Setelah Benji selesai saja membeli tiket di kaunter, dia membawa aku berjalan menghampiri tempat itu. Tak lama selepas itu, barulah aku perasan yang sebenarnya tempat itu adalah rumah hantu. Gila ke apa Benji ni nak bawa aku masuk rumah hantu? Walaupun hari belum malam lagi, jantung aku sudahpun rasa nak tercabut apabila terbayangkan saja muka hantu. Terus aku berjalan laju cuba melarikan diri. Benji mengejar aku daripada belakang.
"Kau bawak aku pergi mana ni, Benji?!" soal aku dengan nada suara yang sedikit marah.
"Alah, rumah hantu ni kecik je, Dino. Jom lah kita cuba masuk. Sekali ni je" balas Benji cuba memujuk aku sambil menarik tangan aku. Kami berdua dah macam bermain tarik tangan di situ. Semua orang yang lalu lalang memandang kami pelik.
"Tak nak aku! Kau masuk lah sorang" ujar aku cuba melepaskan tangan aku daripada genggaman tangan Benji. Kuat juga Benji ni. Aku tarik lah macam mana pun tangan aku, memang tak akan berjaya lepas.
"Please, Dino.... Aku nak cipta memori je dengan kau" ujar Benji masih lagi sedang cuba memujuk aku.
"Tempat lain tak boleh cipta memori ke? Rumah hantu jugak lah yang kau nak bawak aku pergi" balas aku sedikit geram dengan ragam pelik Benji itu.
"Dulu kau yang kata kau tak takut hantu" kata Benji. Aku baru teringat pasal hantu yang dimaksudkannya itu.
"Bila masa aku cakap aku tak takut hantu? Dulu tu, kau yang aku cakap aku tak takut. Bukan hantu! Kau jangan nak memutar belit apa yang aku cakap dulu eh" bebel aku masih lagi geram dengan Benji. Dia hanya ketawa saja mendengar bebelan aku itu.
"Ohh.... Maksudnya sekarang ni, kau takut hantu lah ni?" soal Benji cuba mengusik aku. Dia masih lagi ketawakan aku. Geram pula aku dengan Benji ni kadang-kadang. Entah kenapa lah dia suka sangat menyakat aku. Aku hanya menghiraukan saja soalannya itu.
"Alah, sekali ni je, Dino! Please.... Aku janji aku tak akan bawak kau pergi tempat pelik-pelik lagi dah lepas ni" kata Benji sambil membuat muka kesian. Menyampah pula aku tengok muka kesiannya itu.
"Janji?!" soal aku. Aku cuba memujuk diri sendiri untuk mengalah. Kalau bertekak dengan Benji ni, memang sampai ke sudah tak habis.
"Janji!" balas Benji pantas sambil tersengih seperti kerang busuk. Suka lah dia tu.
Selepas itu, aku dan Benji berjalan semula ke arah rumah hantu itu. Sejujurnya, aku sangat takut sekarang ni. Jantung aku berdegup kencang. Rasa nak tercabut pun ada ni. Tetapi aku paksa juga diri aku untuk melawan perasaan takut itu. Masuk saja ke dalam rumah hantu itu, aku terus berlari ke belakang Benji sambil tangan aku menarik bajunya. Benji hanya ketawa saja melihat reaksi aku itu.
"Kau gelak apa? Tak kelakar tau" ujar aku marah pada Benji. Dia masih lagi ketawa. Suka sangat Benji mengusik aku.
"Macam mana aku nak jalan kalau kau tarik baju aku?" soal Benji.
"Jalan je lah. Kau yang nak sangat kan masuk rumah hantu tadi" bebel aku. Lalu, Benji pun mula berjalan dengan perlahan.
Tangan aku masih lagi menarik baju Benji sambil berjalan perlahan di belakangnya. Aku menutup seluruh muka dan mata aku dengan belakang badan Benji yang bidang itu. Kadang-kadang aku hanya mengintai saja keadaan rumah hantu itu daripada bahu Benji. Nasib baik lah Benji tu tinggi dan bidang. Boleh juga aku menyorok belakang badan dia. Rumah hantu itu sangat gelap. Hanya lampu merah kecil saja yang menyinari laluan untuk kami berdua berjalan.
Setelah berjalan lama sedikit, tiba-tiba ada hantu yang menerjah ke arah aku dan Benji. Aku menjerit kuat sebab terkejut. Benji ketawa besar mendengar aku menjerit. Sakit pula hati aku mendengar dia ketawa. Apa benda yang kelakar pun aku tak tahu. Aku pun tak faham kenapa lah Benji suka sangat nak masuk rumah hantu. Dia tak sakit jantung ke? Jantung aku dah nak tercabut dah sebab terkejut dengan hantu tadi.
"Benji, jalan lah cepat sikit. Aku takut lah" ujar aku dengan tangan yang masih lagi menarik baju Benji.
"Macam mana aku nak jalan laju? Kau tarik baju aku. Kalau aku jalan laju nanti kau terjatuh macam mana?" balas Benji. Ada betulnya juga apa yang Benji cakapkan itu. Kalau aku terjatuh lepas tu Benji tak perasan, habis lah aku kena tinggal seorang diri dalam rumah hantu ni nanti. Tak nak aku!
"Kita pegang tangan nak? Lepas tu kita lari" kata aku memberi idea kepada Benji. Dia hanya ketawa saja mendengar idea aku.
"Tak best lah kalau lari" balas Benji.
"Ish, kau ni. Banyak betul songeh. Okey lah. Kita jalan laju-laju" ujar aku cuba memujuk Benji. Akhirnya, Benji setuju juga dengan idea aku itu. Lalu, kami berdua pun berpegangan tangan sambil berjalan laju.
Selepas itu, banyak kali juga lah aku dan Benji kena terjah dengan hantu. Dan banyak kali itu juga lah aku menjerit sebab terkejut. Benji tak berhenti ketawakan aku. Setiap kali hantu tu terjah kami berdua, aku cepat-cepat pejamkan mata aku. Sebab aku takut nak tengok muka hantu-hantu itu. Kalau aku tak boleh tidur malam itu, siaplah Benji aku kerjakan. Siapa suruh dia paksa aku masuk rumah hantu?
Sampai saja di pintu keluar rumah hantu itu, aku berasa sangat lega. Sumpah aku tak nak masuk rumah hantu dah lepas ni. Cukuplah sekali itu saja. Apabila aku dan Benji keluar daripada rumah hantu itu, aku duduk sekejap di tepi jalan. Aku sedang cuba mencari nafas aku semula selepas penat menjerit tadi. Benji pula pergi membeli air mineral untuk kami berdua. Hari sudahpun malam. Suasana luar pada malam itu sungguh dingin dan menenangkan hati aku yang sedang panas dengan Benji itu.
Sedang aku menghirup udara segar sambil menikmati suasana malam itu, aku terasa pipi aku sejuk. Rupanya Benji sedang menekap botol air mineral yang sejuk itu ke pipi aku. Aku hanya memandangnya saja dengan jelingan maut. Benji pula hanya ketawa saja melihat jelingan maut aku itu. Sejujurnya, aku masih lagi geram dengan Benji. Sebab dia lah jantung aku penat terkejut banyak kali. Tetapi tangan aku masih lagi mengambil botol air mineral itu daripada tangan Benji.
"Kau marah ke, Dino?" soal Benji sambil duduk di sebelah aku.
"Tak lah. Aku suka" jawab aku bersahaja sambil meneguk air.
"Kalau suka kena senyum macam ni" kata Benji sambil tersenyum menampakkan gigi taringnya. Aku hampir tersembur melihat senyumannya itu. Entah mengapa aku rasa geli hati pula. Aku ketawa kecil selepas menelan air yang aku hampir tersembur itu.
"Ha, kan nampak comel tu gelak macam tu" kata Benji sambil tertawa melihat aku ketawa.
"Ada ada je lah kau ni, Benji. Dah lah, jom kita balik" ujar aku lalu mengajak Benji pulang.
Sebelum aku dan Benji berjalan semula ke stesen kereta api, Benji mengajak aku berhenti sekejap di kedai runcit untuk membeli roti dan jajan. Katanya untuk alas perut dalam perjalanan nanti. Tetapi aku tengok bukan main banyak lagi roti dengan jajan yang dibelinya. Ini bukan alas perut dah namanya. Ini melahap ada lah. Suka hati dia lah. Duit dia. Aku pun memilih roti dan jajan yang aku suka. Tiba-tiba aku rindu pula nak makan roti bun yang selalu Pak Ali dan Pak Ajis beli untuk aku. Tetapi roti bun itu tak ada di jual di kawasan ini. Roti bun itu ada dekat pinggir bandar saja. Aku harap kalau Pak Ali dan Pak Ajis datang melawat aku selepas ni, mereka berdua belikan roti bun itu untuk aku.
Selesai saja memborong roti dan jajan yang banyak di kedai itu, aku dan Benji pun mula berjalan menuju ke stesen kereta api untuk pulang. Sepanjang perjalanan di dalam kereta api itu aku dan Benji tak berhenti mengunyah roti dan jajan yang kami berdua beli tadi sambil bersembang panjang. Hari itu juga merupakan hari yang sangat menggembirakan untuk aku. Walaupun aku penat menjerit dalam rumah hantu tadi, tetapi aku seronok dapat keluar dengan Benji lagi. Entah mengapa aku merasa berat hati pula nak pulang ke kediaman Dato' Bakri itu.
YOU ARE READING
Benji
RomanceNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...