Selama ini hidup aku umpama tin kosong yang bersepah di tepi jalanan. Jika disepak tin kosong itu sudah pasti tiada apa yang dapat didengari selain bunyinya yang berdenting. Begitu jugalah kehidupan aku. Kosong dan tiada makna. Aku hanya seperti sedang menunggu malaikat maut datang menjemput aku pulang ke pangkuan Tuhan. Itupun sekiranya Tuhan sudi menerima kepulangan aku yang kotor dan jijik ini.
Namun, siapa sangka kekosongan hidup aku ini mula terisi dengan harapan oleh seorang insan yang menemui aku di sebuah perhentian bas. Sedikit demi sedikit harapan dipenuhinya dalam hati aku ini. Jika dulu hidup aku hanya menunggu mati, sekarang hidup aku untuk menjadi seorang yang berguna untuknya. Biarlah sekalipun aku hanya berguna sikit saja tetapi aku tak kisah jika aku dipergunakan untuk kepentingannya sendiri.
Tetapi sekalipun Pak Ali tak pernah mempergunakan aku. Selain daripada meminta aku menolongnya menyapu dan mengutip daunan di tepi jalanan dek kerana kakinya yang bengkak dan sakit selama ini, Pak Ali sering memanjakan aku seperti anak kandungnya sendiri. Pak Ali sudi berkongsi makanan, pakaian dan tempat tidurnya dengan aku yang bukanlah siapa-siapa ini.
Segala harapan yang berputik dalam hati aku ini mula punah apabila aku melihat ketakutan pada raut wajah Pak Ali pagi itu. Entah mengapa hati aku menjadi tak sedap pula seperti sesuatu yang buruk akan berlaku. Pak Ali menarik aku menghampirinya dan mendakap erat tubuhku. Badan aku terkaku. Aku hanya biarkan saja badan aku dipeluk oleh Pak Ali.
"Budin.... Budin dengar sini pak cik nak cakap" ujar Pak Ali lalu melepaskan aku daripada pelukannya. Dia memegang pipi aku dengan kedua-dua tangannya. Matanya berkaca memandang aku.
"Budin ikut Pak Ajis. Budin kena dengar cakap Pak Ajis. Pak Ajis suruh buat apa pun, Budin ikut je tau, nak" sambung Pak Ali. Aku dapat merasa tangannya menggeletar.
"Ingat pesan pak cik ni, nak. Bahagia itu satu pilihan. Pilihlah untuk bahagia Budin, walau bagaimana sekalipun kehidupan ini menduga kita" pesan Pak Ali sambil mengusap lembut muka aku.
"Dugaan akan sentiasa datang tak kira saat kita senang atau susah. Sebab itu lumrah kehidupan, nak. Kita tak ada pilihan untuk menepis. Tetapi bahagia itu pilihan kita. Bersyukur itu pilihan kita. Jika dengan sebutir nasi kita sudah merasa cukup dan bahagia, maka tenanglah hidup kita" pesan Pak Ali lagi kepada aku.
Walaupun aku hanya mendiamkan diri saja tetapi fikiran aku sedang sibuk memproses apa yang Pak Ali telah berpesan kepada aku. Namun, belum sempat fikiran aku habis memproses dengan sempurna, Pak Ajis mula menarik tangan aku dan menyuruh aku mengikutnya. Langkah aku terasa berat. Aku mengalih semula memandang Pak Ali. Walaupun matanya berkaca, aku masih lagi dapat melihat senyuman manis di bibirnya. Aku memberhentikan langkah aku. Aku mencuba melepaskan tangan aku daripada genggaman tangan Pak Ajis namun tak berjaya.
"Budin! Kita kena cepat! Kita dah takde masa ni" ujar Pak Ajis kepada aku lalu menarik tangan aku dengan kuat dan memaksa aku mengikutnya. Hati aku mula meronta-ronta.
Tetapi apakan daya. Aku terpaksa akur dan mengikut saja langkah Pak Ajis. Mata aku berkali-kali mengalih memandang ke belakang untuk melihat kelibat Pak Ali. Semakin lama kelibat Pak Ali pun hilang daripada penglihatan aku. Hati aku terasa begitu sakit sekali apabila dipaksa berpisah dengan Pak Ali. Adakah itu pertemuan terakhir aku dengan Pak Ali? Apakah aku tak dapat berjumpa dengan Pak Ali lagi selepas ini? Semua pertanyaan mula memenuhi fikiran aku. Fikiran aku menjadi kusut.
Boleh ke aku memilih untuk berbahagia jika aku hilang satu-satunya harapan aku? Aku merasakan apa yang Pak Ali berpesan kepada aku tadi hanyalah kata-kata kosong saja. Mana mungkin aku boleh bahagia jika hati aku rasa sakit. Mana mungkin aku boleh bahagia jika harapan aku punah. Hati aku terasa nak menangis. Aku rasa semua yang berlaku ini tak adil untuk aku.
Sekelip mata saja Tuhan memberikan aku harapan dan sekelip mata itu jugalah Tuhan merampas dan memusnahkan harapan itu kembali. Aku tak sedar yang selama ini harapan itu sudah menjadikan aku manusia yang tamak dan lupa diri. Harapan itu membuatkan aku rasa tamak untuk melepaskan sesuatu yang pada asalnya bukanlah milik aku. Aku terlupa yang semua ini hanyalah pinjaman sementara daripada Tuhan untuk aku. Dan sekarang aku perlu memulangkan semula harapan itu kepada Tuhan. Tetapi mengapa hati aku berasa begitu susah untuk menerima takdir ini? Hati aku terlalu sakit dan perit untuk menerima kenyataan ini. Aku tak pernah merasa sesakit ini, seperit ini, walaupun aku sering ditolak dan disepak ketika mengemis makanan di jalanan dulu.
