Hadiah

59 4 0
                                    

Pada malam itu, aku dapat tidur dengan nyenyak sekali setelah dapat berjumpa dengan Pak Ali dan Pak Ajis. Selalunya aku berpusing banyak kali pun aku masih lagi tak boleh tidur. Tetapi malam itu aku letakkan saja kepala aku ke bantal, aku terus terlelap ke alam mimpi. Sedar saja daripada tidur keesokan harinya, aku bergegas siap dan mula berjalan ke bilik tidur Tuan Benjamin di tingkat tiga kediaman itu. Namun, apabila aku sampai saja di bilik tidurnya, aku tak nampak kelibat Tuan Benjamin di mana-mana. Aku pun hairan. Ke mana pula perginya Tuan Benjamin awal pagi itu?

Aku biarkan dulu pasal Tuan Benjamin itu dan terus menyiapkan tugasan aku setiap pagi. Mungkin sekarang ini dia sedang buat kerjanya di tingkat atas. Aku pun mula menggosok pakaiannya, menyiapkan air mandian panas untuknya dan mengemas tempat tidurnya. Setelah aku siap semua tugasan aku itu, Tuan Benjamin masih lagi belum pulang ke bilik tidurnya. Aku pun berjalan menaiki tangga ke tingkat atas. Rupanya Tuan Benjamin tertidur di dalam bilik buku. Kepalanya terlentok di atas meja panjang yang terletak di hujung bilik buku itu. Kesian pula aku melihatnya.

Aku berjalan menghampiri Tuan Benjamin yang sedang tidur itu. Aku tak pasti sama ada dia tertidur di situ sepanjang malam ataupun baru saja pagi tadi. Tetapi aku melihat mukanya nampak keletihan. Aku rasa serba salah pula mahu mengejutnya. "Tuan Benjamin.... Oh, Tuan Benjamin...." berkali-kali aku memanggil namanya tetapi dia masih lagi tak bangun. Aku pun memberanikan diri aku untuk menggoyangkan sedikit badannya sambil memanggil namanya lagi. "Tuan Benjamin.... Bangunlah! Dah pagi ni" kata aku dengan suara yang aku sengaja kuatkan supaya dia sedar.

Aku rasa itu kali pertama Tuan Benjamin susah nak bangun. Selalunya, bunyi saja tapak kaki aku dia sudahpun terbangun daripada tidur. Kata Encik Shuib, Tuan Benjamin itu senang terjaga. Mungkin sebab dia penat sangat agaknya sampai dia susah nak bangun pagi itu. Setelah beberapa kali aku menggoyangkan badannya dan memanggil namanya, barulah dia sedar daripada tidurnya. Mata Tuan Benjamin terkebil-kebil memandang aku. Mata sebelah kirinya nampak sedikit merah. Aku mula tertanya-tanya dia sakit ke?

Entah daripada mana keberanian datang ke dalam diri aku pada masa itu, aku meletakkan sebelah tangan aku ke dahi Tuan Benjamin untuk merasa suhu badannya. Manalah tahu dia demam ke kan. Tetapi tangan aku rasa suhu badannya normal saja. Aku pun menarik semula tangan aku. Tuan Benjamin hanya diam saja memerhati aku daripada tadi. Entah apa yang sedang difikirkannya. "Mmm... Tuan Benjamin kenapa tidur dekat sini?" soal aku setelah rasa malu pula dengan kelakuan aku tadi.

"Aku tertidur malam tadi semasa aku tengah baca novel. Sedar-sedar je ada gempa bumi" jawab Tuan Benjamin sambil tersenyum. Dia perli aku lah tu. Siapa suruh dia tidur tak ingat dunia? Memanglah aku gegar badan dia kuat-kuat. Aku hanya diamkan diri saja.

"Semalam kau jumpa dengan siapa dekat luar?" soal Tuan Benjamin tiba-tiba. Semalam? Macam mana pula dia boleh nampak aku keluar semalam? Aku pun pelik. Aku berkerut dahi memandang mukanya.

"Aku ternampak daripada tingkap bilik buku ni semalam. Jangan perasan sangatlah. Takde masa aku nak stalking kau pun" sambung Tuan Benjamin menjelaskan bagaimana dia boleh ternampak aku keluar semalam.

"Ohhh, semalam ayah angkat saya datang melawat. Saya jumpa ayah angkat saya lah semalam tu" jawab aku. Sebenarnya, aku pun tak tahu nak cerita macam mana pasal Pak Ali dan Pak Ajis dekat Tuan Benjamin. Tetapi aku memang sudahpun menganggap mereka berdua seperti ayah aku sendiri.

"Ayah angkat? Dua-dua semalam tu ayah angkat kau?" soal Tuan Benjamin lagi. Aku hanya menganggukkan saja kepala aku.

"Macam mana kau boleh jumpa dengan ayah-ayah angkat kau tu? Mana ayah dan mak kandung kau?" soal Tuan Benjamin bertubi-tubi. Aku sudah agak dia mesti akan tanya pasal ayah dan mak kandung aku. Dan aku tahu dia mesti akan tertanya-tanya juga pasal Pak Ali dan Pak Ajis.

BenjiWhere stories live. Discover now