"Tolong? Tolong apa pak cik?" soal aku pelik dengan permintaan pak cik tua itu.
"Sebelum tu pak cik nak tanya, anak ni nama apa?" tanya pak cik tua itu dan menghiraukan keraguan aku tadi.
"Budin" jawab aku pendek. Itu saja nama yang aku tahu sebab itu saja nama yang sering mak aku panggil kepada aku.
"Ohhh, Budin! Ha, Budin boleh panggil pak cik, Pak Ali" balas pak cik tua itu lalu memperkenalkan dirinya. Aku hanya menganggukkan saja kepala aku tanda akur.
"Pak Ali nak sambung menyapu. Banyak lagi kawasan yang perlu disapu. Budin nak ikut Pak Ali ke atau Budin nak duduk sini?" jelas Pak Ali dan menyuruh aku membuat keputusan. Aku pun buntu.
Aku berfikir kalau aku duduk di perhentian bas itu sekalipun lambat-laun aku perlu sambung jalan juga sekiranya perut aku lapar kembali. "Nak ikut pak cik" jawab aku perlahan. Entah mengapa hati aku merasakan panggilan pak cik itu lebih mesra. Pak Ali hanya tersenyum mendengar jawapan aku. Namun senyuman itu hilang apabila matanya tertumpu pada kaki aku. Aku pun mengikut pandangan matanya dan melihat kaki aku yang tak pernah beralas. Entah bila kali terakhir kaki aku bersarungkan selipar aku pun sudah tidak ingat.
"Budin tak pakai selipar ke nak?" tanya Pak Ali kedengaran sebak. Aku hanya senyum kelat tak tahu nak jawab apa.
Kemudian Pak Ali mengeluarkan sebungkus plastik daripada beg silang usangnya. Aku rasa beg silang Pak Ali itu beg ajaib. Semua benda ada dalam beg silangnya itu. Rupa-rupanya ada sepasang selipar jamban berwarna biru dalam beg plastik yang dikeluarkannya tadi. "Nah, Budin pakai ni dulu buat sementara. Kesian kaki Budin mesti kesejukan" ujar Pak Ali lalu meletakkan sepasang selipar jamban itu ke bawah. Aku menyarung selipar jamban biru itu. Sebenarnya selipar itu terlalu besar untuk kaki aku tetapi aku tak peduli sebab akhirnya kaki aku beralas. Hati aku terasa seperti berbunga-bunga. Mungkin ini ke perasaan gembira?
"Jom?" Pak Ali mengajak aku berjalan. Aku menganggukkan kepala lalu mengikut langkah Pak Ali yang perlahan itu.
Di setiap perjalanan, Pak Ali menyapu daunan yang bersepah-sepah di tepi jalan dan mengumpulkannya ke satu sempat. Pak Ali memberikan aku plastik sampah hitam untuk aku kaut daunan yang dikumpulnya tadi dan masukkan ke dalam plastik sampah tersebut. Kadang-kadang aku pula yang menyapu daunan sementara Pak Ali duduk berehat. Dia masih lagi mengusap-usap kakinya yang bengkak itu.
Siang berganti senja. Aku hanya mengikut langkah Pak Ali ke mana saja dia pergi. Apabila kakinya berhenti melangkah, kaki aku juga turut berhenti melangkah. "Kita tunggu sini sekejap ye, nak" kata Pak Ali lalu duduk di tepi jalan. Aku pun turut duduk di sebelah Pak Ali.
"Kita tunggu siapa pak cik?" soal aku bingung.
"Tunggu van pak cik, nak. Sekejap lagi sampai lah tu" jelas Pak Ali. Aku hanya menganggukkan saja kepala aku tanda faham.
Aku mendongak ke atas dan melihat langit yang sungguh cantik bagaikan sebuah lukisan. Aku dapat memerhati perlahan-lahan langit bertukar daripada berwarna jingga hingga menjadi kemerahan. Melihat langit yang terbentang luas itu, segala bebanan masalah yang sarat di bahu aku ini terasa ringan. Aku juga dapat melihat beberapa kumpulan burung berterbangan dan berkicauan riang di awanan. Mereka berterbangan seperti menuju ke sebuah destinasi. Mungkin mereka ingin pulang ke rumah sarang. Sedangkan burung jugak mempunyai rumah untuk pulang. Alangkah indahnya jika aku juga mempunyai rumah untuk pulang.
Lamunan aku itu terhenti apabila kedengaran sebuah van menghampiri ke arah aku dan Pak Ali. "Ha, dah sampai pun" ujar Pak Ali lalu bangun daripada duduknya. Aku juga turut bangun. Van itu berhenti betul-betul di depan aku dan Pak Ali.
"Hai, Pak Ali! Macam mana kaki? Sakit lagi ke?" soal pemandu van itu menyapa ceria Pak Ali. Dalam van tu terdapat beberapa orang dewasa lain yang memandang aku dan Pak Ali. Ada yang senyum kepada aku dan ada juga yang tenung aku seperti mahu membaham aku hidup-hidup. Dengan pantas aku menundukkan pandangan mata aku.
