Doa

98 4 0
                                    

          Setelah beberapa langkah menapak, aku dan Pak Ali tiba di sebuah tempat yang penuh dengan kontena berwarna biru. Kontena-kontena biru itu mempunyai sebuah pintu dan dua buah tingkap berpalang besi. Rupa kontena-kontena itu seakan-akan sebuah rumah. Mungkin ini lah tempat yang Pak Ali mengajak aku pulang tadi.

          "Kita makan nasi dulu ye, nak. Jom kita duduk di sana" ujar Pak Ali. Perkataan makan atau makanan merupakan perkataan kegemaran aku. Mendengar saja perkataan itu, mata aku akan bercahaya dan perut aku akan menyanyi girang. Aku mengikut gerak langkah Pak Ali menuju ke meja dan kerusi plastik yang terletak berhampiran dengan satu kontena biru yang paling hujung.

          Duduk saja di meja dan kerusi plastik itu, Pak Ali membuka bekas polisterin putih yang berisi nasi dan sambal ikan sardin yang dibeli di gerai makan tadi. Pak Ali mengoyakkan bekas polisterin putih itu menjadi dua bahagian. Lalu Pak Ali membahagikan nasi dan sambal ikan sardin untuk dua orang makan dan meletakkan sebahagian bekas polisterin yang dikoyakkannya tadi di depan aku.

          Melihat saja nasi yang diletakkan di depan aku itu, mata aku seakan-akan berkaca. Aku sudah tak ingat bila kali terakhir aku merasa sesuap nasi. "Makan lah, nak. Maaf lah ni je yang pak cik mampu beli" kata Pak Ali menjemput aku makan. Pak Ali tak tahu nasi yang dia mampu beli itulah makanan paling berharga bagi aku.

          Tanpa mempedulikan keadaan sekeliling, aku terus menyuap nasi dan sambal ikan sardin itu ke dalam mulut aku. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa nikmatnya makanan yang penuh di dalam mulut aku itu. Sesuap demi sesuap nasi aku sumbat ke dalam mulut aku. Walaupun sedikit gelojoh, aku menikmati setiap suapan nasi dan sambal ikan sardin itu sepuas hati. Andai kata ini kali terakhir aku diberi kesempatan untuk menikmati sesuap nasi, aku sudah berasa cukup.

          Dalam kesibukan aku menikmati nasi dan sambal ikan sardin itu, aku tidak perasan yang Pak Ali tersenyum lebar melihat aku makan. "Cukup tak nasi tu, nak? Budin nak nasi lagi?" tanya Pak Ali sambil memerhatikan aku makan. Aku mengalihkan pandangan aku kepada Pak Ali yang duduk bertentangan dengan aku. Nasi di dalam bekas polisterinnya masih tak berganjak.

          "Pak cik tak makan ke?" soal aku pula. Aku pelik melihat nasi Pak Ali tak meluak sedikit pun.

          "Pak cik tengok Budin makan pun pak cik dah kenyang, nak. Nah, amik lah lagi nasi pak cik ni. Banyak ni pak cik tak habis" jawab Pak Ali lalu mengambil separuh nasi di bekasnya dan meletakkan ke dalam bekas aku.

          Aku terkedu. Rupa-rupanya Tuhan mendengar doa dan bisikan kecil aku selama ini. Hari ini Tuhan mengizinkan aku merasa kenyang. Aku berasa aku lah manusia paling beruntung hari ini kerana aku dapat menikmati lagi nasi dan aku juga dapat merasa kenyang. Terima kasih Tuhan.

          "Terima kasih pak cik" ucap aku kedengaran sayup dan perlahan. Namun, Pak Ali masih lagi boleh menangkap ucapan aku itu dan tersenyum lebar hingga ke telinganya.

          "Dalam rezeki pak cik ada terselit juga rezeki Budin. Begitulah kehidupan ini, nak" kata Pak Ali. Senyuman di bibirnya masih lagi tak lekang. Aku hanya terdiam.

          "Sepatutnya pak cik yang berterima kasih kepada Budin sebab tolong pak cik menyapu daunan sepanjang hari tadi" sambung Pak Ali lagi. Aku hanya menundukkan kepala aku memandang bekas polisterin aku yang masih berbaki separuh nasi yang diletakkan oleh Pak Ali tadi.

          Kata-kata Pak Ali itu membuatkan aku berfikir sejenak. Siapa sangka selama ini aku sibuk membandingkan diri aku dengan anjing jalanan. Namun, hari ini aku diberi layanan seperti seorang manusia. Selama ini aku sibuk mempersoalkan rezeki Tuhan untuk aku. Tetapi hari ini Tuhan hantarkan rezeki aku melalui orang lain. Halus sungguh kerja Tuhan. Siapalah aku untuk sibuk membuat kerja Tuhan.

          Melihat aku hanya mendiamkan diri dan menundukkan pandangan aku, Pak Ali pun menyuruh aku menghabiskan nasi aku. "Habiskan lah nasi tu, nak. Lepas ni Pak Ali bawa Budin mandi ye" katanya lalu menyambung makan nasi dan sambal ikan sardin di dalam bekasnya. Aku pun akur dan menghabiskan nasi aku.

