Bab 18

2.5K 61 2
                                    

Tersentak Kirana apabila terpandang kelibat Ashraff berdiri di muka pintu. Alamak! Dia dengar ke apa yang aku cakap tadi? Malunya! Mana nak sorok muka aku yang comel ni? Renungan Ashraff buatkan dia tidak keruan.

Sudahnya dia hanya berdiri membatu di sisi katil Haikal. Jari-jemarinya bermain dengan hujung baju tidur. Ashraff yang sedari tadi hanya memerhati, mengukir senyuman. Comel, bisik hatinya.

Kaki diatur merapati isteri yang sudah tidak senang duduk itu. Merah padam wajah Kirana lagi-lagi apabila suaminya hanya merenung ke arahnya tanpa berkelip. Kirana sudah berkira-kira hendak berlalu ke sofa, namun tangan Ashraff pantas menghadangnya.

Kini, Kirana berdiri di antara Ashraff dengan katil Haikal. Tiada ruang untuk dia memboloskan diri memandangkan Ashraff semakin merapatinya. Kirana melarikan pandangan ke arah lain, cuba menghilangkan debaran di hati.

"Awak ada apa-apa nak cakap dengan saya tak, Kirana?" soal Ashraff.

"C-c-cakap apa, encik?" Tergagap-gagap Kirana menyoal semula.

"Kenapa?" Kali ini Kirana memberanikan diri menatap mata suaminya. Pertama kali wajah mereka serapat itu. Dia tidak jadi bertanya semula apabila renungan mata Ashraff mematikan segala sendinya.

"Awak tahu kan, kenapa saya berkahwin dengan awak? Kenapa awak perlu jatuh cinta dengan saya?" tanya Ashraff.

"S-saya tahu, encik. Tapi, tak boleh ke saya nak jatuh cinta dengan suami saya sendiri?" Dalam kecewa, Kirana masih menyimpan harapan.

"Tak boleh, Kirana. Saya takkan jatuh cinta pada awak. Cukuplah Sofea seorang yang saya cinta. Cukuplah dengan dia, saya bahagia." Hancur berkecai hati Kirana mendengarnya.

"K-kalau macam tu, kenapa encik tak kembali pada cik Sofea? Nad kata, mama dia dah bercerai dengan suami baru dia. Kenapa encik tetap nak berkahwin dengan saya walaupun encik tak bahagia?" tanya Kirana sambil cuba menahan sebak.

"Sebab jodoh saya dengan Sofea dah berakhir. Jodoh saya dengan awak, Kirana. Tapi itu tak bermakna saya cintakan awak. Saya terima jodoh saya dengan awak dengan redha." Semudah itu jawapan Ashraff.

"Kalau redha, kenapa encik tak nak cuba?" Ashraff menggelengkan kepalanya.

"Saya tak nak cuba. Saya selalu berdoa, semoga Allah tutup pintu hati saya untuk perempuan lain selepas Sofea. Dan itu termasuk awak, Kirana." Tanpa dapat ditahan lagi, air mata Kirana tumpah juga. Ashraff bersimpati tetapi dia perlu berterus-terang. Dia tidak mahu mengecewakan harapan Kirana lagi. Biarlah Kirana berhenti berharap padanya.

"Encik akan cer-ceraikan s-saya ke satu hari nanti?" tanya Kirana, sebak.

"Kalau Allah kata jodoh kita setakat itu saja," balas Ashraff. Serentak itu, dia menjauh dari Kirana. Kaki diatur ke arah katilnya. Kirana menekup mulutnya, menahan tangisan daripada keluar. Air mata yang jatuh diseka.

"Saya nak awak berhenti berharap pada saya, Kirana. Saya tak mampu untuk cintakan awak. Saya akan tunaikan apa saja yang awak nak, tapi bukan cinta. Saya mintak maaf, Kirana," ucap Ashraff. Kirana menoleh sambil cuba mengukir senyuman.

"Tak apa. Saya faham. Saya akan cuba untuk singkirkan perasaan yang saya ada untuk encik. Kita cuma perlu berlakon depan Nad aje kan? Tapi kalau satu hari nanti, encik dah tak perlukan khidmat saya lagi sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak encik, saya harap encik boleh lepaskan saya." Kirana membalas.

Tanpa berkata apa-apa lagi, Kirana melangkah ke arah sofa sebelum berbaring. Ashraff hanya memerhatikan tingkah isterinya. Dia terpaksa berterus-terang. Biarlah Kirana kecewa sekarang daripada dia kecewa di kemudian hari. Ashraff membela perbuatannya.

"Selamat malam, encik." Ucapan Kirana itu membuatkan Ashraff tersentak.

"Hm, selamat malam." Lampu bilik ditutup dan serta-merta keadaan bilik menjadi gelap. Namun Kirana tidak dapat melelapkan mata. Masih terngiang-ngiang ucapan suaminya tadi.

Kenapa dia harus jatuh cinta bila dia tahu dia akan kecewa juga akhirnya? Dan kenapa dia harus ada rasa sayang walaupun dia tahu tak ada yang sudi menyayangi? Ashraff tidak mencintainya, Nadine juga membencinya.

Tetapi Kirana tidak menyesal menyayangi Nadine. Dia ikhlas sayangkan anak tirinya seperti anaknya sendiri. Tetapi suaminya? Dia menyesal jatuh cinta pada suaminya. Hatinya ngilu. Rasa sakit menyucuk ulu hatinya.

Dalam diam, dia berdoa semoga Allah menutup pintu hatinya untuk jatuh cinta lagi. Cukuplah Ashraff seorang yang dia cinta. Cukuplah dia kecewa apabila Ashraff menolak cintanya secara terang-terangan. Kirana berdoa semoga dia kuat untuk terus berpura-pura menjadi isteri kepada seorang lelaki bernama Ashraff Nadim.

MY BELOVED BABYSITTER (complete ✅)Where stories live. Discover now