Galeri

51 2 0
                                    

Aku merancang untuk mengikut Benji ke loteng petang itu. Aku nak tolong apa yang patut sambil melihat dia melukis. Mungkin aku boleh tolong Benji cuci berus untuk dia melukis. Atau mungkin aku boleh tolong dia memilih warna untuk lukisannya. Apa-apa saja lah asalkan aku boleh melihat dia melukis. Padahal sepanjang Benji melukis, aku tak tolong apa-apa pun. Sebab semua Benji nak buat sendiri. Aku hanya tolong tengok saja.

Bukan lukisannya saja yang mengagumkan aku, cara Benji melukis juga berjaya memukau aku. Memang betul lah orang kata, bukan semua orang mempunyai bakat seni. Hanya orang tertentu seperti Benji saja yang mampu menghasilkan lukisan sehebat itu. Aku melihat lukisan Benji daripada sudah cukup sempurna, menjadi lebih lagi daripada sempurna. Sampaikan aku pun sudah tak jumpa perkataan yang lagi hebat daripada sempurna untuk memuji lukisan Benji itu. Lukisannya sangat terperinci dan halus. Semuannya hasil daripada tangannya sendiri. Aku berasa sangat bangga dengan bakat Benji itu.

Kadang-kadang aku tak faham dengan Dato' Bakri dan Datin Soraya. Mereka berdua tak pernah rasa bangga ke dengan bakat Benji ini? Tak kan lah hanya disebabkan kesan terbakar di muka Benji itu saja boleh membuatkan mereka hilang rasa bangga? Mana pergi hilangnya rasa kasih sayang seorang ayah dan mak? Aku pun tak tahu. Sebab aku pun tak pernah merasa kasih sayang daripada ayah dan mak kandung aku sendiri. Memang betul pun aku dan Benji serumpun.

Aku baru sedar yang bukan miskin ataupun kaya yang menentukan rasa kasih sayang seseorang ayah dan mak. Sebab kalau disebabkan status, mengapa Pak Ali dan Pak Ajis yang cukup-cukup makan saja itu mampu memberikan aku rasa kasih sayang? Padahal Dato' Bakri dan Datin Soraya sangatlah kaya. Mereka berdua jutawan lagi! Tetapi mengapa mereka berdua tak mampu memberikan secebis pun rasa kasih sayang kepada Benji? Sebab kasih sayang itu bukannya datang daripada kemampuan. Tetapi datang daripada sifat bertanggungjawab.

Tetapi siapa lah aku untuk menghukum orang lain? Sekiranya aku pun terpaksa menjadi seorang ayah, aku pun tak tahu lagi sama ada aku akan mampu untuk memberikan kasih sayang yang cukup kepada anak-anak aku. Sebab bukan semua orang boleh jadi ayah dan mak. Bukan semua orang bersedia untuk menjadi dewasa. Tetapi hakikatnya hidup ini terkadang semua orang terpaksa menjadi ayah dan mak. Semua orang terpaksa menjadi dewasa. Walaupun sebenarnya dalam diri ini masih lagi berlawan dengan kegelapan yang terbawa-bawa daripada waktu kecil lagi.

Dan layak ke aku untuk salahkan ayah dan mak kandung aku? Layak ke Benji untuk salahkan Dato' Bakri dan Datin Soraya? Ye, mereka memang salah pun. Sejujurnya, aku sangat benci dengan ayah dan mak aku sendiri. Tetapi entah mengapa di dalam sudut hati aku ini, aku sangat faham mengapa mereka tak boleh memberikan aku rasa kasih sayang. Sebab mereka juga tergolong di dalam kalangan orang yang terpaksa menjadi dewasa. Begitulah kehidupan ini. Sentiasa rumit dan berbelit. Tiada perkataan ataupun kata-kata yang boleh merungkaikan segala-galanya. Di dalam hidup ini, terlalu banyak point of view yang perlu diambil kira. Biarlah hanya Tuhan saja yang tahu dan memahami.

Sesudah saja Benji habis melukis, hari pun sudah malam. Benji melukis tanpa henti. Sampailah dia merasa puas hati dengan hasil lukisannya sendiri, barulah dia berhenti. Tetapi aku sedikit pun tak merasa mengantuk ataupun penat melihat dia melukis. Malah aku merasa seronok pula seperti sedang melihat pertunjukan.

"Yeay, dah siap" ujar aku sambil menepuk-nepuk tangan aku. Benji hanya tersenyum saja memandang aku.

"Kau tak bosan ke tengok aku melukis?" soal Benji.

"Sumpah tak pun! Aku suka lagi ada lah" jawab aku pantas dengan suara yang ceria.

"Aww, Dino suka tengok kita melukis lah. Terharu kita" balas Benji dengan nada suara mengada. Geli-geleman pula aku jadinya. Aku hanya membuat muka jijik saja memandang Benji. Dia ketawa besar melihat reaksi muka aku.

"Kau suka tengok lukisan ke, Dino?" soal Benji selepas puas ketawa.

