balik. Tapi sebab aku tak sudi sebilik dengannya selepas entah apa yamg dia buat di luar sana pada waktu malam,
sampai tak ingat jalan pulang ke rumah walaupun sudah jam tiga pagi.

Cuma ada sesuatu yang menghairankan.

Video dilajukan bila yang bermain hanya aku dan lenaku. Hai, aku ini tidur pun cantik!

Aku berhenti menekan skrin bila tiba-tiba pintu rumah terbuka. Muncullah kelibat yang aku tunggu sedari tadi.

Jebat.

Lelaki itu melangkah masuk ke dalam rumah dalam jaket kulitnya. Tangannya mencabut topi di kepala sebelum melangkah untuk ke tangga. Tapi sebaik saja menyedari kehadiran aku di atas sofa, terus dia terpacak statik seketika.

Jebat memicit kepalanya sebelum jaket dibuka dan dia berlalu masuk ke dalam bilik.

Hai? Picit kepala aje reaksi dia?! Bukannya nak menangis atau sembilu kerana aku sanggup menyeksa diri seperti itu?

Mataku kembali bercahaya saat Jebat turun semula. Kali ini dia terus melangkah ke sofa.

Jaket dan topi sudah hilang. Dia hanya berbaju T. Mungkin dia naik untuk meletakkan kedua benda tadi.

Aku melihat Jebat berdiri memandang aku. Sesekali tangannya naik mengurut batang leher. Itu mungkin bermakna dia sangat keletihan dan tertekan. Biasanya macam itulah kan?

Jantung mula berdegup kencang bila Jebat menunduk sebelum tangannya naik menyentuh rambutku. Entah apa yang dia buat kerana posisi dia yang membelakangi kamera, namun aku yakin yang dia sedang merenung aku.

Bila tiba-tiba tubuhku dicempungnya, aku terus syahid!

Tangan menyentuh dada sebelum aku terbaring di atas katil. Bibir memekar dengan senyuman kerana video itu.

Maksudnya keajaiban yang berlaku pada malam tadi bila aku boleh berpindah dari sofa ke katil itu adalah kerana Jebat! Jebat yang mengangkat aku dan membawa aku kembali ke bilik. Bangun tidur tadi pun aku sedang tidur berbantalkan lengannya.

Argh! Nak pengsan!

Aku segera membetulkan tubuh yang sedang berbaring bila tiba-tiba pintu bilik terbuka. Senyuman terus dimatikan. Buat seperti tiada apa yang berlaku.

"Hai, baring lagi?" Jebat bersuara sambil berjalan ke arah almari baju. Dia mengeluarkan beberapa helai baju dan seluar.

"Bukan boleh buat apapun." Kerja tak ada, masak tak pandai, suami pun macam tak wujud!

"Apa pula tak boleh? Rumah ini besar, pergi jogging keliling rumah. Jaga kesihatan."

Aku tak membalas. Pergi kelas pilates itu kira menjaga kesihatanlah. Sampai nak putus segala otot dan urat ini rasanya. Nasib baiklah makin lama, badan semakin terbiasa dengan itu. Jadi sakitnya kurang.

Aku terus bangun bila Jebat sudah menarik beg pakaiannya. Bukan beg galas, tapi beg pakaian jenis kain itu. Tidak terlalu besar, tapi kalau dah dia ambil beg itu berbanding beg komputer ribanya, tak lain tak bukan mesti dia nak pergi dalam masa yang lama.

NOTORIOUS : JEBAT ARRAYAN (C)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang