Mengajar

74 3 0
                                    

Setelah sekian lama Tuan Benjamin mendiamkan diri dan tenggelam dalam fikirannya, tiba-tiba dia bangun daripada kerusinya dan berjalan ke arah sebuah almari buku. Dia seperti sedang mencari sesuatu. Aku pun tak tahu apa yang sedang dicarinya itu. Aku hanya berdiri saja di sebelah meja panjang itu dan memerhatikannya daripada jauh. Almari buku yang aku kemas dan susun tadi sudah mula bersepah semula gara-gara Tuan Benjamin. Sakit pula hati aku. Tetapi aku hanya biarkan saja. Siapa lah aku nak mempersoalkan majikan aku.

Beberapa lama kemudian, Tuan Benjamin pun berjalan semula ke arah aku sambil memegang sebuah buku yang nipis tetapi besar di tangannya. Lalu, dia meletakkan buku itu di atas meja dan membuka buku itu di depan aku. "Cuba kau tengok ni. Ni huruf apa?" soal Tuan Benjamin sambil jarinya menunjukkan satu huruf yang besar dalam buku tersebut. Aku tak faham apa yang dia sedang cuba lakukan. Tetapi aku memang tak tahu huruf apa yang ditunjukkannya itu. Dah nama pun tak reti membaca kan. Mestilah aku buta huruf juga.

"Saya tak tahu, Tuan Benjamin" jawab aku dengan suara yang perlahan. Tuan Benjamin memandang tepat ke muka aku dengan dahi yang berkerut.

"Kalau kau tak reti membaca, macam mana kau reti bercakap?" soalnya lagi. Dia masih lagi tak percaya yang aku tak reti membaca. Dia ingat aku menipu dia lagi.

"Manalah saya tahu, Tuan Benjamin. Saya dengar dan ikut je apa orang sekeliling saya cakap selama ini. Memang daripada kecik lagi saya hanya belajar bercakap daripada apa yang saya dengar je" jawab aku dengan nada yang sedikit geram. Siapa saja yang tak sakit hati bila orang tak percayakan apa yang kita cakap? Tuan Benjamin masih lagi memandang aku. Tetapi dahinya sudah tak berkerut lagi. Sebaliknya mukanya kembali risau.

"Mmm... Ayah dan mak kau tak ajar kau membaca ke?" soal Tuan Benjamin pula dengan suara yang diperlahankan. Dia kelihatan seperti berat hati mahu bertanyakan aku soalan sebegitu. Aku terdiam seketika. Ayah dan mak aku? Mereka di mana sekarang ini pun aku tak tahu. Aku sudah bertahun lamanya hidup sendirian di jalanan. Kalau Pak Ali tak kutip aku dulu, entah berapa lama lagi aku hidup di jalanan. Teringatkan Pak Ali hati aku tiba-tiba menjadi sebak.

"Tak" jawab aku pendek. Aku pun sudah malas nak melayan karenah Tuan Benjamin sekarang ini. Dia anak orang kaya, mana tahu susahnya hidup anak jalanan seperti aku. Suka hati dia lah nak percaya ke tak. Aku sudah tidak peduli lagi.

"Serumpun rupanya kita ni" kata Tuan Benjamin dengan suara yang sayup. Aku memandang mukanya. Raut wajahnya rumit. Entah mengapa aku nampak mukanya seperti sedang bersedih. Atau mungkin imaginasi aku saja.

"Takpe. Jom aku ajar kau" sambungnya lagi lalu mula duduk semula di kerusi. Aku terkejut sedikit mendengar katanya itu. Dia nak ajar aku membaca? Biar betul Tuan Benjamin ni.

Lalu, Tuan Benjamin pun menyuruh aku duduk di sebelahnya. Aku hanya akur saja. Dan mulai hari itu, dia mula mengajar aku mengenal dan menulis huruf ABC. Satu hari, satu huruf dia ajarkan kepada aku. Daripada tulisan aku seperti cakar ayam sehinggalah tulisan aku sudahpun boleh dibaca. Setiap hari Tuan Benjamin akan memberikan aku tugasan untuk menulis semula huruf-huruf ABC yang telah diajarkannya kepada aku. Dia memberikan aku sebuah buku conteng untuk aku siapkan tugasan menulis yang diberikannya itu. Aku berasa sangat teruja dan seronok setiap hari sebab aku sudah semakin pandai mengenal dan menulis huruf ABC.

Aku sudah tak sabar lagi nak menunggu Tuan Benjamin untuk mengajar aku mengeja dan membaca pula. Namun, Tuan Benjamin kata masih terlalu awal lagi untuk aku mula belajar mengeja dan membaca. Dia menyuruh aku mahirkan dulu penulisan huruf aku dan menghafal semua huruf ABC yang telah aku pelajari. Disebabkan terlalu teruja sangat belajar tentang huruf hari-hari, aku tak sedar sudah sebulan berlalu. Sudah sebulan juga aku mula bekerja dengan Tuan Benjamin. Tetapi aku tak rasa aku bekerja sangat pun dengan dia. Macam dia pula yang bekerja dengan aku. Sebab dia banyak mengajar aku.

