Pada keesokan paginya, aku dikejutkan oleh Pak Ali. Lalu, aku disuruhnya untuk mandi dan bersiap untuk mengikut Pak Ali bekerja menyapu daunan di tepi jalanan seperti semalam. Nasib baik Pak Ali sekalipun tak bertanyakan aku mengapa aku tidur di atas lantai. Kalau ditanya, aku tak pasti bagaimana aku nak jelaskan.
Daripada aku bangun hinggalah aku sudah bersiap, mata aku tercari-cari kelibat Pak Ajis. Namun, kelibatnya tak ada di dalam rumah kontena itu. Mungkin dia sudahpun pergi kerja dulu. Apabila aku bangun saja dari tidur pagi tadi, kain selimut dan bantal yang diletakkan oleh Pak Ajis malam tadi untuk aku masih lagi bersama aku. Aku tak mengerti mengapa perkara itu masih menjengah ke dalam minda aku. Mungkin sebab semalam Pak Ajis kelihatan sedikit dingin apabila melihat aku. Aku sangkakan yang dia tak suka dengan kehadiran aku. Jadi, aku sedikit keliru dengan apa yang dilakukannya malam tadi.
Setelah sudah bersiap, aku dan Pak Ali melangkah keluar daripada rumah kontena itu dan berjalan menuju ke pekan kecil di mana Amin si pemandu van turunkan semua pekerja petang semalam. Setiba saja di pekan kecil itu, van yang dibawa Amin itu masih lagi belum sampai. Aku dan Pak Ali hanya berdiri saja sambil berpeluk tubuh menunggu van tersebut.
Suasana di pagi hari itu sungguh menyenangkan. Aku menghirup udara pagi yang segar dan memerhati langit yang kebiruan. Hari ini aku merasakan hidup aku mempunyai hala tuju. Walaupun aku hanya menumpang kehidupan Pak Ali, tetapi aku tak perlu lagi merayap di jalanan tanpa arah tuju yang jelas. Dapat menolong Pak Ali menyapu dan mengutip daunan di tepi jalanan pun sudah cukup untuk menjadi hala tuju hidup aku sekarang.
Sedang elok aku menikmati udara pagi, aku ternampak Pak Ajis sedang berjalan menghampiri aku dan Pak Ali. Dia melangkah perlahan sambil memegang dua beg plastik di tangan. Rupanya belum pergi kerja lagi orang tua itu. Sangkaan aku tadi salah.
"Tunggu van ke tu?" soal Pak Ajis kepada Pak Ali mengusik walaupun sudah terang lagi bersuluh memang sedang menunggu van. Pak Ali hanya tersenyum mendengar usikannya itu.
"Eh, mana ada! Tunggu abang Ajis lah!" balas Pak Ali pula mengusik juga. Selepas itu, mereka berdua mengekeh ketawa. Aku hanya berdiri saja di situ seperti tunggul.
"Nah, hadiah daripada abang Ajis!" ujar Pak Ajis masih lagi mengusik sambil menghulurkan satu beg plastik di tangannya kepada Pak Ali.
"Wah! Abang Ajis belanja roti bun lah!" balas Pak Ali pura-pura teruja lalu mengambil beg plastik yang dikatanya berisi roti bun itu daripada tangan Pak Ajis.
Mereka berdua masih lagi mengekeh ketawa sambil mengusik sesama sendiri. Aku tak tahu apa yang sedang berlaku di situ. Tetapi aku merasakan aku seperti orang ketiga yang menyibuk di antara mereka berdua.
"Ni Budin punya" kata Pak Ajis sambil menghulurkan satu lagi beg plastik di tangannya kepada aku. Aku terkedu. Namun, tangan aku tetap mengambil beg plastik itu. Melihat saja tiga roti bun di dalam beg plastik itu, perut aku menyanyi girang minta diisi.
"Kau punya tak ada ke, Ajis?" soal Pak Ali apabila melihat tiada roti bun yang dibeli untuk Pak Ajis sendiri.
"Aku dah makan dah tadi sambil berjalan ke sini" jawab Pak Ajis dengan muka yang selamba.
"Eee, orang tua tak tahu malu! Ada ke patut makan berjalan" kata Pak Ali mengejek. Pak Ajis hanya menjelirkan lidahnya kepada Pak Ali. Sekali lagi aku rasa aku tak patut berada di situ.
"Budin makan lah roti ni dulu, nak. Macam lambat lagi je ni van nak sampai" ujar Pak Ali kepada aku. Lalu, tanpa menunggu apa-apa lagi aku pun mula ngap makan roti bun itu.
