Selepas panjang lebar Pak Ajis bercerita kepada aku dan memujuk aku, aku ternampak van Amin sedang menghampiri tempat aku dan Pak Ajis duduk itu. Mungkin apa yang ditunggu oleh Pak Ajis tadi adalah van Amin. Sejujurnya, aku masih lagi merasa tak selesa dengan Amin itu. Setiap kali dia memandang aku, matanya penuh dengan kejijikan dan kebencian. Aku terfikir bagaimana sekiranya berita yang dikhabarkannya tentang Dato' yang sedang mencari anak-anak muda untuk bekerja itu merupakan satu pembohongan? Patut ke aku melarikan diri? Aku pun tak pasti apa yang patut aku lakukan sekarang. Aku harap itu perasaan aku saja.
Aku dan Pak Ajis menaiki van pekerja yang kosong itu. Sepanjang perjalanan, suasana di dalam van itu hanyalah senyap dan sepi. Aku perasan Pak Ajis ni tak banyak bercakap dengan orang lain selain Pak Ali. Mungkin hanya dengan Pak Ali saja dia selesa untuk berbual. Jadi, sepatah perkataan pun tak keluar daripada mulutnya sepanjang kami di dalam van itu. Aku pun turut mengunci mulut aku. Mata aku melilau-lilau ke luar cermin van dan memandang suasana di luar.
Van itu membawa aku dan Pak Ajis daripada kawasan pinggiran bandar tadi sehingga lah sekarang sudah memasuki kawasan tengah bandar yang penuh dengan bangunan pencakar langit. Melihat bangunan-bangunan yang tinggi sehingga mencecah langit itu membuatkan aku tertanya-tanya bila lah aku boleh merasa untuk memasuki bangunan-bangunan tersebut. Aku hanya mampu menyimpan angan-angan.
Setelah melewati hampir separuh kawasan tengah bandar itu, Amin pun mula memandu van memasuki ke sebuah kawasan perumahan kediaman persendirian. Van itu memandu sehingga ke hujung persimpangan dan berhenti seketika kerana terdapat pagar besar yang menghalang di hadapan. Aku dapat melihat seorang pak cik berpakaian seragam keluar daripada bilik kecil yang terletak di penjuru pagar besar itu dan menghampiri ke arah van. Aku tak dapat tangkap apa isi perbualan antara pak cik itu dan Amin. Namun selepas seketika, van itu pun bergerak semula dan memasuki sebuah kawasan kediaman yang sangat besar.
Jika sebuah kediaman Dato' adalah sebesar itu, aku tak dapat bayangkan bagaimana besarnya lagi sebuah istana kepunyaan Sultan. Mulut aku mula ternganga apabila melihat kebesaran kediaman Dato' itu. Pak Ajis tak ada reaksi sikit pun tetapi tangannya cuba menutup mulut aku yang ternganga besar itu. Lalu, dengan pantas aku pun menutup mulut aku semula. Pak Ajis hanya menggelengkan kepalanya saja sambil tersenyum kecil melihat reaksi aku itu. Apabila van itu berhenti di tempat menurunkan penumpang, aku dan Pak Ajis pun turun daripada van itu. Kemudian, aku hanya mengikut saja langkah Pak Ajis yang perlahan itu menuju ke pintu besar kediaman Dato' itu. Amin pula hanya duduk dan menunggu di dalam van. Dia tidak turun mengikuti aku dan Pak Ajis.
"Budin kena pandai jaga diri tau" pesan Pak Ajis tiba-tiba.
"Nanti hujung minggu bila Pak Ali dan Pak Ajis cuti, kami datang melawat Budin ye? Budin janganlah risau. Kami selalu ada untuk Budin" sambung Pak Ajis lagi.
Hati aku menjadi sebak mendengar kata-katanya itu. Tetapi sedaya-upaya aku cuba menahan sebak di dada. Aku cuba memaksa bibir aku untuk mengukirkan senyuman kecil walaupun hati aku tengah sedih sekarang ini. Pak Ajis hanya mengusap lembut kepala aku. Setiba saja di depan pintu besar kediaman Dato' itu, langkah aku dan Pak Ajis terhenti. Pak Ajis mengetuk pintu kediaman itu. Selepas seketika, pintu kediaman itu pun terbuka daripada dalam. Terdapat seorang lelaki muda yang keluar daripada kediaman itu dan menyapa kami. Pak Ajis memperkenalkan aku kepada lelaki muda itu dan menerangkan perihal kedatangan kami ke kediaman itu. Kemudian, lelaki muda itu mengajak aku untuk masuk ke dalam kediaman itu.
Sebelum aku berpisah dengan Pak Ajis, aku memandangnya buat kali terakhir. Mulut aku terasa berat untuk bersuara. Tetapi dalam sudut hati aku ini, aku berharap sangat Pak Ajis akan menunaikan janjinya untuk membawa Pak Ali melawat aku bila-bila nanti. Pak Ajis juga turut memandang aku sambil tersenyum. Sambil mengusap kepala aku Pak Ajis pun berpesan, "Jangan risau Budin. Nanti Pak Ajis bawak Pak Ali melawat Budin ye?" Sekali lagi Pak Ajis berjanji kepada aku. Orang tua itu seolah-olah boleh baca sudut hati aku. Mendengar janjinya itu, aku mengangguk kepala aku dengan laju. Pak Ajis hanya tersenyum saja melihat aku.

ANDA SEDANG MEMBACA
Benji
RomanceNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...