Disebabkan keadaan bilik buku itu yang malap, aku tak dapat melihat dengan jelas muka orang itu. Tetapi aku pasti si dia adalah seorang lelaki dek kerana badannya yang tegap dan tinggi. Aku cuba menarik tangan aku daripada genggaman tangannya tetapi gagal. "Kau siapa?" soal si dia dengan suaranya yang garau. Walaupun aku sudah pasti si dia bukan lah hantu ataupun jembalang namun hati aku menjadi semakin takut apabila disoal sebegitu. Aku tak tahu apa yang patut aku jawab. Patut ke aku memperkenalkan diri aku dulu? Atau patut ke aku cerita apa sebenarnya yang terjadi?
"Kenapa diam?" soal si dia lagi. Lidah aku menjadi kelu. Aku tak jumpa ayat apa yang aku nak jawab dengan si dia itu.
Aku hanya menundukkan pandangan aku ke lantai. Aku cuba mengorek otak aku untuk memikirkan apa yang patut aku buat sekarang ini. Aku sumpah takut. Namun sebelah tangan si dia menarik dagu aku untuk memandang ke mukanya. "Aku tanya siapa nama kau?" dia mengulangi lagi soalannya tadi. Dengan suara yang perlahan dan terketar-ketar aku pun menjawab, "Budin".
"Budin" si dia cuba menyebut nama aku.
"Kau buat apa dalam bilik ni?" soal si dia lagi. Aku sumpah tak tahu kenapa lidah aku menjadi kelu. Bukannya aku tak nak jawab soalan dia tetapi perasaan takut itu membuatkan lidah aku kelu.
Setelah lama si dia menunggu tiada jawapan yang keluar daripada mulut aku, si dia pun melepaskan tangan aku. Aku memegang pergelangan tangan aku yang terasa sakit akibat ditarik dengan kuat tadi. Nasib baik tak terputus tangan aku. Si dia kemudian berjalan ke arah meja panjang di dalam bilik buku itu dan duduk memandang aku. Tangannya di tongkat ke dagunya. Walaupun aku tak memandang tepat ke matanya, tetapi aku masih lagi boleh rasa ekor matanya yang sedang memerhatikan aku daripada atas ke bawah. Perasaan takut tadi masih lagi membuak-buak dalam hati aku.
"Shuib suruh kau kemas bilik ni ke?" si dia melemparkan soalan kepada aku lagi. Aku sedikit terkejut apabila mendengar si dia memanggil Encik Shuib tanpa panggilan formal. Aku hanya menggelengkan kepala aku saja bagi menjawab soalannya itu. Tiba-tiba aku terfikir dan tertanya-tanya siapa dia sebenarnya?
Sebut saja nama Encik Shuib, orangnya pun sudah datang memasuki bilik buku itu daripada pintu yang aku lalui petang tadi. Panjang umur Encik Shuib. Aku terfikir maksudnya Encik Shuib tahu semua selok-belok kediaman itu lah kan kalau ruang tangga tersembunyi tadi pun dia tahu? Masuk akal juga sebab dia pengurus kediaman itu. Walaupun tadi apabila aku terbayang muka Encik Shuib marah aku berasa takut namun sekarang apabila aku melihat mukanya aku berasa lega. Mungkin dia datang mencari aku.
Setelah melangkah masuk ke dalam bilik buku itu, Encik Shuib memandang aku kemudian berjalan menghampiri si dia yang sedang duduk di meja panjang itu. "I deeply apologize Tuan Benjamin. Saya dah larang keras semua pekerja untuk masuk ke tingkat ini tapi mungkin larangan saya belum cukup keras lagi" kata Encik Shuib kepada si dia sambil berdiri tegak dan tangannya diletakkan di belakang badannya. Apabila aku mendengar Encik Shuib memangil si dia 'Tuan Benjamin' aku menjadi terkejut. Adakah si dia itu anak Dato' Bakri dan Datin Soraya? Bukan ke Kenit cakap anak Dato' Bakri dan Datin Soraya seorang saja iaitu Tuan Brian? Aku menjadi hairan.
"It's okay. I understand. Mulai esok Budin akan bekerja dengan saya" balas Tuan Benjamin. Aku menjadi lagi terkejut apabila mendengar katanya itu. Aku bekerja dengan dia? Biar betul?
Encik Shuib juga kelihatan terkejut dan cuba bersuara, "Tapi Tuan Benjamin..." Belum sempat Encik Shuib habiskan ayatnya, Tuan Benjamin mencelah, "Saya tahu Shuib busy uruskan semua pekerja. Jadi, biarlah Budin je yang tolong uruskan hal saya lepas ni". Aku terkedu. Aku tak faham apa yang dimaksudkannya. Aku bukannya pandai uruskan orang. Nak uruskan diri sendiri pun aku tak reti apatah lagi nak uruskan orang. Lagi satu, dia tak takut ke kalau aku bagitahu pekerja-pekerja lain pasal dia? Macam mana kalau aku bagitahu pekerja-pekerja lain yang 'hantu' di dalam kediaman itu sebenarnya dia? Baru dia menyesal suruh aku bekerja dengan dia.
