Diari

62 3 0
                                    

Sepanjang sebulan itu, aku tak pernah berhenti menulis. Kebanyakannya aku menulis pasal kehidupan aku saja. Aku buat buku yang Benji berikan kepada aku itu seperti diari. Aku bawa buku itu ke mana saja aku pergi. Aku takut pula kalau ada orang lain baca diari aku itu. Benji pun aku tak bagi baca sebenarnya. Pernah sekali dia minta nak baca penulisan aku tetapi aku tak benarkan. Sebab aku malu. Benji sampai merajuk tak nak bercakap dengan aku seharian. Aku menjadi serba salah pula. Selepas itu, Benji tak pernah bertanya pasal penulisan aku lagi dah. Mungkin sebab dia tak nak kena reject lagi dengan aku agaknya. Aku hanya membuat andaian.

Selama sebulan itu juga Benji sambung menghasilkan beberapa buah lukisan lagi. Aku sentiasa menemani Benji setiap kali dia melukis. Sebab aku rasa seronok dan tenang saja melihat dia melukis. Kadang-kadang, aku dan Benji juga mengisi masa kami dengan membaca novel yang kami baru beli tempoh hari. Kami berdua sering membaca novel di bilik buku. Sampaikan bilik buku itu sudah menjadi tempat lepak aku dan Benji. Kalau tak di bilik buku, kami berdua pasti di loteng. Dua tempat itu sajalah yang menjadi tempat kami melepak sejak kebelakangan ini.

Tiba saja hari yang Benji merancang untuk membawa aku pergi tengok galeri seni itu, kami berdua sekali lagi cuba menyelinap keluar daripada kediaman itu. Dengan cara yang sama kami gunakan iaitu memakai baju hoodie untuk menutup kepala dan muka kami. Benji juga memakai topeng yang sama untuk menutup separuh mukanya yang berparut itu. Kali ini juga kami berdua berjaya keluar tanpa sebarang masalah. Selepas itu, aku hanya mengikut saja langkah Benji. Aku memang percaya saja ke mana dia membawa aku pergi. Daripada menaiki bas sehinggalah aku dan Benji menaiki kereta api, kami berdua tak berhenti bersembang panjang.

Semalam, aku pastikan Benji tidur awal. Katanya dia tak akan boleh tidur awal kalau dia tidur seorang saja. Jadi, malam tadi aku mencari keberanian untuk curi-curi keluar daripada bilik pekerja selepas aku pastikan Kenit, Abu dan Alang sudahpun tidur mati. Malam tadi aku tidur di bilik dengan Benji. Semata-mata nak pastikan dia tidur awal. Aku tak nak dia buat kerja gila lagi sampai tak tidur seharian hanya sebab teruja nak keluar. Kadang-kadang Benji ni perangai macam budak kecil pun ada aku rasa. Tetapi aku sering layankan saja perangai kebudakannya itu.

Kali ini aku sudah berani menaiki kereta api. Aku sudah tak gayat dan takut lagi. Jadi, Benji sudah tak boleh mengejek aku lagi. Perjalanan kami hari itu memakan masa yang lama juga berbanding semasa kami pergi ke bangunan berkembar yang besar bulan lepas. Kata Benji, galeri seni yang dia nak bawa aku pergi itu terletak jauh juga di hujung bandar. Tetapi dia nak juga bawa aku pergi tengok galeri seni itu walaupun jauh. Aku hanya ikutkan saja.

Sampai saja kami di galeri seni itu, mulut aku terlopong melihat galeri seni yang penuh dengan lukisan yang berbakat dan hebat itu. Benji juga kagum melihat lukisan-lukisan yang ada di situ. Benji mengajak aku untuk berjalan dan melihat dulu pameran lukisan-lukisan yang ada di situ. Katanya, pertunjukan bermula lambat lagi. Jadi, kami berdua pun menghayati satu per satu lukisan seni yang ada di dalam galeri seni itu.

Semua lukisan yang dipamerkan di galeri seni itu sungguh terperinci dan halus. Aku rasa lukisan Benji juga sama hebat dan sama cantik seperti lukisan yang ada di dalam galeri seni itu. Aku rasa kalau Benji letak lukisannya di situ, sudah pasti aku tak dapat bezakan mana satu lukisan Benji dan mana satu bukan. Sebab semuanya sama cantik. Aku memandang muka Benji yang sedang meneliti lukisan-lukisan di situ.

