Budin

217 6 0
                                    

Nama aku Budin. Aku dilahirkan dalam keluarga yang miskin. Nak dapatkan sesuap nasi bukanlah satu perkara yang mudah bagi keluarga aku. Aku seakan-akan sudah lupa bagaimana rasanya sebutir nasi. Masin ke atau manis ke? Aku sudah tidak ingat lagi.

Adik-beradik aku ramai. Aku merupakan anak ketujuh daripada sepuluh adik-beradik. Walaupun berkongsi darah yang sama, namun kami sanggup bertumbukkan demi merebut sesuap makanan yang ditemui di tepi jalanan. Hakikatnya, makanan itu hanyalah sampah sisa yang dibuang merata-rata.

Aku jarang-jarang sekali nampak kelibat ayah aku. Mungkin dia sibuk mencari upah atau sedang lalai dengan dunia gelapnya. Mak aku pula tak menang tangan menjaga adik-adik aku yang masih kecil. Aku ini hanyalah anak terbiar yang dahagakan kasih sayang dan perhatian.

Jika aku dibandingkan dengan anak-anak kucing, mungkin mereka lebih bernasib baik. Mak kucing pun reti menggonggong anak-anaknya ke tempat yang tersorok bagi memastikan mereka selamat dan merasa hangat. Setiap malam aku hanya tidur berlapitkan tanah dan berbumbungkan langit yang gelap gelita. Kadang-kadang aku berhajat untuk menjadi seekor anak kucing. Mungkin aku sudah tidur nyenyak di pangkuan mak kucing sekarang.

Sedar tak sedar sudah bertahun lamanya aku hidup sebegitu rupa. Entah bagaimana aku masih bernyawa sehingga sekarang. Mungkin Tuhan masih mengasihi aku. Sepanjang aku bernafas di muka bumi ini, aku tak pernah tahu berapa umur aku. Tetapi aku tahu aku sudah mampu membuat kerja berat. Aku pun cuba mencari tempat yang sudi memberi aku kerja supaya aku boleh menikmati sepinggan nasi dan lauk.

Semua tempat telah aku cuba nasib. Namun, semua tempat menolak aku seperti aku seekor anjing jalanan yang kotor dan jijik. Walaupun sebenarnya mungkin aku lagi jijik kerana terpaksa mencuri lemparan sisa makanan yang sepatutnya untuk anjing-anjing jalanan. Dikejar oleh anjing itu sudah menjadi rutin biasa untuk aku sekarang. Bahkan pecutan larian aku juga semakin lama semakin laju. Mungkin aku boleh bercita-cita menjadi seorang pelumba lari.

Hari berganti hari, nasib aku masih lagi malang. Masih tiada tempat yang sudi mengambil aku kerja. Aku berfikir mungkin kerana pakaian aku yang comot dan kotor, orang takut untuk mengambil aku kerja. Jadi, aku pun merancang untuk mencuri pakaian yang elok di tong baju terpakai berdekatan.

Pada suatu malam yang gelap gelita, aku pun menjalankan perancangan aku. Cubaan aku untuk mencuri baju terpakai itu tidaklah semudah yang aku jangkakan. Terdapat dua biji mangga besi yang perlu aku kepakkan untuk membuka tong baju terpakai itu. Segala cara telah aku cuba namun tak berjaya. Akhirnya aku berputus asa dan berlalu pergi.

Aku hanya mampu memunggah tong sampah. Daripada satu tong sampah ke tong sampah yang lain, tiada pakaian yang elok aku jumpa. Kadang-kadang aku tertanya, sampai bila nasib aku akan sebegini? Apakah aku tak layak untuk rasa kenyang? Aku tak pernah putus berdoa semoga suatu hari nanti Tuhan izinkan aku merasa kenyang. Walaupun hanya satu hari sudah cukup bagi aku. Aku harap Tuhan mendengar bisikan kecil hati aku setiap malam.

Entah bagaimana aku sedar hari sudah pun terang-benderang. Mungkin aku tertidur di belakang perhentian bas dek kerana kepenatan memunggah sampah malam tadi. Aku bangun daripada baring dan duduk termenung melihat kesibukan suasana di pagi hari itu. Semua orang kelihatan seperti sedang mengejar masa. Langkah mereka laju. Mata masing-masing tertumpu pada skrin gajet di tangan mereka.

Alangkah indahnya jika aku juga mempunyai hala tuju kehidupan. Selama aku hidup, aku hanya berjalan mengikut nasib diri. Selagi ada sisa makanan untuk dimakan di sesuatu tempat itu, aku tidak akan berganjak. Sekiranya aku dihalau barulah aku mencari tempat lain. Setiap malam tempat tidur aku bertukar. Kadang-kadang di tepi jalan yang kesejukan. Kalau bernasib baik, berbumbungkan atap perhentian bas. Jika sebaliknya, aku hanya berbumbungkan langit. Andai kata kalau hujan malam itu, maka kuyup lah badan aku. Sedangkan orang lain menikmati hari hujan kerana bagi mereka itulah rahmat. Tetapi bagi aku itulah malang.

Aku tersentak daripada lamunan aku apabila seorang pak cik tua duduk di sebelah aku. Pak cik tua itu mengelap peluh di dahinya dengan kain kecil yang disangkut di lehernya. Lalu mengusap-usap kakinya yang kelihatan bengkak. Penyapu lidi disandarkan pada tepi kerusi di perhentian bas itu.