Pada mulanya, aku ingatkan Tuan Benjamin ini sombong dan garang. Tetapi rupanya dia sangat suka berkongsi ilmu dengan aku. Tak pernah kedekut sedikit pun. Walaupun aku sangat lembab dalam mengenal dan mengingati huruf-huruf ABC yang diajarkannya, tetapi dia sekalipun tak pernah marahkan aku. Malah, dia sangat penyabar orangnya. Aku masih tak faham kenapa dia bersembunyi daripada orang luar di dalam kediaman itu. Tak mungkin hanya kerana mukanya yang berparut daripada kesan terbakar saja dia bersembunyi di dalam kediaman itu. Aku pernah terasa ingin bertanya kepadanya tetapi risau sekiranya pertanyaan aku itu akan membuatkannya sedih. Jadi, aku hanya simpan saja pertanyaan aku itu.

"Esok kau cuti kan?" soal Tuan Benjamin kepada aku sesudah saja dia melihat buku penulisan aku. Dia kata dia sangat berpuas hati dengan penulisan huruf aku sekarang. Katanya, tulisan aku semakin kemas dan cantik. Hati aku berasa gembira mendengar pujiannya itu.

"Yup" jawab aku ringkas. Esok merupakan hari minggu. Kebetulan kali ini aku bercuti pada hari minggu. Walaupun aku sudah mula bekerja dengan Tuan Benjamin, tetapi aku masih lagi diberikan satu hari bercuti setiap minggu.

"Kau nak buat apa esok?" soal Tuan Benjamin lagi.

"Tak tahu lagi, Tuan Benjamin. Kenapa?" soal aku pula. Aku pun pelik kenapa tiba-tiba dia tanya pasal hari cuti aku pula. Selalunya pada hari cuti, aku memang akan terperap saja di dalam bilik aku.

"Saja tanya pun tak boleh ke?" kata Tuan Benjamin. Cara dia bercakap masih lagi tak berubah. Sedikit kasar. Tetapi aku sudah mula terbiasa dengan cara dia bercakap.

"Mestilah boleh, Tuan Benjamin. Saya pun tanya je" jawab aku selamba. Tuan Benjamin hanya tersenyum mendengar jawapan aku. Sejak kebelakangan ini, Tuan Benjamin sangat suka tersenyum kepada aku. Hati aku rasa cair pula melihat senyumannya yang manis itu.

Pada keesokan harinya, seperti biasa aku hanya terperap saja di dalam bilik. Kenit, Abu dan Alang masih lagi bekerja hari ini. Hari cuti kami berempat jarang-jarang sekali nak sama. Sebut pasal Kenit, Abu dan Alang, mereka bertiga pernah sekali bertanya kepada aku ke mana aku sering hilang awal pagi dan mengapa aku sering pulang lewat malam juga ke bilik. Mereka bertiga juga pelik kenapa aku sering hilang pada waktu makan.

Pada mulanya, aku pun tak tahu alasan apa yang patut aku berikan. Sehingga aku mula bertanya soal itu kepada Tuan Benjamin. Dia hanya suruh saja aku memberitahu Kenit, Abu dan Alang yang aku sudahpun diculik oleh hantu selama ini. Pelik-pelik saja jawapan Tuan Benjamin itu. Akhirnya, aku hanya memberitahu mereka bertiga yang aku sendiri meminta kerja lebih daripada Encik Shuib sebab aku perlukan wang lebih. Nasib baik mereka bertiga percaya saja dengan alasan aku itu.

Hari cuti aku selalunya berlalu dengan begitu cepat sekali. Namun, hari cuti aku kali ini terasa begitu panjang dan membosankan. Tak kira lah berapa lama aku mengelamun dan termenung, hari itu masih lagi tak berganjak. Aku sudah mula naik muak melihat dinding bilik aku itu. Lalu, aku pun merancang untuk keluar sekejap ambil angin luar. Apabila aku membuka saja pintu bilik itu, tiba-tiba muka Encik Shuib terpampang di depan mata aku. Aku terkejut beruk. Nasib baik aku tak ada masalah jantung. Kalau tak, aku sudah lama kena heart attack di situ.

"Budin, ada pelawat nak jumpa kamu di luar kediaman" kata Encik Shuib menjelaskan kehadirannya ke bilik aku itu. Mendengar saja perkataan pelawat itu mata aku mula bersinar dan hati aku menjerit girang. Muka Pak Ali dan Pak Ajis berlegar-legar di minda aku.

"Hari ini kamu cuti kan?" soal Encik Shuib. Aku hanya menganggukkan saja kepala aku.

"Pergi lah keluar dengan pelawat kamu. Saya benarkan kamu keluar memandangkan kamu pun cuti hari ni" kata Encik Shuib lagi memberikan kebenaran kepada aku untuk keluar daripada kediaman itu.

"Terima kasih, Encik Shuib" balas aku lalu berlari laju menuju ke pagar kediaman itu. Hati aku sudah tak sabar lagi nak berjumpa dengan Pak Ali dan Pak Ajis.

BenjiWhere stories live. Discover now