Walaupun aku berfikiran sebegitu, namun pada hakikatnya aku tak berani pun nak cakap macam itu kepada sesiapa. Aku bukanlah seorang yang suka buat kecoh pun. Tetapi aku pelik, kenapa Tuan Benjamin itu nak sorokkan dirinya sendiri daripada pekerja-pekerja lain? Bukannya pekerja-pekerja lain boleh buat apa-apa pun dekat dia. Kenapa tiba-tiba dia nak aku bekerja dengan dia? Sebab aku dah tahu pasal dia? Aku menyesal curi-curi ikut Encik Shuib naik tingkat tiga petang tadi kalau aku tahu semua ini akan jadi sebegini. Fikiran aku menjadi serabut.
"Are you very sure about this Tuan Benjamin? Budak ni masih baru lagi bekerja di sini" ujar Encik Shuib. Aku mengangguk laju kepala aku tanda setuju dengan kata-kata Encik Shuib walaupun mereka berdua tak perasan pun aku buat begitu. Sebenarnya, aku pun tak berapa faham sangat bahasa orang putih.
"Are you questioning me now Shuib?" balas Tuan Benjamin dengan nada suara yang sedikit tinggi. Aku tak faham apa yang disoalnya itu. Tetapi aku dapat agak mereka berdua seperti mahu mula bergaduh mulut. Aku rasa serba tak kena. Ini semua salah aku. Kalau lah aku tak terperangkap dalam bilik ini mungkin semua ini tak akan berlaku.
"I wouldn't dare Tuan Benjamin. Baiklah mulai esok saya akan prepare dan ajar Budin untuk uruskan hal Tuan Benjamin" balas Encik Shuib pula. Aku tak faham apa-apa.
Kemudian, Encik Shuib menyuruh aku mengikutnya beredar daripada bilik buku itu. Rupanya terdapat pintu lain di dalam bilik buku itu. Pintu itu tersorok di belakang sebuah almari buku yang sangat besar dan hanya boleh dibuka daripada dalam. Keluar saja melalui pintu itu, aku nampak semula koridor dan tangga besar di luar. Kediaman milik Dato' Bakri itu tak pernah gagal membuatkan aku kagum. Penuh dengan kemewahan dan misteri. Sepanjang perjalanan aku dan Encik Shuib menuruni tangga besar kediaman itu, Encik Shuib sekalipun tak memandang aku. Tetapi mulutnya tak berhenti memarahi aku.
"Kan saya dah cakap jangan naik tingkat atas. Kamu naik jugak kenapa?" soal Encik Shuib dengan nada yang marah. Tetapi aku hanya diam saja. Aku tahu aku salah.
"Sekarang ni kamu jangan buka mulut bagitahu dekat kawan-kawan kamu pasal Tuan Benjamin. Faham tak ni?" kata Encik Shuib memberi amaran kepada aku. Aku hanya menganggukkan kepala aku saja. Lagipun aku bukannya seorang yang suka sebar cerita seperti Kenit. Aku cakap pun tak banyak. Tetapi aku masih lagi pelik kenapa orang lain tak boleh tahu pasal Tuan Benjamin.
"Mulai esok kamu tak payah dah ikut jadual kerja kamu. Sebelum kawan-kawan kamu semua bangun lagi kamu dah kena siap dan jumpa saya di tingkat tiga" pesan Encik Shuib panjang lebar. Sekarang baru aku faham apa isi perbualan mereka tadi. Maksudnya mulai esok aku memang kena mula bekerja dengan Tuan Benjamin juga.
Apabila aku berpisah dengan Encik Shuib, aku terus ke meja makan dan melahap laju makan masakan malam itu. Aku baru sedar yang aku lapar gila disebabkan terperangkap lama di dalam bilik buku tadi. Semua pekerja lain sudah berada di bilik masing-masing. Maksudnya sekarang ini sudahpun hampir pukul 10 malam. Lama juga aku terperangkap di dalam bilik buku tadi. Seusai saja melahap, aku pun berjalan pulang ke bilik aku untuk mandi dan tidur. Esok akan menjadi hari yang sangat panjang dan memenatkan untuk aku.
Sampai saja di bilik, Kenit, Abu dan Alang berpusu-pusu menanyakan apa yang telah terjadi kepada aku dan ke mana aku telah hilang. Kenit memberitahu aku yang dia ingatkan aku sudah pun diculik oleh hantu di dalam kediaman itu. Budak pendek itu tak pernah jemu dengan cerita hantunya. Kalau lah dia tahu hantu di kediaman itu merupakan Tuan Benjamin, sudah pasti dia tak berani nak cerita pasal hantu dah lepas ini.
YOU ARE READING
Benji
RomanceNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...