Hantu

70 3 0
                                    

Selama sebulan aku bekerja di dalam kediaman milik Dato' Bakri, kadang-kadang aku masih lagi terdengar bunyi tapak kaki daripada tingkat atas setiap kali aku mempunyai tugasan membersih atau mencuci di tingkat dua. Aku tak pasti kalau pekerja lain juga pernah terdengar bunyi tapak kaki daripada tingkat tiga seperti aku. Sebab selama ini tak ada siapa lagi pernah bercerita pasal perkara itu. Aku takut nak bertanya kepada Kenit, Abu atau Alang. Takut mereka fikir aku ini gila pula. Tak pun kalau aku cerita dekat Kenit, mesti dia cakap itu hantu lagi. Jadi, aku hanya diamkan saja.

Pada suatu petang, aku ditugaskan untuk menyapu dan mengemop bilik muzik di tingkat dua. Bilik muzik itu saja dah sama besar macam ruang tamu kediaman itu. Di dalam bilik muzik itu, aku dapat lihat banyak sangat alat muzik. Aku tak berapa pandai sangat tentang alat muzik ini. Antara alat muzik yang aku tahu ada di dalam bilik itu hanya lah piano dan gitar saja. Gitar pun ada banyak jenis dalam bilik muzik itu. Aku tak pasti siapa yang main semua alat muzik di dalam bilik itu. Mungkin hanya untuk perhiasan saja. Aku pun mulakan tugasan aku untuk menyapu dan mengemop bilik muzik itu.

Kerja menyapu dan mengemop sebuah bilik yang sebesar ruang tamu kediaman itu memakan masa beberapa jam juga. Maklum lah banyak sudut yang perlu disapu dan dimop. Banyak juga perabot yang aku perlu perhati dan jaga ketika menyapu dan mengemop. Takut juga kalau perabot mahal di rumah itu rosak sebab aku. Mana mampu aku nak bayar. Masa awal aku bekerja dulu aku akan terasa mengah menyapu dan mengemop bilik sebesar itu. Tetapi sekarang aku sudah terbiasa.

Apabila selesai saja semua kerja aku, hari sudahpun lewat petang. Aku pun berlalu pergi meninggalkan bilik muzik itu. Semasa aku sedang berjalan menuju ke arah tangga, aku ternampak Encik Shuib sedang menaiki tangga ke tingkat tiga. Cepat-cepat aku menyorok di belakang dinding berhampiran. Setelah hilang kelibat Encik Shuib, aku pun perlahan-lahan menaiki tangga ke tingkat tiga. Entah daripada mana keberanian datang ke dalam diri aku. Mungkin disebabkan persoalan yang terlalu lama berlegar-legar di fikiran aku itu membuatkan aku terdesak untuk tahu apa sebenarnya yang ada di tingkat tiga.

Namun, apabila aku naik saja ke tingkat tiga, apa yang aku nampak hanyalah sebuah pintu besar. Tiada koridor di tingkat tiga itu seperti di tingkat dua. Hanya terdapat dua lukisan seni yang besar tergantung di dinding sebelah kiri dan kanan. Aku cuba menghampiri pintu besar itu. Aku tak tahu apa yang ada disebalik pintu besar itu. Tetapi aku cuba mendekatkan telinga aku pada pintu besar itu. Aku dapat mendengar bunyi suara sayup-sayup saja. Aku tak tahu siapa empunya suara itu. Tetapi aku pasti ada dua suara yang berbeza. Jika satu suara adalah suara Encik Shuib, siapa empunya suara yang lagi satu itu? Hati aku membuak-buak ingin tahu.

Banyak kali aku cuba menangkap isi perbualan di sebalik pintu besar itu tetapi tak berjaya. Mungkin pintu itu terlalu tebal. Apabila aku terdengar bunyi tapak kaki seperti sedang menghampiri ke arah pintu besar itu, aku menjadi gelabah. Aku cuba berlari ke arah tangga tetapi kaki aku tersadung lalu aku terjatuh dan badan aku menghempap lukisan seni yang tergantung di dinding sebelah kanan. Tanpa aku sedar, dinding itu berputar dan membawa badan aku yang tersungkur itu ke ruangan sebalik dinding itu. Semuanya berlaku begitu pantas sehingga otak aku tak sempat nak proses apa yang telah terjadi.

Keadaan di sebalik dinding itu sedikit gelap. Namun aku masih lagi boleh melihat keadaan sekeliling aku dek kerana terdapat sebuah tingkap kecil pada hujung ruangan itu. Ruangan itu kecil saja dan hanya mempunyai sebuah tangga yang berpusing ke arah atas. Aku pun tak tahu kenapa ada tangga yang berpusing di situ. Mungkin ada sesuatu di tingkat atas. Aku cuba bangun daripada lantai dan menepuk-nepuk debu yang ada pada baju dan seluar aku. Badan aku terasa sedikit sengal disebabkan terhempap dan terjatuh tadi.

