"KAU dah take off, Jebat?"
Butang ditekan dengan sebelah tangan yang bebas dan cermin mula menggelungsur turun. Pemandangan sebuah rumah yang penuh dengan anggota keselamatan berbayar ini, direnung lama.
"Aku dah sampai," balasku. Mata masih terpaku di sana sedang sebelah tangan memegang telefon.
Di sebuah balkoni dengan pintu gelangsar yang sedikit terbuka, mengalukan tirai putihnya untuk menggerbang saat disapa angin.
"Hai, bukan flight kau dua jam lagi ke?" Suara Hail menyapa gegendang telinga lagi, hairan.
"Adara kena kacau lagi." Cukup di situ untuk dia memahami.
"Jadi kau balik lebih awal sebab dia? Betul-betul gila kau ini. Skodeng anak dara orang macam psycho!"
Hail tertawa di hujung sana, namun aku sudah terlalu terpaku memerhati tubuh yang baru saja muncul di balkoni tadi sehingga hilang minat untuk membalas usikan itu.
Balkoni yang sama. Seorang wanita sedang menyikat rambut di sana sambil berpusing ayu bak tuan puteri khayalan. Begitu leka dengan dunia sendiri sehingga tidak menyedari ada aku di sini dan ada ayahnya yang sedang berjalan ke arah kereta ini.
"Jebat Arrayan."
Suara tua itu menyapa dan aku melarikan pandangan daripada balkoni itu, segera memandang wajahnya yang sudah tersenyum lebar kepada aku. Senyuman ditarik seraya aku membuka pintu di bahagian sebelah pemandu untuknya dari dalam.
"Sampai saja, kamu terus ke sini?" soal lelaki itu.
Aku mengangguk.
"Penerbangan dari Switzerland.... Kenapa kamu tak balik dan berehat dulu? Nak jumpa pak cik, bila-bila pun boleh Jebat."
Hatiku tertawa mendengar itu. Kalaulah dia tahu yang membuatkan aku terus ke sini bagai tiada esoknya ini ialah anak gadisnya, apalah reaksi dia?
"Jadi macam mana dengan ganti budak kamu seorang itu?" soal dia.
"Saya akan hantar sekumpulan anggota baru untuk jaga Adara. Anggaran dalam lima hingga tujuh orang bergantung kepada keadaan."
"Mereka sama terlatih dengan yang lepas?"
Aku mengangguk sekali. "Saya akan hantar tenaga yang mencukupi untuk samakan dengan seorang yang sudah saya tarik semula."
Lelaki itu terus mengangguk senang. Tangannya naik menyentuh bahuku sebelum matanya turun pada apa yang sedang bergantung pada batang leher.
"J.A.R? Ini nama hospital keluarga kamu."
"Ini juga initial saya. Jebat Arrayan."
Lelaki itu mengangguk lagi. "Pak cik rasa tak eloklah kamu pakai rantai macam ini. Nampak rempit benar."
Dahiku berkerut. Rempit?
"Maksud pak cik, nampak macam budak-budak hingusan yang mahu tunjuk gagah. Tak kena dengan aura kamu yang kuat dan hebat."
Aku tunduk memandang abjad di dada sebelum kembali memandangnya.
"Kalau pak cik nak cari menantu, lelaki yang nampak selekeh, rempit, terlebih skema atau berlagak tak akan ada dalam senarainya." Tiba-tiba lelaki itu menambah lagi sebelum bahuku ditepuk kembali.
"Pak cik naik dulu. Nanti kalau Adara nampak kita, banyak pula soal jawabnya. Sejak-sejak dah semakin dewasa ini, perangainya dah macam detektif tak laku."
Bibirku sempat tersenyum mendengar itu sebelum segera aku matikan.
Kami bersalaman sebelum lelaki itu berlaku pergi. Hilang saja dia daripada pandangan, mataku kembali naik memandang ke arah balkoni. Tak semena-mena keningku terjongket saat melihat sepasang matanya yang sedang terarah ke sini. Aku yakin dia sedang memandang ke arah kereta ini, hanya aku tidak yakin dia dapat melihat ke dalam kerana sudut pandangannya yang terhad.
Aku mengambil peluang untuk diam memerhatikan dia yang seperti begitu tertanya-tanya siapa yang berada di dalam kereta ini. Kepala sempat beberapa kali tersenget ke kiri dan ke kanan bagi mencari pandangan yang jelas sehingga aku tersenyum melihat tingkahnya.
Sebelah tangan meraba leher sebelum rantai itu direntap sehingga terputus. Dicampakkan ke kerusi belakang sebelum tangan menolak gear, satu lagi pandangan dan aku terus menekan pedal. Kereta mula bergerak menjauhi dan tubuhnya juga mula menghilang dari pandangan.
Dia begitu cantik. Begitu indah. Begitu bersinar seperti bintang yang tinggi di langit dan aku adalah pemujanya.
Kita akan bertemu lagi, Adara. Kau mendidik aku untuk mencari satu alasan bertahan hidup, dan aku memilih kau sebagai alasannya.
Stella.
ANDA SEDANG MEMBACA
NOTORIOUS : JEBAT ARRAYAN (C)
Romance(COMPLETED) Rapunzel, gelaran Arjuna untuk Adara. Adara rasa dia tidak dapat menolak gelaran itu memandangkan hidupnya memang benar-benar seperti Rapunzel. Jika Rapunzel duduk di bangunan tinggi, dia pula duduk di sebalik pagar tinggi. Hidupnya sent...