"Macam tu lah, Amin. Lewat kamu harini?" balas Pak Ali lalu menarik tangan aku dan membawa aku menaiki van itu.
"Biasa lah, Pak Ali. Jalan sibuk sikit harini. Ni siapa ni, Pak Ali?" soal pemandu yang bernama Amin itu lalu mengalihkan pandangannya kepada aku.
"Ni kawan Pak Ali. Dia banyak tolong Pak Ali harini" jelas Pak Ali kepada Amin lalu tersenyum kepada aku.
Aku tak tahu apa yang patut aku buat dan hanya berdiam diri saja. Aku dapat merasakan semua mata sedang memandang aku. Aku tak tahu apa yang mereka fikirkan tetapi apa yang pasti suasana di dalam van itu sangat tak selesa.
"Kawan? Macam cucu ada lah, Pak Ali" balas Amin lalu ketawa seorang diri. Tanpa menunggu sebarang jawapan daripada Pak Ali, Amin pun mula memandu van.
Sepanjang perjalanan di dalam van itu, Pak Ali sekalipun tak melepaskan genggaman tangannya pada pergelangan tangan aku. Gelagat Pak Ali seperti takut kehilangan aku. Walaupun begitu, raut wajahnya masih tenang dan tak lekang daripada senyuman. Aku pun tak pasti van itu sedang menuju ke mana.
Setelah beberapa kali van itu berhenti untuk mengambil penumpang, Amin si pemandu van itu pun berhenti di satu pekan kecil. Pak Ali membuka pintu van dan menarik aku keluar daripada van itu. "Jaga-jaga, Pak Ali. Kalau bos besar tahu pasal budak ni, habis nanti Pak Ali" kata si Amin dengan suara yang perlahan.
"Terima kasih, Amin. Hati-hati memandu" balas Pak Ali tersenyum dan berlalu pergi sambil memimpin tangan aku. Setelah melangkah jauh sedikit daripada tempat van tadi berhenti, baru lah Pak Ali melepaskan tangan aku. "Budin okay ke tu?" soal Pak Ali tentang keadaan aku. Mungkin dia pun perasan yang aku nampak tak selesa tadi. Aku menganggukkan kepala aku tanda aku baik-baik saja. Pak Ali hanya tersenyum saja memandang aku.
"Kita beli nasi sekejap ye? Lepas tu baru kita pulang" ujar Pak Ali lembut. Sekali lagi aku hanya mengangguk kepala aku saja. Pak Ali berjalan ke arah gerai di hujung pekan. Aku hanya mengikut langkahnya daripada belakang.
"Ada lauk apa je lagi, nak?" soal Pak Ali kepada penjaga gerai makanan itu.
"Eh, Pak Ali! Lambat pulang hari ni ye?" soal penjaga gerai itu menyapa Pak Ali dengan mesra.
"Banyak lauk ikan je yang tinggal, Pak Ali. Pak Ali nak makan lauk ikan apa?" sambung penjaga gerai itu lagi menjawab persoalan Pak Ali tadi.
"Ha'ah lambat sikit pulang hari ni. Biasa lah jalan sesak. Semua sibuk nak pulang daripada tempat kerja kan" balas Pak Ali semula sambil tersenyum manis.
"Bagi Pak Ali sebungkus nasi dengan lauk sambal ikan sardin je lah ye, nak. Nasi tu bagi lebih sikit boleh?" pinta Pak Ali.
"Eh, mestilah boleh! Untuk Pak Ali semua boleh!" jawab penjaga gerai itu dengan gurau senda sambil tertawa kecil. Pak Ali juga turut ketawa.
"Ni adik ni siapa?" soal penjaga gerai itu kepada aku pula. Aku terkaku. Aku tak tahu nak jawab apa.
"Oh, ni kawan Pak Ali" jawab Pak Ali bersahaja bagi pihak aku.
"Comel betul kawan Pak Ali ni ye" balas penjaga gerai itu sambil tersenyum kepada aku. Entah dekat mana yang dia nampak aku ni comel pun aku tak tahu. Aku hanya berdiri diam-diam saja di belakang Pak Ali.
"Terima kasih ye, nak. Pak Ali beli" ujar Pak Ali lalu menghulurkan dua keping wang kertas berwarna biru muda kepada penjaga gerai itu.
"Sama-sama, Pak Ali. Saya jual. Nanti datang lagi ye" balas penjaga gerai itu sambil melambai-lambaikan tangannya kepada aku dan Pak Ali.
Aku terasa kekok dengan kemesraan seperti itu. Selama ini kalau orang nampak aku, sama ada mereka tolak aku sebab jijik dengan aku atau mereka anggap saja aku ini seperti halimunan. Seusai saja membeli nasi tadi, aku hanya mengikut saja langkah Pak Ali. Katanya nak bawa aku 'pulang'. Aku pun tak pasti dia ingin bawa aku pulang ke mana. Aku ikutkan saja.
YOU ARE READING
Benji
RomanceNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...