Pertemuan

82 3 0
                                    

Aku rasa ini merupakan kali pertama aku mandi. Bahkan aku rasa ini juga kali pertama aku melihat kolah air. Eh, kejap! Bilik air pun aku tak pernah masuk sebelum ini. Semua ini adalah pengalaman baru buat aku. Aku terasa seronok pula bermain dengan buih-buih sabun yang penuh di seluruh badan aku. Aku cuba meniup buih besar yang berada di tapak tangan aku sehingga buih itu terapung. Aku rasa teruja melihat buih besar yang terapung di udara itu.

Sedang seronok aku bermain dengan buih, aku dapat mendengar suara Pak Ali dan Pak Ajis bersembang di luar bilik air. Walaupun sayup-sayup saja suara mereka berdua, telinga aku masih lagi dapat menangkap isi perbualan mereka.

"Mana kau kutip budak tu, Ali?" soal Pak Ajis.

"Ish, kau ni Ajis! Budin tu bukannya sampah aku nak mengutip" jawab Pak Ali.

"Aku terjumpa Budin di perhentian bas dekat tengah bandar pagi tadi" sambung Pak Ali lagi.

"Habistu kenapa kau bawak dia ke sini?" soal Pak Ajis lagi.

"Sebab Budin tu kawan aku lah" balas Pak Ali.

"Kau jangan macam-macam, Ali. Kalau bos besar tahu pasal budak tu, mati kau nanti" bebel Pak Ajis.

"Ajal dan maut tu di tangan Tuhan, Ajis. Apa aku nak takut. Lagipun kau kan ada untuk tolong aku kalau apa-apa jadi" kata Pak Ali.

"Ah, pandai ye kau, Ali! Jangan kau nak heret aku lagi dalam masalah kau" balas Pak Ajis.

"Lagipun bos besar bayar kita banyak mana je. Cukup ke kau nak sara budak tu?" tanya Pak Ajis.

"Rezeki Tuhan tu luas, Ajis. Makin banyak kita memberi, makin banyak Tuhan menambah rezeki kita" jawab Pak Ali.

"Wah, pandai ye kau bagi ceramah! Ikut suka hati kau lah, Ali. Aku cakap ni bukan apa, aku risau dekat kau je" kata Pak Ajis.

"Terima kasih Ajis sebab selalu risaukan aku. Kau saja lah satu-satunya orang yang masih lagi ambil berat pasal aku. Sebabtu aku sayang kau banyak-banyak" balas Pak Ali. Aku dapat bayangkan senyuman lebar di bibirnya.

"Eleh! Sekarang kau cakap lah sayang aku banyak-banyak. Nanti dah senang kau lupakan aku" balas Pak Ajis seperti merajuk.

"Mana boleh aku lupakan kau! Kau kan kesayangan aku hehe" kata Pak Ali memujuk. Entah mengapa muka aku pula yang merah padam mendengar perbualan mereka berdua itu.

Selepas itu aku hanya mendengar Pak Ali dan Pak Ajis ketawa sesama mereka. Mendengar perbualan mereka membuatkan aku berfikir kehadiran aku memang akan mendatangkan susah kepada Pak Ali suatu hari nanti. Aku merasakan keputusan aku untuk mengikut Pak Ali adalah satu keputusan yang salah. Mungkin aku sepatutnya tinggal saja di perhentian bas tadi. Aku berfikir kalau Pak Ali hilang kerja disebabkan aku nanti, macam mana pula Pak Ali nak mencari sesuap nasi? Macam mana kalau Pak Ali jadi seperti aku tak dapat makan nasi lagi selepas hilang kerjanya? Kepala aku menjadi serabut.

Namun, pemikiran aku itu terganggu apabila aku mendengar bunyi tapak kaki yang sedang menghampiri bilik air. Mungkin Pak Ali datang nak menjenguk keadaan aku. Cepat-cepat aku mencurahkan air ke seluruh tubuh badan dan kepala aku menggunakan gayung. Menggigil-gigil badan aku menahan kesejukan air daripada kolah itu.

"Budin dah siap mandi ke belum tu, nak?" tanya Pak Ali sambil mengetuk pintu bilik air.

"Belum lagi, pak cik" jawab aku kelam kabut. Aku cuba mengelap badan aku dengan tuala kecil yang diberikan oleh Pak Ali. Tetapi aku tak pasti betul ke tak cara aku mengelap badan aku. Lalu aku cepat-cepat menyalin baju yang Pak Ali sangkutkan pada penyangkut tadi.

"Jangan lama-lama tau, nak" balas Pak Ali dan berlalu pergi.

Selepas seketika, aku pun keluar daripada bilik air dan berjalan ke tempat Pak Ali dan Pak Ajis duduk. Apabila mereka melihat saja aku, Pak Ali tersenyum dan Pak Ajis ketawa besar. Aku pun hairan mengapa Pak Ajis ketawa. Aku pun melihat baju yang aku pakai. Selain daripada baju itu terlalu besar untuk aku, semuanya kelihatan elok saja pada mata aku.

"Budin pakai baju terbalik ni, nak. Mari sini pak cik betulkan" ujar Pak Ali sambil melambai tangannya menyuruh aku datang dekat. Aku akur. Lalu Pak Ali menyuruh aku cabut baju yang aku pakai dan menolong aku membetulkan baju itu sebelum aku sarung semula.