Pak Ali juga turut menikmati roti bun sambil berbual dengan Pak Ajis. Aku sudah tak hirau lagi dengan perbualan mereka berdua. Aku lebih pentingkan roti bun yang gebu dan panas itu daripada perbualan mereka yang membuatkan aku rasa tak senang duduk itu. Roti bun itu sangat sedap bagi aku. Walaupun intinya kosong, tetapi kegebuannya membuatkan roti bun itu cair di dalam mulut aku untuk setiap kali gigitan. Sedang elok aku selesai menikmati roti bun itu, van pun sampai. Aku dan Pak Ali berpisah dengan Pak Ajis sebelum menaiki van itu. Pak Ali kata Pak Ajis bekerja di kawasan sekitar situ saja. Jadi, dia tak perlu menaiki van pekerja seperti Pak Ali.
Sedar tak sedar begitulah rutin kehidupan aku selama tiga bulan selepas aku bertemu dengan Pak Ali. Semakin hari hubungan aku dengan Pak Ajis juga semakin baik. Aku seperti mempunyai dua orang ayah yang membesarkan aku dengan kasih sayang dan perhatian. Mungkin bagi orang lain cara mereka menjaga dan membesarkan aku kelihatan serba kekurangan. Namun, bagi aku layanan yang diberikan oleh Pak Ali dan Pak Ajis kepada aku seperti menatang minyak yang penuh. Layanan yang aku tak pernah dapat daripada ayah dan mak kandung aku sendiri sebelum ini.
Selama aku bersama Pak Ali dan Pak Ajis, aku seperti manusia terpaling bahagia di dunia. Aku sudah tak merasakan kebuluran mahupun kesejukan lagi. Badan aku juga sudah mula berisi berbanding badan aku yang dulu kurus kering seperti kayu lidi. Walaupun begitu, baju dan seluar yang diberikan oleh Pak Ali kepada aku masih lagi menggeleber untuk aku. Pak Ajis sering mentertawakan aku dan mengejek aku dengan panggilan 'Budin Si Budak Tiang Bergerak' dek kerana badan aku yang tinggi tetapi kurus seperti tiang. Aku biarkan saja orang tua itu.
Setelah kerap kali mendengar ejekan Pak Ajis itu kepada aku, Pak Ali berjanji dengan aku untuk membeli sepasang baju dan seluar baru untuk aku suatu hari nanti. Biar nampak lagi handsome katanya. Pak Ali siap membuat tabung untuk menyimpan duit demi menunaikan janjinya itu. Walaupun sering kali mentertawa dan mengejek aku, aku pernah juga ternampak Pak Ajis diam-diam memasukkan duitnya ke dalam tabung Pak Ali itu. Sepanjang aku mengenali Pak Ajis, aku tahu hatinya baik. Mulutnya saja suka mengusik dan mentertawakan aku dan Pak Ali. Tetapi dalam diam, dia banyak menolong Pak Ali menjaga dan membesarkan aku.
Apabila melihat Pak Ali dan Pak Ajis berbuat begitu demi aku, aku merasa serba salah. Aku sudah merasa cukup dengan segala apa yang diberikan oleh mereka berdua selama ini. Aku tak mahu menjadi beban pula kepada Pak Ali dan Pak Ajis. Cukuplah aku diizinkan untuk menumpang dalam kehidupan mereka. Aku sudah bahagia.
Namun, siapa sangka kebahagian itu hanyalah pinjaman sementara. Pada suatu pagi yang suram, kedengaran bunyi kelam kabut semua pekerja yang menetap di kawasan rumah kontena itu. Hati kecil aku ini terusik untuk menjengah keadaan di luar rumah apabila terdengar kekecohan pekerja-pekerja di situ. Sepatutnya semua sedang sibuk bersiap untuk bekerja pagi itu. Tetapi apa yang dapat aku lihat, semua sedang sibuk mengemas kawasan rumah kontena mereka. Mereka seakan-akan sedang cuba menyorokkan barang-barang yang berada di dalam rumah kontena mereka. Aku menjadi hairan.
Dalam keadaan kecoh pekerja-pekerja di situ, aku ternampak kelibat Pak Ajis berlari dari jauh menghampiri rumah kontena yang aku menumpang itu. Dia kelihatan seperti sedang berlari daripada jembalang hantu yang menakutkan. Apabila melihat aku dan Pak Ali sedang berdiri seperti orang bodoh di pintu rumah itu, Pak Ajis pun menjerit-jerit sambil melambaikan tangannya. Pada mulanya jeritannya agak kurang jelas pada aku. Tetapi lama kelamaan jeritannya semakin kuat dan jelas sehingga menaikkan ketakutan di hati aku.
"Ali! Bos besar! Bos besar datang!" jerit Pak Ajis kedengaran cuak dan semput kerana penat berlari.
Apabila Pak Ali mendengar saja jeritan Pak Ajis itu, matanya perlahan-lahan memandang aku. Itu merupakan kali pertama aku dapat melihat ketakutan pada raut wajahnya yang selama ini tak pernah lekang daripada senyuman. Pada waktu itu, apa yang terlintas di dalam kepala aku adalah apa yang aku takutkan selama ini sedang menjadi kenyataan.
YOU ARE READING
Benji
RomanceNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...