Aku tak tahu kenapa Benji membawa aku masuk tempat yang ramai orang seperti itu. Tetapi aku hanya mengikut saja ke mana dia pimpin tangan aku. Asalkan dia bahagia. Katanya, dia nak bawa aku ke sebuah tempat. Aku pun tak pasti tempat apa yang dia nak bawa aku pergi itu. Aku dan Benji berjalan tanpa henti. Besar betul bangunan pencakar langit itu. Aku rasa kalau Benji tak tarik tangan aku, aku mesti sudah sesat entah ke mana. Setelah jauh berjalan, langkah Benji pun mula berhenti di depan sebuah tempat yang penuh dengan belon tergantung di atasnya.
Aku mengikut Benji berjalan memasuki tempat itu. Apabila sampai di kaunter, Benji menunjukkan telefon pintarnya kepada pekerja di situ. Aku pun tak tahu apa yang ditunjuknya. Selepas itu, kami berdua dibenarkan untuk masuk ke dalam kawasan tempat itu. Mata aku yang berpinar dan kepala aku yang pening tadi hilang sekelip mata apabila aku ternampak dinosaur yang sama seperti dalam buku-buku yang Benji berikan kepada aku selama ini. Hati aku rasa teruja. Patutlah Benji beria sangat nak bawa aku ke sini. Rupanya dia nak bawa aku tengok dinosaur.
Aku melihat teliti satu per satu struktur dinosaur yang ada di situ. Sudah macam pameran dinosaur saja aku tengok tempat itu. Dinosaur-dinosaur yang ada di tempat itu nampak sangat real. Aku rasa sangat kagum. Benji hanya tersenyum saja melihat muka aku yang teruja itu. Selepas puas melihat dinosaur, aku dan Benji berjalan pula melihat sekitar tempat itu. Rupanya, ada banyak lagi stesen-stesen lain yang menarik di dalam tempat itu. Ada stesen sains dan bintang. Ada stesen angkasa lepas. Macam-macam lagi lah. Aku sangat gembira dapat melihat semua itu. Selama ini aku tak tahu apa-apa pun pasal sains, bintang dan angkasa lepas. Selepas datang ke situ, aku pelajari serba sedikit pasal semua itu. Benji pun nampak sangat teruja dapat melihat semua itu.
Setelah puas berjalan dan melihat seluruh tempat itu, Benji membawa aku pergi aquaria pula. Aku dapat melihat pelbagai jenis ikan dan hidupan laut. Aku juga berasa sangat tenang berada di dalam aquaria itu. Aku seperti berada di bawah lautan yang sangat luas. Aku memberitahu Benji yang aku suka duduk lama di situ. Lalu, Benji pun membawa aku pusing berkali-kali di dalam aquaria itu.
Aku perasan yang Benji hanya melayan saja semua permintaan aku. Macam aku pula yang sudah lama tak keluar melihat dunia. Padahal selama ini aku boleh je keluar ke mana saja yang aku suka. Tetapi aku yang tak nak keluar sebab aku tak tahu semua tempat yang menarik seperti yang Benji bawa aku pergi hari ini. Aku melihat Benji nampak biasa-biasa saja. Mukanya nampak tenang saja. Kadang-kadang aku nampak dia hanya tersenyum memandang muka aku yang teruja melihat semua benda. Aku pun tak tahu apa sebenarnya yang dirasai sekarang ini. Tetapi aku berharap sangat jauh di sudut hatinya, dia pun rasa gembira sebab dapat keluar melihat dunia lagi hari ini.
Setelah penat pusing berjalan, Benji membawa aku mengisi perut yang sudahpun mula berkeroncong. Kami berdua menikmati roti dan pastri di sebuah kedai bakeri di dalam bangunan pencakar langit yang besar itu. Aku tak tahu mana Benji dapat duit tetapi dia yang bayarkan semua benda. Tiket dan makanan, semua dia yang bayar. Kalau aku tanya nanti takut dia salah faham pula. Jadi, aku hanya diam saja. Roti dan pastri di kedai bakeri itu semuanya sedap belaka. Aku tak boleh berhenti makan. Maklumlah bukan selalu aku dapat merasa makanan mahal sebegitu. Benji hanya tersenyum saja melihat aku melantak tak ingat dunia.
Aku rasa selain Pak Ali dan Pak Ajis, Benji juga sangat suka melihat aku makan. Mereka selalu cakap yang mereka boleh rasa kenyang dengan hanya melihat aku makan saja. Aku pun tak faham apa yang dimaksudkan mereka itu. Gelojoh sangat ke aku makan? Lantak lah. Asalkan perut aku kenyang dengan makanan yang sedap.
Sesudah saja makan, Benji mengajak aku pergi ke kedai buku pula. Katanya, kedai buku di situ sangatlah besar dan terdapat pelbagai jenis buku yang dijual di situ. Benji kata aku mesti suka kalau masuk kedai buku itu. Aku pun tak tahu mana Benji tahu pasal semua tempat yang menarik di dalam bangunan besar itu. Agaknya daripada Mr. Google yang diberitahunya semalam. Aku pun mengikut saja Benji ke mana dia mengajak aku pergi. Masuk saja ke dalam kedai buku besar yang dimaksudkan Benji itu, mata aku bercahaya dan hati aku bersorak riang melihat buku-buku yang penuh di setiap penjuru kedai itu. Terus aku berjalan ke sudut buku novel.
