Nasib baik Benji terjaga apabila sampai saja di hentian stesen kereta api yang kami berdua perlu turun. Dengan keadaan mamai, dia pun mengejut aku bangun dan menarik tangan aku untuk membawa aku keluar daripada kereta api itu. Lalu, kami berdua mula berjalan menuju ke perhentian bas dan menaiki bas yang menghala ke perumahan berhampiran kediaman Dato' Bakri. Setelah sampai saja di perhentian bas yang berhampiran dengan kediaman itu, aku dan Benji menutup kepala kami dengan hoodie. Namun, apabila kami berdua baru nak mula melangkah, kami ternampak seekor anjing yang terduduk layu di tepi perhentian bas itu.
Sejujurnya, aku masih lagi trauma dengan anjing. Masih segar lagi di ingatan aku ketika aku sering berebut sisa makanan dengan anjing di jalanan dulu. Aku juga masih lagi ingat perasaan takut yang menguasai diri aku apabila dikejar dengan anjing dulu. Jadi, walaupun aku nampak anjing itu seperti layu saja dan tak mungkin akan menerkam aku dan Benji, aku masih lagi berasa takut. Cepat-cepat aku berlari dan menyorok di belakang Benji. Benji hanya memandang saja aku yang sedang menyorok di belakangnya itu.
Kemudian, Benji perlahan-lahan menghampiri anjing itu sambil mengeluarkan lebihan roti yang kami berdua makan tak habis tadi di kedai bakeri. Lalu, Benji meletakkan lebihan roti itu di depan anjing itu. Dengan gelojoh anjing yang layu itu mula melahap makanan yang ada diletakkan di depannya. Aku sangat faham kelaparan yang dialami oleh anjing itu sebab aku dulu juga begitu. Anjing itu seumpama bayangan hidup aku yang dulu. Tiada siapa yang mengerti peritnya hidup dengan perut yang sentiasa kosong dan lapar. Apatah lagi bila terpaksa bangun berjalan tanpa henti untuk mencari tempat berteduh dan sedikit sisa makanan demi kelangsungan hidup.
"Kau takut anjing ke Dino?" soal Benji tiba-tiba memecahkan lamunan aku.
"Mana ada aku takut" jawab aku pantas. Walaupun sebenarnya dalam hati aku memang takut.
"Tipu dosa tau. Masuk api neraka" balas Benji sambil tersenyum mengusik aku. Aku hanya menghiraukannya saja.
Lalu, dia mengeluarkan botol air mineral daripada beg plastik yang dipegangnya itu dan mula mengisi penutup botol air itu dengan sedikit air. Kemudian, Benji meletakkan penutup botol air tersebut di depan anjing itu. Setiap kali anjing itu habis saja menjilat air di dalam penutup botol itu, Benji akan mengisi lagi air ke dalam penutup botol itu. Dia mengulangi perbuatan itu berkali-kali sampailah anjing itu berhenti minum. Aku hanya memerhati saja daripada jauh.
"Aku bukan takut. Aku trauma. Dulu, anjing merupakan pesaing aku. Demi sesuap sisa makanan pun aku terpaksa berebut dengan anjing tau. Kadang-kadang sampai kena kejar dengan anjing sebab aku curi sisa makanan mereka" ujar aku membuka cerita sedih aku dulu. Benji hanya ketawa saja mendengar aku bercerita. Tetapi sedikit pun aku tak kecil hati.
"Kau berjaya lari tak akhirnya?" soal Benji.
"Mestilah berjaya! Kalau tak, aku dah tak ada dah dekat muka bumi ni" balas aku. Benji ketawa lagi.
"Dulu aku dengan anjing tak ada beza pun. Orang pandang aku sama jijik macam orang pandang anjing jalanan. Kadang-kadang aku pun confuse aku manusia ke anjing" kata aku menyambung cerita. Kali ini Benji tidak ketawa lagi. Dia hanya diam saja sambil memandang anjing yang terduduk di tepi perhentian bas itu. Melihat Benji mendiamkan diri, aku pun memberhentikan hasrat aku untuk menyambung cerita.
"Kau tak jijik pun, Dino. Anjing jalanan pun tak jijik. Sebenarnya manusia yang menghukum itu yang jijik" kata Benji setelah lama mendiamkan diri.
"Kau tak tengok aku yang dulu macam mana, Benji. Dulu, aku sangat kotor dan busuk. Aku tak pernah salahkan sesiapa pun yang jijik tengok aku dulu" balas aku pula.
"Habistu kau tengok anjing ni, kau rasa jijik ke, Dino?" soal Benji.
"Mestilah tak! Kenapa pulak aku nak rasa dia jijik?" soal aku pula tak faham dengan soalan Benji.
"Exactly. Tak ada apa pun yang jijik pada anjing ni. Sama jugak dengan kau dulu. Kau hanyalah seorang budak yang kelaparan. Tak perlu pun orang lain nak rasa jijik dengan kau" balas Benji dengan muka yang serious. Katanya itu membuatkan aku pula terdiam.
