Mulai hari itu, Tuan Benjamin mengajar aku mengeja dan membaca. Daripada terkial-kial aku mengeja sehinggalah aku dapat membaca dengan lancar. Aku sangat suka dengan buku dinosaur yang dihadiahkan oleh Tuan Benjamin itu. Dinosaurnya sangat comel dan ceritanya sangat mudah untuk aku fahami. Aku rasa mungkin Tuan Benjamin perasan yang aku suka dinosaur. Sejak daripada itu, dia belikan aku banyak lagi buku pasal dinosaur. Aku merasa sangat gembira dan seronok.
"Lepas ni boleh lah aku panggil kau Dino kan?" kata Tuan Benjamin. Aku pun pelik kenapa pula dia nak panggil aku Dino. Dahi aku berkerut memandangnya.
"Ye lah. Nama kau kan Budin. 'Din' sama macam dalam perkataan 'Dino'saur. Jadi lah Dino" jelas Tuan Benjamin. Aku menjadi bertambah pening. Apa benda lah yang dia merepek.
Sejak daripada itu, Tuan Benjamin sering memanggil aku Dino. Aku hanya biarkan saja dia. Aku sudah malas nak bergaduh mulut dengan dia. Asalkan dia bahagia sudahlah. Apabila aku sudah mula lancar mengeja dan pandai membaca, Tuan Benjamin berikan aku buku yang banyak ayat pula. Daripada buku yang nipis sehinggalah buku yang tebal. Dan sekarang ini, aku sudah mula mengikut jejak Tuan Benjamin yang sangat minat membaca novel itu. Tuan Benjamin sangat suka membaca novel misteri dan siasatan. Manakala, aku pula lebih suka membaca novel cinta. Minat yang sama tetapi genre yang berbeza-beza.
Tuan Benjamin juga ada mengajar aku serba sedikit bahasa orang putih. Tetapi aku sangat lembab nak belajar bahasa lain itu. Katanya, bahasa orang putih juga penting untuk aku mahirkan supaya aku boleh membaca banyak lagi buku dan novel antarabangsa. Katanya juga, penulisan novel antarabangsa juga seronok untuk dibaca. "Semakin banyak membaca, semakin banyak ilmu di dada. Semakin banyak membaca, semakin luas fikiran dan buah pandangan." Itulah yang selalu dipesan oleh Tuan Benjamin kepada aku. Jadi aku pun cuba lah belajar perlahan-lahan bahasa orang putih itu. Walaupun tak seberapa mahir sangat tetapi aku sekarang sudah tahu serba sedikit bahasa orang putih.
Sedar tak sedar, sudah setahun berlalu. Walaupun sering duduk di dalam bilik buku saja, tetapi aku tak pernah jemu atau bosan sebab minda aku dapat menjelajah jauh daripada dunia yang nyata dengan membaca novel dan buku. Sekarang aku sudah mula faham kenapa Tuan Benjamin sering terperap saja di dalam bilik buku itu sampai kadang-kadang tertidur juga di situ. Setiap kali Pak Ali dan Pak Ajis datang melawat aku, aku ceritakan kepada mereka berdua novel apa yang aku sudah habis baca. Mereka berdua seronok mendengar cerita novel yang aku baca. Jadi, setiap kali sebelum Pak Ali dan Pak Ajis datang melawat aku, aku akan pastikan aku baca beberapa buah novel dulu supaya aku boleh menceritakan lebih banyak lagi cerita novel kepada mereka berdua.
Aku perasan semakin hari, aku semakin jatuh cinta dengan novel. Aku rasa cita-cita aku sekarang aku teringin nak menjadi seorang penulis novel. Aku memberitahu Tuan Benjamin tentang cita-cita aku itu. Dia tersenyum dan sokong cita-cita aku itu. Apabila aku tanya pasal cita-cita Tuan Benjamin pula, dia hanya terdiam saja. Mukanya kelihatan seperti sedih. Aku berasa serba salah pula menanyakan soalan sebegitu kepadanya. Aku tak sepatutnya sibuk nak tahu pasal cita-cita Tuan Benjamin. Sedangkan pasal dirinya sendiri pun dia tak pernah sekalipun memberitahu aku.
Sampai sekarang aku masih lagi tak tahu mengapa Tuan Benjamin menyorokkan dirinya daripada orang luar. Aku tak berani nak tanya soal itu kepadanya. Aku takut dia merasakan aku ini penyibuk saja. Aku sedar aku hanyalah orang luar. Mungkin dia tak percayakan aku untuk ceritakan soal dirinya kepada aku. Walaupun sudah setahun lebih aku mengenalinya, tetapi setiap kali aku berbual dengannya, aku dapat merasakan dia masih lagi tak meruntuhkan dinding di sekelilingnya. Aku seperti berdiri di luar dinding sedangkan dia seorang diri saja di dalam dinding yang tinggi itu.