"Kau pun satu, Ali. Kenapa bagi dia baju besar sangat?" soal Pak Ajis. Dia masih lagi mengekeh ketawa memandang aku. Aku rasa sebab badan aku yang terlalu kurus kering yang membuatkan baju dan seluar yang diberikan oleh Pak Ali itu nampak terlalu besar untuk aku.

"Manalah aku nak ada baju saiz Budin ni, Ajis. Tak apa lah pakai baju besar pun nampak handsome dah Budin" balas Pak Ali sambil tersenyum lebar. Pak Ali seperti bangga melihat aku sudah bersih dan wangi.

"Budin tak lap rambut ke, nak?" soal Pak Ali apabila melihat air masih lagi menitik daripada rambut aku. Aku hanya menggelengkan kepala aku.

Sebenarnya aku pun tak tahu rambut kena lap. Sebab tadi sebelum mandi, Pak Ali kata tuala itu untuk lap badan. Jadi, aku hanya mengikut arahan saja. Pak Ali menyuruh aku duduk membelakanginya dan menyambar tuala kecil berhampirannya. Lalu Pak Ali menggosok rambut aku dengan tuala dan mengelap rambut aku sehingga tiada lagi air yang menitik. Pak Ajis hanya memerhatikan saja aku dan Pak Ali sambil menghirup air daripada cawan di tangannya.

Selepas mandi, aku merasa sangat segar. Aku rasa ini kali pertama aku merasa bersih dan wangi. Walaupun baju dan seluar yang diberikan oleh Pak Ali itu terlalu besar untuk aku, tetapi itu merupakan kali pertama juga aku diberikan sehelai pakaian. Sedangkan ayah kandung aku sendiri tak pernah berikan aku pakaian apatah lagi selipar. Sekali lagi hati aku berbunga-bunga. Perasaan itu sama seperti aku menyarung selipar jamban di perhentian bas pagi tadi. Gembira? Terharu? Mungkin dua-dua. Aku rasa mungkin sekarang aku sudah pandai sedikit memahami perasaan aku sendiri.

Pada malam itu, aku berkongsi tilam bersama Pak Ali untuk tidur. Namun, kesudahannya aku tidur di atas lantai juga. Bukan aku tak bersyukur diajak berkongsi tilam, tetapi aku melihat Pak Ali seperti tak selesa. Apabila aku beralih ke lantai tanpa pengetahuan Pak Ali, barulah aku nampak Pak Ali mula tidur dengan nyenyak.

Mata aku terkebil-kebil memandang atap rumah kontena itu. Entah mengapa malam itu aku tak dapat tidur. Padahal aku sudah berada dalam keadaan yang sangat selesa untuk tidur. Perut kenyang, badan bersih, pakaian baru dan tempat tidur. Semuanya cukup dan lengkap. Tetapi mata aku masih lagi tak mengantuk. Mungkin aku merasa terlalu selesa sehinggakan aku takut bila aku pejam mata dan bangun tidur esok hari, semua ini akan hilang.

Pertemuan aku dengan Pak Ali merupakan sebuah pertemuan yang sangat bermakna buat aku. Seolah-olah kehadiran Pak Ali itu merupakan sinaran cahaya yang terang memasuki ke dalam hidup aku yang gelap gelita selama ini. Kehadirannya umpama matahari yang menerangi bumi. Namun, aku takut suatu hari nanti sinaran cahaya itu akan hilang. Seperti matahari meninggalkan bumi tatkala malam menjelma. Aku tahu pertemuan ini barulah sehari. Tetapi dalam pendeknya sehari itu, kehadiran Pak Ali yang sekejap itu sudah cukup untuk mencurahkan aku dengan kasih sayang dan perhatian yang aku dahagakan selama ini.

Sedang aku asyik mengelamun, tiba-tiba aku ternampak Pak Ajis bangun daripada tilamnya. Aku sangkakan dia sudahpun tidur tadi. Tilam Pak Ajis bertentangan dengan tilam Pak Ali. Aku berada di antara mereka sebab aku baring di atas lantai. Rumah kontena itu kecil saja. Jadi, jarak kami antara satu sama lain tak ada lah jauh mana pun. Aku tak nampak apa yang sedang dibuatnya dengan jelas dek kerana keadaan di dalam rumah kontena itu yang gelap selepas dipadamkan lampu.

Pak Ajis bangun daripada duduknya dan berjalan ke arah aku perlahan. Tangannya seperti memegang sesuatu. Apabila dia menghampiri aku, Pak Ajis menebarkan sesuatu ke atas badan aku. Aku pura-pura tidur. Lalu, dia mengangkat kepala aku dan meletakkan sesuatu di bawah kepala aku sebelum menjatuhkan semula kepala aku dengan perlahan. Kemudian, aku mendengar Pak Ajis berjalan kembali ke tilamnya dan baring semula.

Aku terkedu. Aku rasa mungkin yang ditebarnya tadi itu adalah sehelai kain untuk menyelimutkan aku dan apa yang diletakkannya di bawah kepala aku tadi pula adalah satu bantal untuk mengalas kepala aku. Aku pun tak mengerti mengapa Pak Ajis berbuat demikian. Aku hanya biarkan saja. Setelah beberapa lama aku mengelamun, akhirnya aku tertidur juga.

BenjiWhere stories live. Discover now