Rindu

68 3 0
                                    

Aku berlari sekuat hati aku ke arah pagar besar kediaman milik Dato' Bakri itu. Aku berlari terlalu laju sehinggakan aku hampir tersungkur ke tanah. Pekerja-pekerja yang bertugas di luar waktu itu pelik melihat aku berlari seperti orang gila. Tetapi aku hanya menghiraukan saja mereka. Jika aku ada sayap sudah lama aku terbang saja. Tak sabar rasanya nak berjumpa dengan Pak Ali dan Pak Ajis. Sudah dua bulan lamanya rindu membuak-buak di hati aku ini.

Keluar saja daripada pagar besar kediaman itu, aku nampak dua orang pak cik tua sedang terpinga-pinga menunggu aku. Daripada jauh lagi aku sudah tahu yang mana satu Pak Ali dan yang mana satu Pak Ajis. Aku terus pecut berlari ke arah mereka berdua dan memeluk erat tubuh Pak Ali. Pak Ali hampir terjatuh disebabkan aku menerkamnya sebegitu. Pak Ali hanya ketawa besar dan memeluk semula tubuh aku dengan erat. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa bahagianya aku pada saat itu.

"Budin ke ni? Pak Ajis ingatkan raksasa mana tadi terkam Pak Ali" ujar Pak Ajis mengusik aku sambil mengekeh ketawakan aku. Aku hanya menghiraukan saja orang tua itu.

"Budin sihat, nak?" soal Pak Ali. Tangannya masih lagi tak lepas memeluk aku. Selama dua bulan di dalam kediaman itu, aku sungguh rindu nak dengar suara Pak Ali. Akhirnya, hari ini aku dapat mendengar kembali suaranya itu. Hati aku berasa sangat gembira. Aku hanya menganggukkan saja kepala aku bagi menjawab soalan Pak Ali itu.

"Terlebih sihat adalah aku tengok Budin ni" kata Pak Ajis sambil menepuk-nepuk badan aku. Dia nak cakap aku makin berisi lah tu.

"Ish, kau ni Ajis! Baguslah Budin terlebih sihat. Maksudnya Budin bahagia kan, nak?" balas Pak Ali pula sambil menepis tangan Pak Ajis yang menepuk-nepuk badan aku tadi. Lalu, Pak Ali pun perlahan-lahan melepaskan aku daripada pelukannya. Bibirnya tak pernah lekang daripada senyumannya yang manis.

"Asalkan Budin bahagia, pak cik pun bahagia" kata Pak Ali lagi sambil tangannya mengusap lembut kepala aku. Aku perasan ketinggian aku sudahpun melebihi ketinggian Pak Ali dan Pak Ajis.

"Pak Ajis ada belikan roti bun dengan lauk ikan sardin. Jom makan" kata Pak Ajis mengajak aku dan Pak Ali makan. Lalu, kami bertiga pun mula berjalan ke arah taman permainan berhampiran dan duduk di meja dan kerusi yang disediakan untuk penggunaan orang awam di taman itu.

Setelah aku, Pak Ali dan Pak Ajis duduk saja di kerusi, kami bertiga pun mula menjamu roti bun dan lauk ikan sardin yang dibelikan oleh Pak Ajis itu. Aku merasakan roti bun dan lauk ikan sardin itu lebih sedap daripada makanan yang aku makan selama ini di dalam kediaman itu. Roti bun yang gebu dan lauk ikan sardin yang pedas tetapi manis itu sudah cukup membuatkan hati aku gembira. Tak ada makanan lain yang dapat menggantikan kedua-dua makanan kegemaran aku itu. Sedang aku gembira menikmati roti bun dan lauk ikan sardin itu, aku tak sedar yang Pak Ali dan Pak Ajis hanya tersenyum saja melihat aku makan.

"Macam mana kerja di kediaman Dato' Bakri tu? Okey ke, Budin?" soal Pak Ajis menyedarkan aku semula daripada dunia aku sendiri. Aku hanya menganggukkan kepala aku tanda aku okey saja. Aku tak boleh membuka mulut aku untuk menjawab soalan Pak Ajis itu disebabkan mulut aku penuh dengan makanan.

"Ada orang buli Budin tak, nak?" soal Pak Ali pula dengan suara yang risau. Aku menggelengkan kepala aku. Lalu, perlahan-lahan aku menelan semua makanan yang telah hancur di dalam mulut aku itu.

"Okey je, Pak Ajis. Jangan risau, pak cik. Tak ada siapa pun yang buli Budin setakat ni" jawab aku kepada persoalan Pak Ajis dan Pak Ali tadi setelah tiada makanan lagi di dalam mulut aku.

Pak Ali dan Pak Ajis memandang aku serentak seperti terkejut mendengar aku bercakap dengan ayat yang panjang. Selama aku duduk dengan mereka berdua, aku memang jarang-jarang sekali membuka mulut. Mungkin sebab aku masih lagi takut untuk bercakap. Tetapi sekarang aku sudah mula berani bercakap. Pak Ali dan Pak Ajis memandang sesama mereka sendiri dan tersenyum lebar. Mereka berdua kelihatan seperti gembira. Mungkin Pak Ali dan Pak Ajis gembira melihat aku sudah berani membuka mulut untuk bercakap. Lalu, mereka berdua mengusap lembut kepala aku serentak. Pak Ali dan Pak Ajis seakan-akan bangga dengan perkembangan aku itu.

BenjiWhere stories live. Discover now