Topeng

56 2 0
                                    

Pada keesokan harinya, kebetulan aku, Kenit, Abu dan Alang bercuti pada hari yang sama. Jadi, mereka bertiga mengajak aku untuk pergi keluar dan berjalan-jalan sekali. Kalau aku seorang saja yang bercuti, sudah pasti aku hanya duduk saja terperap di dalam bilik sepanjang hari. Sedangkan, mereka bertiga sangat rajin keluar bersiar-siar pada hari mereka cuti. Di luar kediaman milik Dato' Bakri itu, terdapat sebuah pusat beli belah yang berhampiran. Aku, Kenit, Abu dan Alang berjalan kaki menuju ke pusat beli belah tersebut.

Sampai saja di pusat beli belah itu, Kenit, Abu dan Alang menjadi rambang mata membeli barang-barang mereka. Aku hanya ikut saja ke mana mereka bertiga pergi. Aku tak tahu apa yang aku nak beli. Mungkin aku akan beli jajan saja nanti sebelum balik. Pusat beli belah itu kecil saja. Tetapi banyak kedai yang terdapat di situ. Semua barang yang dijual di pusat beli belah itu juga murah-murah harganya. Mungkin sebab itulah Kenit, Abu dan Alang suka sangat membeli belah di situ.

Semasa aku sedang menemani Kenit, Abu dan Alang membeli belah di sebuah kedai pakaian, aku ternampak sebuah kedai yang sangat unik di sebelahnya. Keadaan kedai itu sangat malap tetapi mempunyai lampu yang berwarna ungu. Entah mengapa aku rasa tertarik untuk masuk ke dalam kedai itu. Aku pun meninggalkan mereka bertiga yang sedang seronok memilih baju itu dan berjalan memasuki kedai yang aku nampak menarik itu. Kedai unik itu mempunyai banyak sangat gaun yang cantik-cantik. Ada juga baju suit untuk lelaki. Aku rasa kedai itu menjual pakaian untuk dipakai ke pesta atau majlis keramaian.

Aku pun saja membelek-belek baju di dalam kedai itu. Apabila aku sudah puas membelek pakaian di dalam kedai itu, aku berjalan semula ke arah pintu keluar. Namun, sebelum aku sempat berjalan keluar daripada kedai itu, mata aku terpandang topeng-topeng yang tergantung di dinding hujung kedai itu. Aku berjalan menghampiri dinding tersebut. Terdapat pelbagai jenis topeng yang ada di situ. Tiba-tiba aku mendapat idea macam mana nak bawa Tuan Benjamin keluar daripada kediaman milik Dato' Bakri itu.

Topeng mata yang tergantung di dalam kedai itu seperti ala-ala masquerade mask. Aku pun memilih satu topeng mata berwarna hitam yang separuh saja. Topeng mata itu boleh menutupi sebelah mata kanan Tuan Benjamin yang berparut itu. Selepas aku membeli topeng mata itu, aku berjalan semula ke kedai pakaian yang Kenit, Abu dan Alang sedang membeli belah tadi. Aku cuba mencari satu baju hoodie bersaiz besar yang boleh aku belikan untuk Tuan Benjamin. Setelah selesai membeli belah, aku, Kenit, Abu dan Alang menghabiskan duit kami pula dengan membeli jajan. Begitulah kami berempat menghabiskan hari cuti kami kali ini.

Pada keesokan harinya, aku rasa teruja sangat nak berjumpa dengan Tuan Benjamin. Aku sudah tak sabar lagi nak bagitahu dia idea bernas aku itu. Aku merancang untuk menyuruh Tuan Benjamin memakai baju hoodie dan topeng mata yang aku beli semalam apabila kami berdua keluar daripada kediaman itu nanti. Aku harap dia setuju lah dengan idea aku itu. Sampai saja di bilik tidur Tuan Benjamin pagi itu, aku mula menceritakan semua idea aku kepadanya. Aku juga turut membawa baju hoodie dan topeng mata yang aku beli semalam untuk ditunjukkan kepada Tuan Benjamin. Dia hanya diam saja sepanjang aku menceritakan idea aku itu. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu.

"Aku ada soalan. Macam mana kita nak keluar daripada kediaman ni? Maksud aku kita nak lalu mana?" soal Tuan Benjamin setelah aku habis bercerita.

"Mula-mula, kita turunlah menggunakan ruangan tangga tersembunyi tu. Lepastu, kita jalan je lah macam biasa. Kalau Tuan Benjamin pakai baju hoodie tu, pekerja-pekerja lain akan ingat Tuan Benjamin pun pekerja macam mereka juga. Seolah-olah kita ni macam pekerja yang keluar pada hari yang kita cuti. Lagipun, baju hoodie tu boleh tutup kepala dan muka Tuan Benjamin sekali. Jadi, mereka tak akan perasan pun" terang aku panjang lebar bagi menjelaskan idea aku lagi. Tuan Benjamin hanya menganggukkan saja kepalanya mendengar penjelasan aku itu tanda dia faham.

"Soalan aku yang seterusnya, kita nak keluar bila? Masa hari kau cuti? Kau kena ingat, masa hari kau cuti, Shuib yang bertugas menguruskan aku. Dia mesti pelik nanti aku hilang pergi mana. Kalau boleh, aku tak nak dia tahu pasal perancangan kita ni" soal Tuan Benjamin lagi. Aku terdiam seketika. Betul juga apa yang dikatakan Tuan Benjamin itu.