"Suka gila!" jawab aku dengan suara yang teruja.

"Nanti kita pergi tengok galeri seni nak tak?" kata Benji mengajak aku. Aku menjadi keliru.

"Galeri seni tu apa?" soal aku pula dengan dahi yang berkerut.

"Galeri seni tu macam pameran seni lukisan lah. Banyak lukisan yang tergantung untuk dilihat orang ramai" jelas Benji dengan ringkas.

"Ohhh..." balas aku sambil menganggukkan kepala aku tanda faham.

"Jom pergi tengok nak tak?" soal Benji lagi. Tiba-tiba aku teringat pasal cerita Kenit semalam. Muka Encik Shuib terpapar di fikiran aku. Aku pun mula bercerita kepada Benji pasal kes semalam yang ada seorang pekerja kena tangkap dengan Encik Shuib sebab curi-curi keluar tanpa kebenaran.

"Ni mesti sebab pekerja tu tak pandai cover" balas Benji bersahaja selepas mendengar cerita aku.

"Tak jugak, Benji. Encik Shuib tu memang teliti orangnya. Aku pun risau kalau dia perasan kita selalu keluar" ujar aku.

"Kita baru keluar sekali je, Dino. Jangan risau lah. Aku kenal sangat Shuib tu" kata Benji cuba menenangkan aku. Aku hanya diam saja.

Selepas itu, aku turun ke dapur untuk mengambil makan malam pula. Aku dan Benji sambung bersembang di meja makan tingkat empat itu sambil menikmati makan malam. Katanya dia merancang nak bawa aku pergi tengok galeri seni minggu depan. Aku hanya setuju saja. Seronok juga kalau aku dapat melihat lukisan-lukisan yang cantik. Seperti biasa, aku hanya menyerahkan saja seratus peratus perancangan itu kepada Benji. Sebab aku memang tak tahu apa-apa pasal galeri seni ni. Selesai saja makan malam, aku pun mula beransur untuk pulang ke bilik pekerja. Tetapi sebelum sempat aku berjalan pergi, Benji menahan aku.

"Dino, kejap! Aku ada benda nak bagi dekat kau ni" ujar Benji. Aku pun tak tahu apa benda yang dia nak bagi dekat aku. Aku hanya mengikut saja Benji ke bilik buku.

"Semalam aku lupa nak bagi ni dekat kau" sambung Benji setelah kami berdua sampai di bilik buku. Lalu, dia menghulurkan sebuah buku ke tangan aku.

"Buku apa ni, Benji?" soal aku sambil tangan aku mengambil buku daripada tangan Benji itu.

"Kau cakap kau nak jadi penulis novel kan? Guna lah buku ni untuk kau mula menulis" jelas Benji. Aku pun membuka buku itu. Rupanya itu buku kosong saja. Luarannya saja nampak cantik. Ada sebatang pen yang comel juga tersangkut di tepi buku itu. Aku hanya tersenyum. Kadang-kadang Benji ni penuh dengan kejutan. Aku tak sangka dia masih ingat lagi cita-cita yang aku bagitahu dia itu.

"Terima kasih, Benji" kata aku sambil tersenyum.

"Terima kasih jugak, Dino. Sebab teman aku melukis hari ni" balas Benji pula. Entah mengapa kami berdua ketawa.

Setelah puas bersembang dengan Benji seketika, aku pun mula berjalan pulang ke bilik pekerja. Hati aku berbunga-bunga melihat buku yang diberikan oleh Benji itu. Sebenarnya aku pun tak reti nak menulis. Tetapi aku rasa aku memang patut mula menulis sekarang. Manalah tahu suatu hari nanti aku boleh jadi seorang penulis yang terkenal. Aku hanya mampu berangan.

Malam itu entah macam mana, aku mula menulis menggunakan buku yang Benji berikan kepada aku itu. Tetapi aku menulis lebih kepada diari daripada novel. Lantaklah. Asalkan aku mula menulis. Aku menulis tanpa henti sampai tak sedar malam sudah semakin lewat. Kenit, Abu dan Alang sudah lama berdengkur. Tetapi aku masih lagi sambung menulis sambil ditemani cahaya malap daripada lampu meja yang aku pinjam daripada Abu. Sampailah idea aku kering, barulah aku berhenti menulis dan tidur. Sekarang barulah aku faham mengapa Benji sampai sanggup tak tidur malam demi lukisannya.

Rancangan Benji untuk mengajak aku keluar pada minggu depan itu tak menjadi. Semuanya sebab aku masih lagi risau pasal Encik Shuib. Aku berjaya juga memujuk Benji untuk menangguhkan dulu perancangan kami berdua untuk keluar. Kebetulan pula, Benji kata galeri seni yang dia nak bawa aku pergi tengok itu ada pameran dan pertunjukan bulan depan. Jadi, Benji sudahpun membeli tiket di atas talian untuk kami berdua. Nampaknya bulan depan lah baru aku dan Benji dapat keluar lagi.

BenjiWhere stories live. Discover now