Fikiran aku itu terbantut apabila langkah Pak Ajis terhenti. Aku tak pasti ke mana Pak Ajis cuba membawa aku pergi. Aku hanya menyerahkan diri aku kepadanya bulat-bulat saja apabila Pak Ali berpesan kepada aku untuk mengikut dan mendengar apa saja yang disuruh oleh Pak Ajis. Aku melihat keadaan sekeliling. Aku tak pernah menjejakkan kaki aku di kawasan itu sebelum ini. Kawasan itu penuh dengan rumah kedai yang usang dan masih lagi belum buka dek kerana hari yang masih lagi terlalu pagi. Shutter kedai-kedai di situ juga masih tertutup rapat.
"Jom kita duduk di tepi ni kejap" ujar Pak Ajis kepada aku memecahkan kesunyian. Aku hanya akur dan turut duduk di sebelah Pak Ajis. Akhirnya, Pak Ajis melonggarkan genggaman tangannya daripada pergelangan tangan aku dan melepaskan tangan aku.
Aku dan Pak Ajis duduk di tepi bahu jalan di kawasan itu. Aku pun tak tahu apa yang sedang ditunggu oleh Pak Ajis tetapi aku tak berani untuk bertanya. Pak Ajis mengeluarkan plastik roti bun daripada beg galasnya dan menghulurkan kepada aku. Aku mengambil plastik roti bun itu dan hanya termenung saja. Melihat roti bun itu tidak lagi membuat perut aku menyanyi girang tetapi membuatkan hati aku menjadi semakin sakit dek kerana roti bun itu mengingatkan aku lagi kepada Pak Ali. Aku tak sedar yang Pak Ajis hanya memerhatikan aku saja. Mungkin orang tua itu pun perasan yang aku sedang kesedihan.
"Pak Ali dan Pak Ajis sudah lama menjangka perkara ini akan berlaku. Memang selalunya bos besar kami akan datang melawat secara rawak seperti ini untuk check keadaan rumah-rumah kontena pekerjanya. Lebih tepat lagi, dia datang sebenarnya nak mencari kesalahan pekerja-pekerjanya dan melepas amarahnya untuk menunjukkan yang dia buat kerja saja" ujar Pak Ajis panjang lebar. Di amula membuka cerita kepada aku. Aku hanya memasang telinga.
"Pak Ali dan Pak Ajis tahu yang Budin tak boleh duduk dengan kami selama-lamanya. Kami juga tahu banyak mata-mata yang memandang dan melaporkan tentang Budin kepada bos besar. Mungkin itu sebab utama dia datang melawat awal kali ini"
"Jadi Pak Ali dan Pak Ajis cuba mencari solusi untuk Budin. Pada suatu hari, Pak Ali memberitahu Pak Ajis yang Amin si pemandu van pekerja itu dapat tahu daripada kawannya ada seorang Dato' sedang mencari anak-anak muda untuk bekerja dengannya"
"Dato' itu mencari anak-anak muda yang boleh belajar mengemas seperti menyapu dan mop lantai, memasak, menyusun buku dan banyak lagi lah. Semua itu Budin boleh belajar nanti"
"Bukan lah niat Pak Ali dan Pak Ajis untuk membuang Budin daripada hidup kami. Tetapi apa yang kami cuba buat ni untuk keselamatan Budin"
"Pak Ajis harap Budin tak marah dekat Pak Ali sebab tak memberitahu soal ini lebih awal lagi kepada Budin. Pak Ajis percaya Pak Ali juga berasa berat hati untuk melepaskan Budin pergi"
Sepanjang penjelasan Pak Ajis itu, aku hanya mendiamkan diri saja dan setia mendengar. Namun dalam diam itu juga mata aku mula berkaca apabila mendengar kata-kata Pak Ajis itu. Cepat-cepat aku memaksa diri untuk menahan air mata aku daripada terjatuh ke pipi.
"Budin jangan risau. Nanti bila-bila Pak Ajis akan bawak Pak Ali melawat Budin dekat kediaman Dato' itu ye" sambung Pak Ajis lagi cuba memujuk aku sambil mengusap lembut kepala aku.
Aku rasa itu kali pertama Pak Ajis bercakap lembut dengan aku. Selama ini, Pak Ajis sering mengusik dan mengejek aku saja. Dia juga jarang-jarang sekali menunjukkan kasih sayangnya terang-terangan kepada aku. Selalunya Pak Ajis akan sorok-sorok dengan aku walaupun aku selalu dapat tangkap perbuatannya itu. Hati aku yang sakit dan fikiran aku yang kusut tadi terasa sedikit lega apabila mendengar penjelasan Pak Ajis. Harapan aku yang punah tadi perlahan-lahan kembali bercantum semula apabila Pak Ajis berjanji dengan aku untuk membawa Pak Ali melawat aku suatu hari nanti. Sekali lagi Tuhan meminjamkan harapan itu kepada aku.
YOU ARE READING
Benji
RomanceNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...