"Bagi aku, sesetengah manusia itu lebih jijik daripada anjing jalanan. Jika kau memberikan seekor anjing makanan, dia akan mengingati pemberian kau itu sepanjang hidupnya. Manakala, seorang manusia, walaupun kau memberikannya sejuta kali pemberian, sekali saja kau membuat salah, dia sudahpun lupa sejuta pemberian kau. Sedih kan? Sedangkan anjing pun pandai menghargai. Manusia hanya tahu menghukum saja" sambung Benji lagi. Aku terfikir sejenak mendengar katanya itu.
Entah mengapa aku merasakan ada betulnya juga apa yang dikatakan Benji itu. Memang betul pun sesetengah manusia sangat suka menghukum. Termasuklah aku. Kadang-kadang kita terlupa kerja menghukum itu sebenarnya kerja Tuhan. Bukanlah kerja seseorang manusia untuk menghukum manusia yang lain. Hakikatnya, kita semua pendosa. Mungkin dosa yang kita lakukan berbeza. Tetapi tanpa sedar kita semua sedang berjuang melawan dosa-dosa kita. Tanpa sedar, kita semua sedang berlawan dengan kelalaian dunia yang sementara ini.
Terkadang sesetengah manusia ini selalu berburuk sangka. Kita suka sangat buruk sangka dengan anjing ataupun kucing jalanan yang datang hanya meminta secebis makanan. Begitu juga dengan manusia. Kita suka sangat buruk sangka dengan orang yang datang meminta derma. Walaupun kita tak pernah tahu apa sebenarnya niat mereka nak meminta derma, tetapi bukan lah kerja kita untuk menghukum atau berburuk sangka. Tak ada apa yang merugikan kita sedikit pun untuk menghulurkan bantuan. Niat mereka biarlah antara mereka dengan Tuhan. Asalkan kita sudahpun memberi sedikit pertolongan. Aku rasa itulah apa yang cuba dimaksudkan oleh Benji.
Setelah lama aku dan Benji bersembang di perhentian bas itu, kami berdua pun mula berjalan untuk pulang ke kediaman Dato' Bakri itu. Pada mulanya, anjing yang terduduk layu tadi cuba mengikut kami berjalan pulang. Tetapi sedaya upaya Benji cuba memujuk anjing itu untuk duduk di perhentian bas itu. Akhirnya, anjing itu seperti mendengar pujukan Benji dan anjing itu pun tidak mengikuti kami lagi. Selepas itu, aku dan Benji berlari ke arah kediaman. Nasib baik kami berdua sempat sampai sebelum pukul 10 malam.
Apabila sampai saja di bilik tidur Benji, aku menyalin semula pakaian kerja aku dengan pantas. Kemudian, aku beransur meninggalkan Benji dan berjalan pulang ke bilik pekerja. Sampai saja di bilik, aku diserbu oleh Kenit, Abu dan Alang. Mereka bertiga seperti sudah lama menunggu kepulangan aku. Entah mengapa muka mereka kelihatan sangat cuak dan serious. Aku rasa takut pula.
"Lambat kau habis kerja hari ni, Budin?" soal Kenit dengan muka yang penuh curiga. Hati aku rasa berdebar.
"Mmm... Banyak kerja aku kena siapkan hari ni" jawab aku dengan muka yang kosong. Padahal dalam hati aku dah rasa takut.
"Kesiannya kau, Budin. Encik Shuib buli kau ke sampai bagi kerja banyak sangat dekat kau ni?" soal Abu pula kerisauan.
"Eh, tak ada lah! Aku yang mintak kerja lebih daripada Encik Shuib" jawab aku cuba menipu sunat.
"Cakap pasal Encik Shuib, kau tahu tak Budin, ada seorang pekerja kena tangkap dengan dia sebab curi-curi keluar daripada kediaman ni tanpa kebenaran Encik Shuib!" ujar Kenit membuka cerita. Mendengar ceritanya itu, terus jantung aku berdegup kencang. Siapa pula yang kena tangkap?
"Ye, Budin! Kita orang ingatkan kau yang kena tangkap tu. Sebab tu lah kita orang risau kenapa kau tak balik lagi" ujar Alang pula. Jantung aku seperti mahu meletop mendengar katanya itu.
"Eh, mana ada! Aku sibuk buat kerja tadi" jawab aku dengan pantas cuba menutupi pembohongan aku.
"Baguslah kalau bukan kau! Sebenarnya aku pun kadang-kadang ada curi-curi keluar juga. Sekarang aku dah takut nak curi-curi keluar lagi bila dapat tahu pasal cerita ni" kata Kenit. Bukan dia saja yang takut, aku pun rasa takut kalau kena tangkap dengan Encik Shuib selepas ini. Aku rasa aku patut ceritakan pasal kes ini kepada Benji esok. Mungkin aku dan Benji patut berhentikan saja perancangan kami berdua untuk keluar lagi selepas ini.
YOU ARE READING
Benji
RomanceNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...