Bab 62

1.9K 39 0
                                    

Kirana begitu asyik mengunyah asam yang dibeli tengah hari tadi tanpa menyedari ada seseorang sedang menghampirinya. Dia tahu, Ashraff melarangnya untuk memakan asam tetapi hatinya benar-benar sakit dengan tindakan suaminya tadi. 

Beriya betul suaminya bersedih ketika mereka melawat jenazah arwah Sofea tengah hari tadi. Sampaikan Kirana cuba pujuk pun, tidak diendahkannya.

Kirana cuba mengambil perhatian Ashraff dengan membeli sepaket asam di hadapan suaminya. Itupun Ashraff tidak peduli. Ashraff langsung tidak menghalangnya. Betullah, Ashraff masih sayangkan arwah Sofea, bisik hati Kirana.

"Sayang?" tegur Ashraff. Kirana yang ralit memakan asam sedari tadi, tersentak. Dia berpura-pura tidak melihat suaminya sambil mengusap perutnya. Pandangan dialih ke arah hadapan. Ashraff duduk di sisi Kirana sebelum mengambil asam yang berada di pegangan isterinya.

"Kenapa sayang makan asam ni? Kan abang dah pesan, sayang tak boleh makan asam ni," tegur Ashraff. Kirana hanya mendiamkan diri. "Sayang, abang mintak maaf. Abang tak sedar apa yang abang buat hari ni dah buat sayang kecik hati dengan abang.

Sumpah, abang tak berniat nak sakitkan hati sayang. Abang cuma-"

"Cuma sedih sebab cinta pertama abang dah tak ada kat dunia ni kan?" Kirana mencantas kata-katanya. Ashraff menghela nafas. "Sayang, abang tak maksudkan macam tu. Abang tak fikir macam tu pun, percayalah cakap abang ni," pujuk Ashraff.

"Habis tu, abang fikir macam mana? Kira tak buta, abang. Kira nampak abang sedih sangat bila tengok jenazah arwah cik Sofea tadi. Macam arwah tu masih... masih isteri abang, masih abang cinta.. masih abang sayang sepenuh hati." Sebak hati Kirana apabila menuturkan ayat itu.

"Sayang...."

"Kira tahu, Kira tak patut rasa cemburu pada arwah. Arwah dah tak ada. Tapi Kira tak dapat tipu hati Kira sendiri yang Kira cemburu. Abang tahu kenapa Kira beli asam ni?

Sebab Kira nak abang tumpukan perhatian abang pada Kira. Tapi apa abang buat? Abang buat tak tahu aje bila Kira beli asam ni. Kira bukan beli sorok-sorok, depan mata abang Kira beli.

Abang cakap apa sebelum ni? Abang takkan izinkan Kira makan makanan yang tak sihat macam ni kan? Tapi tadi abang biar aje Kira beli asam ni. Kenapa sekarang tiba-tiba abang tak bagi Kira makan pulak?" Air mata yang ditahan tadi, menitis juga di pipi mulus Kirana. Ashraff menundukkan wajahnya. Dia tahu semua ini salahnya.

"Abang tahu abang salah. Abang mintak maaf, sayang," ucap Ashraff. Kirana tidak membalas, sebaliknya dia mengambil semula asam itu dari pegangan suaminya.

"Sayang, abang tak izinkan sayang makan asam tu," tegah Ashraff.

"Abang tak payahlah risaukan Kira. Setakat makan asam ni, paling teruk pun Kira cuma sakit perut aje. Tak matilah kalau makan asam ni." Kirana tahu, ayatnya itu agak kurang ajar, tetapi hatinya terlampau sakit dengan sikap tidak endah Ashraff padanya.

"Astaghfirullahal'azim. Sayang, kenapa cakap macam tu? Abang tak bagi, sebab abang sayangkan Kira. Abang tak nak sayang sakit. Abang sayangkan anak kita yang sayang tengah kandungkan ni. Sayang, sayang cakap dengan abang. Apa yang abang perlu buat supaya sayang maafkan abang?" tanya Ashraff.

Kirana hanya membisu.

"Sayang? Pandang abang?" Ashraff menggamit Kirana supaya isterinya itu memandangnya. Kirana masih membatukan diri. Wajah Ashraff langsung tidak dipandang. Air mata Kirana, Ashraff seka perlahan. Kemudian dahi isterinya dikucup penuh kasih. Tubuh kecil Kirana dipeluk.

"Abang mintak maaf, sayang. Abang betul-betul tak berniat nak abaikan sayang macam tadi. Ya, abang mengaku, abang sedih sebab arwah tu cinta pertama abang. Lagipun, dia ibu kandung kepada anak-anak abang. Mestilah abang sedih bila arwah meninggal.

Tapi percayalah cakap abang, sayang. Abang tak pernah terdetik pun nak sakitkan hati sayang. Abang mintak maaf sangat-sangat sebab perbuatan abang dah buat sayang terluka," pujuk Ashraff lagi. Kirana menolak tubuh Ashraff supaya menjauhinya. Wajah tampan Ashraff ditatap tanpa perasaan.

"Kira rasa, Kira tak layak untuk abang. Apa guna Kira terus jadi isteri abang kalau abang masih cintakan perempuan lain? Kira cuma nakkan kasih sayang abang, cinta abang. Kira nak semua tu untuk Kira sorang aje. Kira tak nak kongsi cinta abang dengan orang lain.

Tapi, abang dah buktikan yang dalam hati abang masih ada ruang untuk arwah. Dan dalam hati abang tu, takkan ada sesiapa boleh dapat tempat yang istimewa macam arwah cik Sofea. Jadi Kira dah buat keputusan, Kira akan mengalah." Jantung Ashraff sudah berdebar tatkala mendengar ayat isterinya.

"Sayang..."

"Lepas Kira bersalin nanti, abang lepaskan Kira. Anak ni, Kira akan jaga sendiri. Kira takkan susahkan abang langsung. Lagipun, abang sendiri tak nak perkahwinan ni daripada awal lagi kan? Abang cuma, pura-pura bahagia aje dengan Kira. Hakikatnya abang tak bahagia pun.

Cuma Kira terkilan, kenapa abang tak nak berterus-terang dengan Kira pasal perasaan abang? Abang tak yakin, Kira boleh terima? Yes, memang Kira tak boleh terima. Tapi Kira lebih tak boleh terima hidup bahagia sedangkan orang yang Kira cinta terseksa hidup dengan Kira!" ujar Kirana sebelum bangun dari gazebo.

Ashraff baru sahaja hendak mengejar langkah Kirana apabila dia terlihat isterinya memaut tiang gazebo sambil memegang perutnya. "Sayang? Sayang kenapa ni? Sakit ke?" tanya Ashraff. Kirana mengerang kesakitan.

Ashraff tidak menunggu lama. Dia terus mencempung tubuh isterinya sebelum dibawa ke kereta. Dia sempat berpesan pada Nadine yang kebetulan berada di hadapan pintu rumah untuk menjaga Haikal. Di dalam kereta, Kirana sudah menangis teresak-esak sambil menahan kesakitan.

MY BELOVED BABYSITTER (complete ✅)Where stories live. Discover now