Aku menjadi rambang mata pula melihat sudut buku novel di situ. Banyak sangat novel baru yang berada di pasaran sekarang ini. Aku rasa aku nak beli sebuah novel baru menggunakan duit gaji aku sendiri yang jarang sekali aku sentuh itu. Aku meminta Benji untuk tolong aku memilih sebuah novel cinta untuk aku. Sebab aku tahu, novel yang dipilih oleh Benji selalunya mesti sedap dibaca. Setelah lama membelek satu per satu novel, akhirnya kami berdua jumpa juga sebuah novel cinta yang sesuai dengan jiwa aku. Aku pun terus membeli novel tersebut. Benji juga turut membeli novel misteri dan siasatan yang berjaya menarik perhatiannya.
Habis saja membeli novel baru, aku dan Benji berjalan ke stesen kereta api untuk pulang semula ke kediaman Dato' Bakri. Tiba-tiba hati aku berasa sedih pula nak pulang. Rasa macam tak nak pulang pun ada. Hari ini merupakan hari yang sangat menggembirakan untuk aku. Aku tak sangka aku akan berasa sangat gembira apabila dapat keluar daripada terperap saja di dalam bilik. Sambil aku berjalan, mata aku curi-curi memandang Benji. Bagi aku, mukanya susah sedikit untuk dibaca. Kadang-kadang aku tak tahu apa yang sedang difikirkan ataupun dirasakannya. Tetapi aku harap dia juga berasa gembira hari ini.
"Terima kasih, Benji. Sebab bawak aku pergi banyak tempat menarik hari ni" ujar aku tiba-tiba memecahkan kesunyian. Benji hanya memandang saja muka aku.
"Terima kasih jugak, Dino. Sebab sudi culik aku keluar daripada kediaman tu hari ni" ujar Benji pula mengusik aku. Entah mengapa kami berdua mula ketawa besar. Aku rasa lucu pula dengan ayat Benji itu.
"Aku perasan hari ni kau macam bawak aku pergi ke semua tempat yang aku suka je" ujar lagi selepas berhenti ketawa.
"Perasan je kau ni, Dino. Aku pun suka jugak tengok dinosaur, ikan dengan buku. Kau tu yang tiru apa yang aku suka" balas Benji sambil tersenyum memandang aku.
"Ye ke? Jadi, aku je lah yang perasan sekarang ni? Aku yang tiru kau eh?" soal aku bertubi-tubi tak puas hati pula dituduh perasan. Benji hanya menganggukkan saja kepalanya sambil ketawa kecil.
"Nanti kita nak ke mana pula lepas ni?" soal aku lagi teruja ke mana pula Benji nak bawa aku berjalan pada hari seterusnya.
"Kita relax dulu beberapa hari ni. Mungkin minggu depan pulak kita keluar. Takut nanti kantoi pula dengan Shuib kalau kita keluar selalu" jawab Benji menerangkan perancangannya. Aku rasa betul juga apa yang dikatakannya itu. Habis nanti kalau Encik Shuib tahu pasal perancangan kami berdua itu.
Apabila naik saja kereta api, aku termenung melihat suasana malam di luar cermin tingkap kereta api itu. Aku dan Benji sakan sangat keluar berjalan sampai tak sedar yang hari sudahpun malam. Aku harap kami berdua sempat sampai di kediaman sebelum pukul 10 malam. Melihat suasana pada malam itu, aku teringat pula diri aku yang hidup di jalanan dulu. Dulu, aku paling benci apabila waktu malam. Sebab badan aku akan mula menggigil menahan kesejukan setiap kali malam tiba. Lagi malang kalau hujan juga turut turun membasahi bumi pada suatu malam. Aku mesti akan berjalan merata dengan berkaki ayam mencari kotak yang terbuang untuk menutupi badan aku yang kesejukan.
Mengingati memori sayu aku itu, hati aku berasa bersyukur. Sekarang aku tidak lagi merasa kesejukan yang melampau seperti dulu. Malah, sekarang suasana malam sering membuatkan hati aku berasa tenang setelah melalui kesibukkan hari pagi. Pada aku, waktu malam seperti waktu yang sesuai untuk manusia melarikan diri daripada realiti kehidupan yang terkadang memenatkan. Mungkin sebab itulah Tuhan hadirkan malam setelah pagi. Supaya manusia dapat berehat seketika daripada dunia yang penuh dengan dugaan.
Sedang aku mengelamun itu, aku tersentak apabila kepala Benji terlentok di atas bahu aku. Rupanya dia sudahpun melayang ke dunia mimpi. Aku hanya tersenyum saja melihat mukanya yang keletihan itu. Aku biarkan saja Benji tidur di atas bahu aku. Mesti dia penat berjalan sepanjang hari dengan tak tidur sehariannya lagi daripada semalam. Entah mengapa mata aku terasa berat pula melihat Benji yang sudah tertidur itu. Aku pun mula meletakkan kepala aku di atas kepalanya. Aku harap kami berdua sempat terjaga sebelum kami sampai di hentian stesen kereta api yang kami perlu turun. Kalau tak, tidur luar lah jawabnya kami berdua malam itu. Perlahan-lahan mata aku pun mula tertutup.
YOU ARE READING
Benji
RomanceNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...