Aku harap suatu hari nanti Tuan Benjamin akan membuka sedikit pintu hatinya untuk bercerita tentang dirinya kepada aku. Bukanlah aku nak jaja pasal dia kepada semua orang. Kalau aku nak, sudah lama aku boleh buat sebegitu. Tetapi aku nak tahu pasal dirinya supaya aku boleh tolong apa yang patut. Supaya dia tahu yang dia tak bersendirian lagi. Tuan Benjamin sudah banyak tolong aku. Jadi, aku pula nak menolongnya. Walaupun aku tahu aku tak ada kudrat ataupun kuasa untuk menolongnya. Tetapi sekurang-kurangnya dia tak bersendirian lagi di dalam dinding yang tinggi itu.
"Jom ikut aku. Aku nak tunjuk sesuatu dekat kau" kata Tuan Benjamin tiba-tiba setelah lama mendiamkan dirinya apabila aku bertanyakan soal cita-citanya itu. Aku pun ikut saja langkahnya daripada belakang.
Aku baru perasan selama aku bekerja di dalam kediaman milik Dato' Bakri itu, aku tak pernah sekalipun menjejakkan kaki aku ke tingkat lima. Aku tak pernah tahu pula apa yang ada di tingkat lima kediaman itu. Tetapi hari ini Tuan Benjamin membawa aku naik ke tingkat lima melalui ruangan tangga yang tersembunyi itu. Apabila aku dan Tuan Benjamin sampai saja di tingkat paling atas itu, aku dapat lihat ruangan atas itu seperti loteng yang sangat luas dan besar. Loteng itu penuh dengan lukisan-lukisan seni yang sangat cantik. Mata aku terpegun melihat semua lukisan seni di loteng itu. Aku baru sedar yang semua lukisan seni di loteng itu seperti sama dengan lukisan-lukisan seni yang tergantung di dinding tingkat satu dan dua kediaman itu.
"Kau tanya apa cita-cita aku kan? Ini lah cita-cita aku sejak daripada kecik lagi" kata Tuan Benjamin sambil menunjukkan lukisan-lukisan seni di loteng itu. Aku terkedu seketika.
"Maksudnya semua lukisan seni ni hasil tangan Tuan Benjamin lah?" soal aku dengan nada suara yang teruja. Tuan Benjamin hanya tersenyum saja sambil menganggukkan kepalanya selepas mendengar soalan aku itu.
"Jadi, semua lukisan seni dekat tingkat bawah tu, Tuan Benjamin yang lukis?" soal aku lagi. Aku rasa sangat teruja dan kagum. Aku tak sangka yang Tuan Benjamin mempunyai bakat sehebat itu. Tuan Benjamin menganggukkan kepalanya lagi.
"Kenapa? Tak percaya ke?" soal Tuan Benjamin sambil mengangkatkan sebelah keningnya kepada aku.
"Mestilah percaya!" jawab aku pantas. Tuan Benjamin ketawa kecil melihat muka aku yang terpegun kagum itu. Tetapi hanya sekejap saja ketawa dan senyuman di wajahnya itu mula hilang semula. Aku hanya memandang saja mukanya yang kelihatan seperti sedih itu.
"Tetapi ini semua lukisan aku yang dulu. Sekarang aku hanyalah seekor burung yang dipatahkan sayapnya" ujar Tuan Benjamin dengan suara yang perlahan dan sayu. Aku tak faham apa yang dimaksudkannya itu. Dahi aku mula berkerut memandang mukanya.
"Kau mesti tertanya-tanya kan kenapa aku sorokkan diri aku daripada orang lain?" soal Tuan Benjamin sambil memandang tepat ke mata aku. Dia seperti tahu apa yang berlegar-legar di fikiran aku selama ini. Aku hanya menundukkan saja pandangan aku ke lantai. Tetapi hati aku membuak-buak ingin tahu jawapan kepada persoalan aku selama ini.
"Aku rasa semua orang ingat Dato' Bakri dan Datin Soraya hanya mempunyai seorang anak lelaki saja yang mereka sangat bangga-banggakan selama ini" kata Tuan Benjamin mula membuka cerita. Aku hanya memasang telinga saja dan fokus mendengar setiap butir perkataan yang keluar daripada mulut Tuan Benjamin.
"Tetapi sebenarnya mereka berdua mempunyai dua orang anak lelaki" sambung Tuan Benjamin lagi. Memang betul sangkaan aku selama ini.
"Adik aku, Brian. Dan aku, Benjamin"
"Tetapi suatu hari, Dato' Bakri dan Datin Soraya mengumumkan kepada orang ramai yang aku sudahpun mati" kata Tuan Benjamin itu membuatkan mata aku terbeliak sebab terkejut. Jantung aku mula berdegup kencang disebabkan perasaan ingin tahu yang membuak-buak.
YOU ARE READING
Benji
RomanceNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...