"Anak tunggu siapa?" soal pak cik tua itu lembut kepada aku. Aku mengalih pandangan aku pada mukanya. Raut wajahnya kepenatan namun masih lagi tersenyum manis kepada aku. Aku sudah tidak ingat bila kali terakhir aku menerima senyuman manis sebegitu. Kebanyakan orang jijik melihat aku.

"Tunggu rezeki pak cik. Rezeki saya mungkin tengah sesat sekarang ni" jawab aku bersahaja. Pak cik itu ketawa kecil. Aku terkejut kerana tak sangka kata-kata aku itu boleh membuatkannya tertawa.

"Rezeki tu tak pernah salah jalan, nak. Rezeki itu akan sampai pada tempat dan masanya. Tak pernah lambat dan tak pernah cepat. Anak jangan risau" jawab pak cik tua itu sambil tersenyum. Aku hanya berdiam diri mendengar kata-katanya itu.

"Anak dah makan?" soal pak cik tua itu lagi. Mendengar saja perkataan makan, mata aku bercahaya. Aku menggelengkan kepala aku laju bagi menjawab soalan pak cik tua itu. Pak cik tua itu mengeluarkan satu plastik roti bun daripada beg silangnya yang usang dan menghulurkan kepada aku dua roti bun. Hati dan perut aku menjerit girang. Laju tangan aku mengambil roti bun daripada tangan pak cik tua itu lalu terus makan dengan gelojoh. Pak cik tua itu hanya tersenyum melihat gelagat aku. Aku sudah lama tak merasa makanan yang bersih sebegitu.

Pak cik tua itu juga mengeluarkan satu roti bun terkahir daripada beg plastik di tangannya untuk dinikmati dirinya sendiri. Aku tersedak dan terbatuk dek kerana makan terlalu laju. Pak cik tua itu lalu menghulurkan aku sebotol air minuman. "Makan perlahan-lahan nak. Roti tu tak lari mana pun" kata pak cik tua itu sambil mengusap belakang badan aku. Aku meneguk laju air minuman itu bagi menolak sisa roti yang tak dikunyah hancur dan tersekat di ruang anak tekak aku. Siapa sangka dengan hanya pemberian dua roti bun dan sebotol air sudah cukup untuk membuatkan perut aku sedikit kenyang.

Sesudah saja aku melahap, pandangan aku kembali semula kepada pak cik tua itu. Aku memerhatinya yang sedang mengunyah perlahan sambil menikmati roti bun di tangannya. Lalu hati aku berbisik, mungkin pak cik tua ini rezeki yang Tuhan datangkan kepada aku. Entah apa perasaan yang menjengah di hati aku ni. Tetapi hati dan mata aku terasa berat sekali.

"Kenapa kaki pak cik bengkak?" soal aku sambil memandang kaki pak cik tua itu.

"Lama sangat berdiri nak. Biasalah dah tua ni semua benda dah tak larat" jawab pak cik tua itu.

"Pak cik berdiri lama sebab menyapu ke?" soalan aku seperti budak yang tidak mengerti apa-apa. Pak cik tua itu hanya tersenyum memandang aku.

"Menyapu daunan yang jatuh bersepah di tepi jalan ni memang kerja pak cik" jawab pak cik tua itu lagi. Dia tak jemu melayan persoalan aku.

"Anak ni seorang je ke? Mana ayah dan mak?" giliran pak cik tua itu pula menyoal aku.

Seperti yang aku katakan, aku sudah lama tak nampak kelibat ayah aku. Mak dan adik-adik aku pula hilang entah ke mana. Dulu setiap kali lepas aku merayap mencari makanan, aku akan pulang ke tempat mak dan adik-adik aku berteduh. Namun, suatu hari bila aku pulang, mereka tiada lagi di tempat berteduh tersebut. Adik-beradik aku yang lain juga merayap dan tak pulang-pulang. Akhirnya, tinggal lah aku sendirian.

"Entah" aku menjawab persoalan pak cik tua itu tadi dengan ringkas. Pak cik tua itu memandang aku dengan raut wajah yang aku sendiri tak mengerti. Mungkin sedih atau mungkin simpati.

Sepanjang hayat aku, aku tak pernah mengerti perasaan aku sendiri. Sedih ke atau gembira ke. Apa yang aku tahu aku sentiasa lapar. Apatah lagi membaca raut wajah orang. Tetapi aku tahu bila orang melihat aku jijik. Sebab raut wajah mereka melihat aku sama seperti mereka melihat anjing-anjing jalanan. Kadang-kadang fikiran gelap aku menyerbu dan tertanya-tanya kenapa aku tak dilahirkan menjadi seekor anjing saja jika manusia lain melihat aku serupa seperti anjing. Kepala aku pening dan telinga aku berdesing setiap kali fikiran gelap seperti itu mendatangi aku. Mungkin Tuhan marah aku berfikiran seperti itu.

"Anak nak tolong pak cik tak?" tanya pak cik tua itu selepas seketika kami berdua mendiamkan diri dan tenggelam dalam fikiran masing-masing.

BenjiWhere stories live. Discover now