Bab 41

1.7K 149 11
                                        

KEPALA berpinar, perutku sakit, mata begitu berat sehingga aku tak dapat membukanya. Tanganku terasa seperti diikat. Tidak boleh bergerak walaupun aku begitu mahu menyentuh perut yang masih sakit dan sengal.

Segala tumpuan pergi kepada telinga. Mencari dan mendengar segala bunyi yang ada di sekeliling.

"Aku akan bawa perempuan ini ke gudang. Apa yang kau nak buat lepas itu, aku tak nak tahu."

Suara....

Suara yang sama. Lelaki itu.

"Aku tak akan bunuh perempuan inilah, sial! Kau suruh aku bawa dia ke gudang, dan aku hanya akan buat itu." Suara lelaki itu lagi. Lebih tegas.

Aku mendengar bunyi radio sayup. Sangat sayup.

Perlahan-lahan aku memaksa mata untuk mencelik. Walau berkali gagal, aku tetap mencuba lagi dan lagi sehinggalah cahaya mula menerjah kornea. Menghantar segala kekuatan buat kelopak mata dan seluruh tubuh yang sudah tidak lagi berkudrat.

Pemandangan yang pada mulanya kabur, mula semakin jelas dan jelas. Aku di atas jalan raya. Berada di tempat duduk belakang dalam kereta yang sedang bergerak. Masih dengan lelaki yang sama. Lelaki yang dihantar oleh Jebat.

Persoalannya, sudah berapa lama kereta ini bergerak sejak aku tidak sedarkan diri?

Aku memejamkan mata semula. Tidak mahu lelaki di depan ini menyedari bahawa aku sudah tersedar semula. Takut jika dia akan bertindak agresif dan memukul aku sekali lagi. Aku tidak boleh mengambil apa-apa risiko dalam keadaan seperti ini.

"Aku akan bawa bini aku ke Thailand selepas kerja ini selesai. Aku tak nak ada apa-apa hal lagi dengan kau. Kalau sampai Jebat dapat aku, anak aku dalam perut itu sah akan jadi anak yatim. Aku tak akan bunuh perempuan ini walaupun kau bagi sepuluh guni duit lagi. Titik!"

Isterinya mengandung?

Aku tak tahu apa yang terjadi, namun apabila lelaki itu senyap dan langsung tidak bercakap selepas kata-kata terakhirnya, perlahan-lahan aku mencelikkan mata.

Lelaki itu sedang diam memandang ke depan. Tangannya meraba kepala dan tengkuk sambil sesekali memukul stereng. Tertekan, dia sedang tertekan.

Pastinya dia sudah tidak dalam panggilan lagi.

Aku cuba untuk menegakkan tubuhku yang tersandar pada pintu kereta. Memaksa tenaga untuk bekerja di saat begini walaupun setiap gerakan hanya membawa kepada lebih kesakitan. Aku tak tahu apa yang mereka lakukan kepada aku selama aku tidak sedarkan diri, tapi sekarang seluruh tubuhku sangat sakit dan sengal.

Menyedari pergerakan aku, lelaki di depan terus memperlahankan keretanya. Aku yakin itu hanya lamgkah berjaga-jaga sekiranya aku mahu meronta dan mengganggu pemanduannya. Kalau kemalangan, bukan hanya aku saja yang akan cedera.

"Aku tak nak naik tangan lagi, Adara. Jangan cabar aku," katanya sambil memandang ke cermin pandang belakang. Amaran.

"Kau dah buat pun," bidasku.

Lelaki itu senyap.

"Kita ada di mana? Kau nak bawa aku ke mana?"

Aku cuba memerhati kawasan sekeliling. Ingin mencari mana-mana papan tanda untuk mengenal pasti sejauh mana aku telah dibawa sekarang, namun tiada. Yang ada hanyalah lampu malap berselang jauh di sekeliling jalan. Sepertinya kami berada di jalan kampung atau jalan dalam. Mungkin tak lama lagi akan masuk ke kawasan kelapa sawit atau apa-apa saja yang akan semakin membahayakan diriku.

"Berapa bulan anak dalam perut isteri kau?" soalku meski dia tidak menjawab soalan yang lepas.

Aku dapat melihat dahinya yang terus berkerut saat mendengar soalan itu. Pastinya tak menyangka bahawa aku tahu dan mendengar perbualannya tadi.

NOTORIOUS : JEBAT ARRAYAN (C)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang