"BUKANNYA kita tak tahu budak-budak zaman sekarang ini macam mana perangainya. Macam-macam ragam. Lagi-lagilah bila tengok si anak gadis tuan yang cantik jelita ini. Miang buluh melekatlah jawabnya."
Dahiku berkerut bila ayah ketawa bukan main besar. Cara gelak saja pun sudah tahu mesti orang kaya. Betullah itu, aku anak orang kaya. Nak apa, semua boleh dapat. Tapi yang semua boleh dapat itu tidak merangkumi kebebasan. Satu-satunya yang aku tak boleh dapat hanyalah kebebasan.
"Saya pun tak tahulah apa yang dia orang tergila-gilakan sangat dekat si Adara ini. Yang adanya memang cantik aje. Lain semua ke bulan. Memasak tak pandai, buat kerja rumah tak pandai, nak jaga suami jauh lagi. Agaknya orang zaman sekarang memang dah tak peduli tentang semua itu. Yang penting rupa," balas ayah bersama tawa yang masih tersisa.
Hm, inilah dia. Bapa buka aib anak sendiri. Cananglah lagi, biar sampai negara-negara jiran itu semua tahu.
Mataku memandang pula pintu yang tiba-tiba terbuka dari luar sebelum muncul seorang lelaki dingin melangkah masuk penuh yakin sampai tak pandai nak beri salam dulu.
"Bukan tentang rupa, tapi tentang harta. Tak ada siapa peduli tentang rupa kalau harta lebih menggiurkan. Kahwin dengan perempuan ini dan automatik akan jadi suami kepada anak tycoon perniagaan terkenal. Easy money." Lelaki itu bersuara tanpa rasa sambil berjalan ke arah meja ini.
Kerusi di sebelah lelaki tua sebaya ayah ditarik sebelum dia melabuhkan duduk di situ. Langsung tak peduli dengan pandangan orang lain termasuklah pandangan aku. Matanya hanya terhala pada apa yang ingin dihala. Dan buat masa ini, dia hanya memandang ayah.
"Jebat! Muncul juga kamu akhirnya. Ingatkan dah tak jumpa peta Malaysia lagi sejak duduk di luar negara sana." Ayah terus menyapa mesra. Mereka berjabat tangan.
Hm, ayah aje yang mesra. Jebat itu jabat tangan pun tanpa senyuman dan dingin. Nampak sangat dia tak mahu wujud di sini pada masa ini. Entah siapalah yang sudah berjaya menyeret dia ke sini.
"Dia bukannya duduk di luar negara itu pun. Setakat berpindah-randah dari New Zealand ke Italy, tukar ke Turkiye dan balik Malaysia semula. Merantau katanya." Lelaki tua sebaya papa itu mencelah, bapa Jebat.
Aku panggil dia uncle saja. Jangan tanya nama sebab aku tak tahu. Aku rasa kalau nak dibandingkan dengan lelaki dingin itu, aku terlebih-lebih lagi 'nonchalant' berbandingnya. Tambah, tak pandai ingat nama orang!
Apa ya nama uncle ini? Kalau anaknya Jebat, mungkin nama dia Tuah? Lekir?
Entahlah, Samat! Ayah pun hanya bersaya engkau dengan lelaki tua itu. Manalah aku nak tahu namanya. Mungkin aku kena minta sekeping kad bisnesnya atau panggil polis untuk saman dia supaya aku boleh periksa nama di kad pengenalannya.
Ah, merepek apa ini!
"Baguslah itu. Orang yang merantau ini mesti banyak ilmu dan pengalaman. Ya tak, Jebat?" kata ayah.
Tapi lelaki itu hanya memandang kosong tanpa balasan.
Nak pelik apa. Memang itulah perangainya. Aku tak tahulah macam mana boleh ada ramai perempuan termasuklah pengawal peribadi aku boleh sukakan dia. Bayangkanlah bersuamikan lelaki macam itu. Boleh mati hati, jiwa, organ segala bagai kalau hari-hari dilayan seperti itu.
"Jebat dengan Adara dah pernah jumpa kan? Kiranya dah berkenalan lama dulu?" Ayah mengerling aku di sebelahnya lalu kembali memandang Jebat di depan.
"Mana pula tidak! Zaman Adara kena buli dulu, bukan ke dia yang pergi belasah budak-budak itu? Anak aku inilah yang paling buas sekali. Pening nak membesarkannya. Itulah satu-satunya benda baik yang kebuasan dia pernah buat." Uncle mencelah sambil menepuk bahu Jebat.
ANDA SEDANG MEMBACA
NOTORIOUS : JEBAT ARRAYAN (C)
Romance(COMPLETED) Rapunzel, gelaran Arjuna untuk Adara. Adara rasa dia tidak dapat menolak gelaran itu memandangkan hidupnya memang benar-benar seperti Rapunzel. Jika Rapunzel duduk di bangunan tinggi, dia pula duduk di sebalik pagar tinggi. Hidupnya sent...