Aku faham kenapa Tuan Benjamin tak nak Encik Shuib mengetahui tentang perancangan kami berdua itu. Walaupun Tuan Benjamin menganggap Encik Shuib itu seperti keluarganya sendiri, tetapi Encik Shuib masih lagi dikira bekerja di bawah Dato' Bakri. Boleh jadi sekiranya dia tahu tentang perancangan aku untuk membawa Tuan Benjamin keluar daripada kediaman itu akan dilaporkan kepada Dato' Bakri nanti. Aku tak tahu apa akan jadi sekiranya Dato' Bakri tahu yang Tuan Benjamin keluar daripada kediaman itu. Tiba-tiba aku menjadi risau pula dengan perancangan itu.

"Kalau kita keluar hari saya bekerja tak boleh ke, Tuan Benjamin? Lagipun, setakat ni Encik Shuib tak pernah lagi datang menjenguk kita di tingkat atas sepanjang hari saya bekerja" soal aku pula meminta kepastian daripada Tuan Benjamin.

"Nanti pekerja-pekerja lain tak pelik ke tengok kau asyik keluar je?" soal Tuan Benjamin. Aku rasa, kalau aku pakai baju hoodie yang dihadiahkan oleh Pak Ali dan Pak Ajis itu, mungkin pekerja-pekerja lain tak perasan pun. Aku hanya membuat andaian saja.

"Saya harap mereka tak perasan lah, Tuan Benjamin" jawab aku. Tuan Benjamin hanya memandang saja muka aku seperti ada lagi yang tak kena.

"Lagi satu.... Aku dah suruh kan kau berhenti jadi formal dengan aku. Panggil je aku Benji" kata Tuan Benjamin. Memang betul pun dia ada suruh aku panggil dia Benji. Tetapi aku sudah terbiasa panggil dia Tuan Benjamin selama ini. Aku rasa kekok pula nak panggil dia Benji.

"Mmm.... sorry lah. Saya tak biasa lagi Tuan.... maksud saya Benji" balas aku tergagap-gagap. Hati aku rasa nak menangis pula sebab aku betul-betul rasa kekok nak panggil dia Benji. Dia hanya memandang saja aku sambil tersenyum.

"Tak payah nak ber'saya' sangatlah. Kau tak selesa ke guna 'aku' 'kau' je dengan aku?" soalnya lagi. Masalahnya bukan aku tak selesa. Aku kekok. Macam mana lah aku nak bagitahu dia ni.

"Mmm... nanti saya... eh, aku cuba lah" balas aku tergagap-gagap lagi. Aku mula terasa malu pula dengan diri sendiri. Dia hanya ketawa saja mendengar aku tergagap-gagap menjawab soalannya itu. Dia siap mengajuk lagi apa yang aku jawab tadi. Bukan main seronok lagi dia gelakkan aku. Aku biarkan saja. Aku sudah malas nak melayan. Itu bukan kali pertama dia mengejek dan mentertawakan aku.

"Alah, jangan lah marah, Dino" katanya selepas melihat aku membuat muka tak puas hati. Dia masih lagi mentertawakan aku. Aku hanya menghiraukannya saja dan mula membuat tugasan aku setiap pagi.

Sesudah saja sarapan pagi, aku dan 'Benji' bertungkus-lumus mengerah idea ke mana kami berdua nak keluar nanti. Aku baru tahu yang Benji ada telefon pintar. Selama ini, aku tak pernah nampak pun dia menggunakan telefon pintarnya itu. Katanya, dia tak suka sangat menggunakan telefon pintar. Aku lagi lah tak tahu satu benda pun pasal telefon pintar. Nak guna macam mana pun aku tak tahu. Benji sedang cuba menggunakan telefon pintarnya itu untuk mencari tempat-tempat yang menarik untuk kami pergi nanti. Dia juga sedang mencari laluan stesen kereta api yang mudah dan dekat untuk kami gunakan nanti. Semuanya Benji ceritakan dan tuliskan di atas kertas supaya aku pun tahu dan faham.

Walaupun pada mulanya, aku yang merancang untuk membawa Benji keluar daripada kediaman itu, tetapi sebenarnya Benji yang menguruskan semuanya. Dia lah yang mencari tempat ke mana kami berdua patut pergi. Dan dia juga lah yang mencari laluan stesen kereta api apa yang patut kami berdua ambil nanti. Aku hanya mampu tolong mendengar saja semua penjelasannya itu.

Sejujurnya, aku tak minat sangat pun nak keluar jalan-jalan ni. Selama ini pun kalau aku cuti, aku akan duduk saja di dalam bilik. Sama ada aku berangan ataupun aku membaca novel yang dipinjamkan oleh Benji. Tetapi serakarang ini aku berasa sangat seronok dan tak sabar lagi untuk keluar sebab aku teruja nak bawa Benji keluar daripada kediaman itu. Aku nak dia melihat dunia luar lagi. Aku nak dia berinspirasi untuk melukis semula. Aku harap sangat dia akan memupuk semula cita-citanya untuk berkarya dalam dunia lukisan lagi.

BenjiWhere stories live. Discover now