"Dari mana kau dapat maklumat ni?"
Niyaz menguap malas. Menutup mulut yang terkuak sambil hadiahkan satu jelingan tajam kepada Alanna. Jemu dia melayan penulis banyak songeh sorang ni. Dah banyak kali terang pun masih tak nak terima. Lepastu dia dituduh pula beri maklumat palsu.
"Kau tipu eh?"
Tahap kesabaran Niyaz berada di titik terendah. Lagi-lagi Alanna menuduh. Bukan sekali tapi hampir lima kali wanita itu melemparkan tuduhan. Dia yang mulanya santai sudah terbantai. Serasa mahu mencekik-cekiknya Alanna. Begini rupanya deal dengan perempuan! Banyak sangat kerenah. Ini tak betul, itu tak betul. Stress!
"Aku tak tipu la." Niyaz campak pen. Dia lipat tangan ke dada dengan riak meluat. Seakan merajuk pun ada lagaknya.
"Kan aku dah cakap yang aku dapat tu semua melalui mimpi. Apa yang susah sangat hang nak faham ni. Hang ingat aku ni otak seni sangat ka sampai nak reka semua benda tu? Kalau aku ni pandai sangat reka storyline macam tu silap-silap aku ni dah jadi penulis terkenal tahu, kalahkan hang yang tak seberapa ni." Geram Niyaz. Langsung tak mahu menghadap Alanna, rela dia mengira urat pada daun hijau yang melingkar di bingkai tingkap di luar.
Alanna menarik tangannya dari papan kekunci. Tarikan dan hembusan nafas dilakukan berkala bagi menenangkan diri. Dia lirik Niyaz yang memasang ekspresi monyok di sana. Serta-merta timbul perasaan bersalah kepada lelaki itu.
Ini kali pertama mereka berdua bertemu dan berbincang perihal manuskrip. menggali plot dan kisah sebenar dari salah satu watak novelnya. Sebaliknya, lain pula kejadiannya. Lelaki itu sepertinya sudah merajuk.
Bukannya Alanna tak mahu menerima informasi yang Niyaz berikan, cuma dia kurang yakin.
Benarkah? Dari mana? Macam mana?
Semua itu bermain dalam fikiran. Terutama setelah dia menerima sekeping kertas A4 yang Airen berikan. Semua persoalan berselirat dalam kepala dan bila mereka bersemuka hari ini, Alanna mahu menggali kesahihannya tetapi Niyaz pula tak mahu memberi kerjasama.
"Kalau dari mimpi aku pun boleh dapat idea tu. Tak payah susah-susah nak minta tolong kau." Alanna mengeluh.
"Dah tu hang mimpi la sendiri," sahut Niyaz. Ringkas dan padat.
"Berapa kali tah aku nak habaq. Apa aku cakap tak mau caya, susah la macam ni. Ingat aku ni apa? Satgi aku buat mulut kuang ajaq kan teriak pulak," gumam Niyaz pada diri sendiri, kesal. Haish panas ni panas!
Alanna menghela nafas. Mahu tak mahu dia harus mengalah dan berbicara dengan lelaki itu baik-baik.
Buang jauh-jauh sifat tak mahu kalah, Alanna cuba meredakan keadaaan, memadam api lelaki itu.
"Sorry okay." Lembut Alanna memohon.
"Apa?"
"Maaf. Aku minta maaf. Jangan lah emosi macam ni. Kita sembang baik-baik."
Seakan disimbah dengan air dingin, bara api itu terpadam perlahan-lahan. "Okay maaf diterima," balas Niyaz. Suka dia bila Alanna mengalah.
Alanna memutarkan mata ke atas sebelum dia hadiahkan senyuman palsu buat Niyaz yang baru sahaja berpaling ke arahnya.
Entah lah. Pelik betul lelaki seorang ni. Tak pernah Alanna jumpa lelaki macam tak cukup kasih sayang seperti Niyaz. Niyaz tak nampak matang langsung bagi Alanna. Seperti budak-budak, cepat meledak tika tak berpuas hati dan cepat sejuk kalau ada yang memujuk.
Kadang-kadang sukar untuk Alanna percaya yang Niyaz itu lelaki berusia 26, gayanya macam budak 17! Manja macam kanak-kanak. Memang malang siapa dapat lelaki ini. Alanna yang baru kenal pun rasa dah nak kibar bendera putih kalau tak memikirkan perjanjian mereka.
YOU ARE READING
C| MANUSKRIP
Horror[PARANORMAL + SLIGHT ROMANCE] Kerana sebuah manuskrip mereka dincar oleh makhluk tak kasat mata yang mahukan keadilan akan kematiannya. Seorang memanggil. Seorang mencari. Dan dia pula... telah lama menanti manusia serakah yang mahu menentang dan...