"Aku tahu aku handsome. Tak perlu tengok aku lama-lama" kata Benji setelah perasan aku memerhatinya lama. Aku jadi meluat pula mendengar apa yang dikatakannya itu.

"Bila masa pulak aku tengok kau. Aku tengok lukisan ni lah" balas aku bersahaja lalu mengalihkan pandangan aku kepada lukisan di depan aku. Benji hanya tersenyum saja memandang aku.

"Benji.... Kau tak nak mula berkarya semula ke?" soal aku dengan suara yang perlahan. Sebenarnya aku cukup takut untuk bertanyakan soalan itu kepada Benji. Selama ini aku hanya simpan dan pendam saja persoalan aku itu. Tetapi sekarang ini aku sudah tak tahan lagi. Benji terdiam seketika mendengar soalan aku itu sambil termenung memandang lukisan di depannya.

"Tipulah kalau aku cakap aku tak nak berkarya semula. Tetapi sekarang ni belum masanya lagi" balas Benji cuba menjawab persoalan aku tadi.

"Tak kesah lah bila pun kau akan mula berkarya semula, aku akan tetap menjadi peminat nombor satu kau tau" ujar aku. Tiba-tiba aku rasa malu pula dengan apa yang keluar daripada mulut aku sendiri. Muka aku mula merah padam.

"Apa kau cakap?" soal Benji sambil tersenyum. Aku terus berjalan laju meninggalkan Benji.

"Aku akan ingat sampai bila-bila janji kau ni tau" kata Benji sambil berjalan laju untuk mengejar aku.

"Huh? Tak dengar" balas aku buat-buat tak dengar. Benji hanya ketawa saja.

Setelah puas berjalan melihat semua lukisan di dalam galeri seni itu, aku mengikut Benji untuk ke tempat pertunjukan. Sampai saja di tempat pertunjukan itu, aku dapat lihat banyak kerusi yang telah disusun untuk penonton. Benji mengajak aku berjalan ke kaunter tiket. Dia menunjukkan telefon pintarnya kepada orang yang menjaga kaunter itu. Mungkin Benji nak tunjuk tiket yang sudahpun dibelinya di atas talian agaknya. Selepas itu, aku dan Benji dibawa masuk untuk duduk di kerusi yang ditetapkan untuk kami berdua.

Aku baru tahu rupanya itu merupakan pertunjukan seorang pelukis seni yang sangat popular. Kata Benji, pelukis itu seorang lagenda. Benji sangat meminati pelukis itu. Patutlah dia beria sangat nak ajak aku datang ke galeri seni itu. Apabila diberitahu yang pelukis itu adalah idola Benji, aku merasa teruja pula. Sudah pasti pelukis itu sungguh hebat orangnya sampai Benji pun minat sangat dengan beliau.

Apabila pertunjukan itu bermula, pelukis yang terkenal itu menunjukkan macam mana beliau melukis menggunakan pasir. Semua penonton boleh melihat hasil tangannya itu melalui skrin yang terpancar di bahagian depan bilik itu. Aku merasa sangat kagum melihatnya bermain dengan pasir untuk menghasilkan beberapa lukisan yang sangat cantik. Sebelum ini aku tak pernah tahu pun yang kita juga boleh melukis menggunakan pasir. Pelukis terkenal itu memang bukan calang-calang orangnya. Memang patutlah pun Benji minat sangat dengan beliau.

Setiap kali pelukis terkenal itu menghasilkan lukisan, semua penonton bersorak riang sambil menepuk-nepuk tangan kerana kagum melihat bakatnya. Aku juga turut sama menepuk-nepuk tangan aku. Aku curi-curi memandang Benji. Dia sangat fokus memerhati skrin yang terpancar di depan. Aku pasti dia juga tengah berasa teruja dan kagum sekarang ini dapat melihat pertunjukkan idolanya itu.

Selepas habis saja pertunjukan pelukis terkenal itu, terdapat pertandingan melukis pula yang diadakan oleh pihak berkuasa galeri seni itu. Kata mereka, siapa yang menang pertandingan itu akan dapat hadiah istimewa daripada pelukis terkenal itu sendiri. Jadi, Benji pun mengajak aku untuk memasuki pertandingan itu. Walaupun sebenarnya aku tak pandai langsung melukis, tetapi aku masuk juga pertandingan itu semata-mata nak teman Benji.

BenjiWhere stories live. Discover now