BAB 24

2.6K 155 16
                                        

"CIK, kita dah sampai."

Aku terus menarik diri daripada lamunan. Melihat sebuah kafe di depan, aku segera mencapai beg tangan dan melangkah keluar dari kereta.

"Awak tunggu sini tau?" Aku berpesan kepada Akim yang hari ini menemani aku.

Jangan tertipu dengan hanya kami berdua di dalam kereta ini. Hakikatnya di belakang sana ada kereta ayah dengan kesemua pengawal peribadi aku yang selebihnya.

Dapat saja anggukan Akim, aku terus berlalu masuk ke dalam kafe. Aku mencari susuk yang berjanji untuk bertemu denganku di sini.

Oh, itu dia!

Affendi.

"Maaf lambat," kataku sebaik saja melabuhkan duduk di kerusi bertentangannya.

"Tak apa. Saya pun baru aje sampai."

Aku tersenyum.

"Cik sibuk ke?" soalnya.

"Oh, adalah sikit. Tapi saya ada masa sekarang. Jadi apa yang awak nak cakap tentang kita itu?" Aku punya sibuk itu sebenarnya sebab ayah ada beri tugasan untuk menghantar barang ke ofis. Tapi kerana hal ini, aku terpaksa menolak dan meminta orang lain untuk ke ofis bagi pihak aku.

"Cik betul-betul nak tahu?"

Aku segera mengangguk. Kalau aku tak nak tahu, tak adalah aku susah-susah nak ke sini pada hari ini. Siap ponteng kelas pilates kerana Affendi memberitahu yang dia ada sesuatu untuk dikatakan. Katanya tentang kami.

Bunyinya macam serius, jadi aku datanglah.

"Saya harap bila saya beritahu, cik tak terkejut dan jauhkan diri daripada saya."

Dahiku sedikit berkerut, tapi aku mengangguk saja.

"Saya sorokkan sebab saya tak nak antara kita semakin jauh. Apa yang jadi dah cukup teruk untuk kita berdua dan saya tak nak menambah lagi masalah. Tapi lepas beberapa bulan berlalu, saya rasa saya tak boleh tahan lagi. Saya tak boleh biarkan cik hidup tanpa tahu kebenarannya."

"Kebenaran apa pula ini?" Aduh, sakit kepala aku. Apa yang dia cakap ini?

Kebenaran apa yang aku tak tahu?

Aku melihat Affendi menarik nafas dalam-dalam sebelum tersenyum nipis. Tangannya turun menyeluk poket seluar sebelum dia meletakkan sesuatu di atas meja. Cincin. Hanya cincin, tiada kotaknya.

"Kita dah berkahwin pada dua tahun yang lepas."

"I'm sorry?" Aku terkejut. Kahwin?!

Affendi angguk kepala. "Ini cincin kahwin kita yang saya berikan kepada cik semasa hari pernikahan."

Dahiku semakin berkerut. Terus sakit satu kepala bila mendengar apa yang disampaikan Affendi. Cincin? Kahwin? Apakah ini?

"Saya tak fahamlah. Bila masa pula kita kahwin?"

"Cik isteri saya. Isteri yang sah. Kita berkahwin selepas sama-sama jatuh cinta setelah berkenalan selama saya bekerja sebagai pengawal peribadi cik sendiri. Kita dah berkahwin sebelum cik kemalangan dan hilang ingatan. Kira-kira dua tahun yang lepas," jawabnya.

Aku terdiam. Terbisu!

Aku sudah berkahwin dengan dia selama dua tahun? Kahwin kerana jatuh cinta selama dia bergelar pengawal aku?

"Tapi setahu saya kita tak pernah serapat mana sampai boleh jatuh cinta selama awak bekerja dengan ayah dan saya." Ya, aku bukan orang yang mesra sangat. Terutamanya dengan lelaki.

"Kita jatuh cinta selepas saya berhenti. Kita berjumpa semula dan saya ajak cik kahwin selepas beberapa bulan berkenalan dengan lebih serius."

Wajah Affendi nampak yakin. Dia seperti benar-benar memaksudkan segala yang dikatakannya. Tekad dan yakin.

NOTORIOUS : JEBAT ARRAYAN (C)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang