Part 6

3.3K 142 0
                                    

"Adik, maafkan ibu ya tak boleh teman adik berniaga nasi lemak pagi ni. Ibu rasa tak sedap badan pula." Puan Hajar mendekati Afaf yang sedang menyusun lauk-pauk nasi lemak di dalam kereta kancil itu untuk dijual pagi ini.

Setiap hujung minggu, mereka berdua akan keluar pergi membeli stok barangan nasi lemak. Masuk sahaja hari bekerja, pagi mereka akan sibuk dengan persiapan membuat nasi lemak. Perjalanan hampir memakan setengah jam kerana tempat mereka berniaga itu memang menjadi tumpuan memandangkan di situ ada sebuah sekolah dan juga tadika dibuka di sana. Jadi, Afaf perlu bersiap awal. Mujur waktu subuh sekarang awal, jadi tidaklah dia kalut.

"Ya Allah, ibu. Apa pula nak minta maaf. Adik okaylah. Macam tak biasa." Afaf menoleh lalu menggengam tangan Puan Hajar lembut. Selepas solat subut tadi, Puan Hajar ada mengadu tidak sedap badan. Afaf nak bawa Puan Hajar ke klinik tapi dia menolak pula. Afaf nak paksa, tapi orang-orang tua ni memang tak mahunya.

"Semua barang dah siap? Ada lagi yang tertinggal?" Soal Puan Hajar sambil matanya turut meliar ke dalam kereta kancil milik Afaf. Bonet belakang ditutup setelah memastikan bekas-bekas berisi lauk-pauk itu disusun rapi. Kalau salah susun nanti, mahu terbalik pula bekasnya, naya pulak Afaf nak basuh dan kemas.

"Dah ibu. Semua dah settle. Tengok kakilah." Gurauan Afaf mendapat tamparan di lengan. Afaf tersengih. Sengaja ingin megusik.

"Okaylah kalau macam itu. Hati-hati, ya." Afaf hulurkan tangan untuk bersalam. Tangan tua Puan Hajar dicium lembut.

"Doakan adik, ya." Dan itu dibalas dengan ciuman di dahi Afaf dan dibacakan sepotong surah lalu ubun-ubun Afaf dihembus lembut.

"Dah, ibu masuk dalam rehat. Jangan buat kerja berat tau. Balik nanti biar adik yang kemas rumah." Sempat dipesan sambil mata Afaf sengaja bulat memandang Puan Hajar. Ibunya ini makin dilarang, makin dia buat juga. Persis seorang Afaf juga.

Puan Hajar hanya mengangguk saja. Dia masuk ke dalam rumah sebaik saja kereta milik Afaf menghilang dari pandangan.


"Anggun, cepat sikit bersiap."

"Anggun, apa yang lama sangat dekat atas tu? Tidur balik ke macam mana? Dari tadi walid panggil tak dengar."

"Anggun tak ingat ke hari ni sekolah. Jangan mengelat, ya. Cepat."

"Anggun Mikayla, sebelum walid naik atas baik Anggun turun."

Pagi itu hanya bergema dengan suara Affan. Siap bercekak pinggang lagi seorang Affan. Puan Aida dan Encik Fathi yang sedang duduk di ruang tamu hanya menggeleng saja. Mereka bertiga sudah siap bersarapan. Setiap pagi ada saja drama dua beranak itu. Anggun yang kadang-kadang sentiasa menguji kesabaran Affan.

"Sabarlah walid. Anggun tengah bersiap cantik-cantik nak jumpa dengan kakak manis." Anggun yang sudah siap dengan berbaju tadika menyapa mata Affan. Beg warna ungu kosong juga turut dijinjit atas bahu. Bibir menyengih lebar sambil kaki menuruni anak tangga satu persatu. 

"Walid, tolong dandan rambut Anggun." Affan hanya menggeleng pasrah. Getah rambut yang dihulur oleh Anggun, Affan ambil. Sempat hidung Affan tercium bau dari Anggun. Bukan main wangi lagi Anggun setiap kali dia nak ke sekolah. Kalau hari lain, jangan harap.

"Amboi anak dara sorang ni, bukan kemain wanginya. Hari lain punya payah nak mandi." Sempat Affan mengusik. Anggun jeling saja. Nak marah tapi memang betul pun.

Kedua-dua lutut Affan jatuhkan di belakang badan Anggun. Rambut Anggun yang separas pinggang itu Affan genggam menjadi tiga bahagian. Tangan lincah berkerja membentuk dandan yang Anggun mahukan.

"Walid, nah anak patung, belajar buat dandan. Sebab Anggun tengok rambut kawan Anggun cantik." Affan yang ketika itu duduk melayan perasaan tersentak bilamana Anggun muncul bersama patung barbie di tangan.

"Eee... tak mahulah walid. Anggun ingat walid ni budak kecik nak main anak patung?" Affan buat muka geli. Ditolak anak patung itu menjauh.

"Anggun teringin nak dandan juga macam kawan Anggun. Walid tak sayang Anggun, huarggh..." Anggun mula berdrama. Dipeluk tubuh lalu membelakangi Affan. Merajuk.

Affan senyum geli hati. Tubuh yang tadi bersandar duduk menengak. Ditarik hujung gaun Anggun. Nak merajuk tapi duduk sebelah dia juga. "Aloloo, sayang walid. Sini, walid tengok budak cengeng ni."

"Anggun tak cengenglah." Berpaling juga bila suara Affan memujuk lembut. Anggun mana pernah merajuk lama-lama dengan Affan. Seminit pun tak sampai sebab Affan ada kuasa yang mampu menundukkan seorang Anggun.

"Ya Allah, Along. Mengelamun pula dia. Anggun dah berdiri tercongak nak salam tu." Bahu Affan Puan Aida tepuk. Hampir 10 minit juga Affan begitu.

Affan usap leher perlahan. Tangan disua kepada Anggun yang masih setia berdiri di hadapannya. Anggun senyum lalu tangan besar Affan dia cium hormat. Affan pula hanya mengusap ubun-ubun Anggun.

"Eh Anggun tak sarapan dulu?" Soal Affan lalu bangun membontoti langkah Anggun yang sudah keluar. Encik Fathi pula sudah siap menunggu di dalam kereta.

"Tak. Hari ini Anggun nak makan nasi lemak kakak manis." Setelah kasut dipakai, Anggun kenyit mata lalu berlari anak menuju ke bahagian penumpang. Affan sarung selipar dan dia menghampiri Encik Fathi.

"Hari-hari ke Anggun makan nasi lemak abah?" Soal Affan setelah menyalami Encik Fathi.

"Ha..."

"Tak adalah walid. Anggun takut gemuk." Pantas Anggun memotong percakapan tokbabanya.

Melihat kelakuan Anggun yang tidak memandangnya, tahulah dia. Patutlah Anggun tak nak dia yang hantar ke sekolah. Selalu merap dengan Encik Fathi sebab Anggun tahu Affan kadang-kadang juga menjaga pemakanan Anggun. Kalau Encik Fathi, dia melayan saja kerenah cucu. Sayang cucu katakan.

"Along hari ni ada di cafe atau macam mana?" Tidak mahu memanjangkan isu dua beranak itu, Encik Fathi menyampuk.

"Hari ini dekat cafe abah. Nak tunggu si budak Khairil tu nak bukak cafe sekali. Setiap hari Ahad selalu tak on time."

"Tokbaba cepat, nanti habis." Anggun mengoncang lengan Encik Fathi lembut. Setelah itu, barulah kereta milik Encik Fathi meluncur laju. Affan pula hanya menggeleng saja. Dia juga berlalu masuk ke dalam rumah untuk bersiap.


AFFAN_ADRAWhere stories live. Discover now