Aku memandang lukisan seni yang tergantung pada dinding tadi. Macam mana dinding itu boleh berputar tadi? Aku pun tak pasti. Aku cuba menolak dinding itu untuk melihat sekiranya dinding itu berputar lagi. Tetapi dinding itu sedikit pun tak bergerak. Aku cuba pula untuk memegang lukisan seni itu mana tahu ada butang yang boleh membuatkan dinding itu berputar semula. Namun, tiada sebarang butang pun yang terdapat pada lukisan seni itu. Aku menjadi hairan. Kediaman itu terlalu banyak misteri untuk dirungkaikan.

Di sebelah kanan dinding itu pula, terdapat sebuah pintu. Aku cuba memulas tombol pintu itu namun pintu itu terkunci dan tak boleh dibuka. Aku tak tahu macam mana untuk aku keluar daripada ruangan itu. Aku sedikit marah dengan diri sendiri. Kenapa lah aku bodoh sangat pergi ikut Encik Shuib naik tingkat tiga tadi. Kalau tak, aku tak terperangkap sekarang ini. Akhirnya, aku memutuskan untuk menaiki tangga berpusing itu untuk cuba melihat apa yang ada di atas.

Di atas itu terdapat sebuah bilik yang sangat besar dan penuh dengan buku seperti sebuah perpustakaan. Aku rasa mungkin sekarang aku sedang berada di tingkat empat di kediaman itu. Aku pelik kenapa ada tangga lain yang menyambungkan tingkat tiga dengan tingkat empat. Sedangkan di ruangan luar tadi juga sudah ada tangga. Tetapi aku hanya menghiraukan persoalan di fikiran aku itu dan membelek buku-buku di dalam bilik itu walaupun sebenarnya aku tak reti membaca.

Melihat buku-buku yang ada di dalam bilik itu membuatkan aku merasa teruja. Satu per satu buku aku pegang dan belek. Ada buku yang penuh dengan ayat saja. Ada juga buku yang bergambar. Pada waktu itu hati aku terdetik kalau lah aku boleh membaca mungkin hidup aku tak terasa kosong sangat. Sedang ralit aku membelek-belek buku di dalam bilik itu, aku tak sedar yang hari pun sudah hampir malam. Keadaan di dalam bilik itu juga menjadi semakin gelap. Aku tak tahu di mana terletaknya suis lampu di dalam bilik itu. Aku cuba mencari suis lampu namun tak jumpa. Jadi, aku biarkan saja bilik itu menjadi gelap apabila malam tiba.

Aku duduk saja di kerusi yang sedia ada di dalam bilik itu dalam keadaan yang gelap. Mungkin sekarang ini Kenit, Abu dan Alang sedang mencari-cari di mana aku. Tiba-tiba aku terbayang muka Encik Shuib yang tegas itu. Kalau Encik Shuib jumpa aku di bilik itu nanti sudah pasti Encik Shuib akan marah pada aku sebab melanggar peraturan yang sudah diberitahu. Habislah aku nanti.

Semasa aku sedang membayangkan diri aku kena marah dengan Encik Shuib, pintu bilik itu terbuka daripada luar. Aku pun cuba melarikan diri dan menyorok di belakang almari buku yang berhampiran. Walaupun bilik itu gelap, aku masih lagi ingat kedudukan almari buku dan perabot di dalam bilik itu. Aku tak tahu kenapa aku menyorok. Bukan ke lebih baik jika Encik Shuib terjumpa aku? Walaupun kena marah nanti tetapi kalau Encik Shuib jumpa aku, aku boleh keluar daripada terperangkap di dalam bilik itu lama-lama.

Aku ternampak cahaya malap yang memasuki bilik itu. Aku cuba mengintai daripada celahan buku-buku yang terletak di almari itu. Rupanya cahaya malap itu datang daripada sebatang lilin yang diletakkan di atas meja tempat aku duduk tadi. Aku masih tak dapat menangkap siapa yang memasuki bilik itu. Aku mengintai ke kiri dan kanan namun tiada satu kelibat pun yang ada di dalam bilik itu. Aku hairan. Siapa yang bawa masuk lilin itu tadi? Tak mungkin lah hantu kan? Bila terbayangkan hantu, tiba-tiba hati aku menjadi takut.

Sebut saja pasal hantu, aku teringat peristiwa aku dan Kenit keluar malam-malam untuk mencari telefon bimbitnya. Kenit ada bagitahu aku yang dia rasa dia seperti ternampak hantu di bangunan utama itu. Mengingatkan tentang peristiwa itu membuatkan bulu roma aku meremang. Walaupun aku seorang lelaki, tetapi aku memang takut dengan hantu jembalang ini.

Sedaya upaya aku cuba memberanikan hati jantan aku ini dan keluar daripada tempat aku menyorok itu. Aku cuba berjalan ke arah lilin itu sambil kepala aku terpusing-pusing melihat keadaan sekeliling. Namun, aku tak sedar yang seseorang sedang menghampiri aku daripada belakang. Tiba-tiba tangan aku ditarik kuat daripada belakang membuatkan aku terjatuh tersembam ke badan orang yang menarik tangan aku itu.

BenjiWhere stories live. Discover now