          Selesai saja makan, Pak Ali membawa aku masuk ke dalam rumah kontenanya. Katanya itu rumah pekerja yang disediakan oleh majikannya. Mungkin van yang mengambil aku dan Pak Ali tadi juga disediakan oleh majikan Pak Ali. Satu rumah kontena dikongsi oleh Pak Ali dan seorang rakan kerjanya. Rumah kontena itu juga mempunyai bilik air dan tempat mandi. Walaupun kecil dan sedikit sempit tetapi sudah cukup selesa bagi aku yang jarang-jarang sekali dapat tidur berbumbungkan atap apatah lagi dengan beralaskan tilam.

          Selepas Pak Ali menunjukkan sekeliling rumah kontena itu kepada aku, Pak Ali menyuruh aku duduk. Lalu aku pun duduk memeluk lutut di atas lantai dan memerhati saja Pak Ali yang sibuk mencari sesuatu. Aku pun tak tahu apa yang dicarinya. Sedang sibuk aku memerhati Pak Ali, tiba-tiba pintu rumah kontena itu dibuka dari luar. Seorang pak cik tua memasuki rumah kontena itu. Pak cik tua itu memandang aku kebingungan.

          "Anak siapa pulak ni?" soal pak cik tua itu. Lidah aku kelu. Aku tak tahu nak jawab apa.

          "Eh, Ajis! Kau baru pulang?" soal Pak Ali pula kepada pak cik tua itu. Mungkin pak cik tua itu lah yang Pak Ali katakan rakan sekerjanya yang berkongsi rumah kontena itu bersamanya.

          "Lama dah aku pulang, Ali. Aku pergi makan angin sekejap tadi. Ni anak siapa ni, Ali?" balas pak cik tua itu kepada Pak Ali dan mengulangi persoalannya yang tak berjawab tadi.

          "Oh, anak ni kawan aku. Nama anak ni Budin" terang Pak Ali kepada pak cik tua itu.

          "Sejak bila pulak kau berkawan dengan anak muda ni, Ali?" soal pak cik tua itu lagi bertambah bingung dengan jawapan yang diberikan oleh Pak Ali.

          "Budin, ni kawan sekerja pak cik. Budin panggil je Pak Ajis" kata Pak Ali kepada aku dan menghiraukan soalan pak cik tua itu.

          Seperti biasa, aku hanya mendiamkan diri. Anak mata aku saja yang bergilir-gilir memandang Pak Ali dan pak cik tua bernama Pak Ajis itu sepanjang perbualan mereka. Selepas mendengar Pak Ali memperkenalkan rakan sekerjanya itu kepada aku, aku menganggukkan kepala aku kepada Pak Ajis sebagai ganti ucapan pengenalan. Aku tak reti bermain dengan ucapan yang panjang. Apatah lagi dengan orang yang aku tak kenali. Sebab sepanjang hidup aku tiada siapa yang sudi mendengar aku bercakap. Bahkan mak aku sendiri dulu menyuruh aku diam dan bermain jauh daripadanya.

          Apabila melihat Pak Ali menghiraukan persoalannya tadi, Pak Ajis pun membawa diri dan membuat urusannya sendiri. Suasana di dalam rumah kontena itu menjadi sunyi sepi. Aku hanya duduk memeluk lutut dan terkebil-kebil memerhati mereka berdua sibuk dengan dunia mereka sendiri. Mungkin kehadiran aku telah membuatkan orang di sekeliling Pak Ali tak selesa. Petang tadi semasa di dalam van juga Amin si pemandu van itu kelihatan sangat tidak selesa dengan aku. Semua penumpang di dalam van itu turut tak selesa memandang aku.

          Siapa saja yang selesa dengan kehadiran aku? Selama ini aku hidup di jalanan juga tiada siapa yang selesa melihat aku. Dengan berkaki ayam dan pakaian yang compang-camping, siapa saja yang selesa melihat aku? Semua orang jijik dengan aku. Hanya Pak Ali saja yang sudi tersenyum kepada aku, memberi aku makan dan minum dan menjadikan aku kawannya. Aku takut kehadiran aku akan mendatangkan susah kepada Pak Ali.

          "Budin, jom ikut pak cik" kata Pak Ali tiba-tiba memecah kesunyian dan lamunan aku. Lalu aku pun bangun dari duduk dan mengikut Pak Ali yang berjalan ke bilik air. Pak Ajis yang tadi sibuk dengan urusannya memandang aku dan Pak Ali.

          Masuk saja ke dalam bilik air, aku dapat melihat tempat mandi yang mempunyai kolah air. Pak Ali menunjukkan kepada aku sabun badan dan syampu rambut. Kemudian Pak Ali menerangkan kepada aku cara menggunakan sabun badan dan syampu rambut itu. Pak Ali juga mengajarkan kepada aku cara menggunakan kolah air itu dan menyuruh aku berhati-hati ketika mandi. Jelasnya, lantai bilik air itu licin dan jika tidak berhati-hati aku boleh tergelincir jatuh dan cedera.

          "Ini baju dan seluar untuk Budin salin lepas mandi ye" jelas Pak Ali lalu menyangkut baju dan seluar itu di tempat penyangkut tepi pintu bilik air. Lalu Pak Ali pun meninggalkan aku sendirian di dalam bilik air itu untuk mandi.

BenjiWhere stories live. Discover now