Part 18

2.8K 144 10
                                    


"Ice latte, cik."

Afaf segera mengangkat wajah. Buku kecil yang dalam pegangan sedari tadi cepat-cepat dia tutup kembali. Wajah Afaf jelas nampak kecewa bila dia lihat Khairil yang menghantar minuman ini.

"Jangan risau. Bukan saya yang buat, bos yang buat." Khairil tolak lebih dekat ice latte kepada Afaf. Bibir mengoyak senyuman tipis. Dijeling sebentar Affan yang masih berdiri statik di kaunter cafe. Afaf turut berbuat hal yang sama namun lelaki itu cepat-cepat membelakanginya.

Afaf mengeluh berat dan tunduk kembali.

"Terima kasih." Afaf mencapai ice latte lalu disedut perlahan. Pada masa yang sama untuk menghilangkan resah di dalam hati.

"Enjoy your coffee." Khairil segera berlalu.

Afaf yang baru sedar akan sesuatu cepat-cepat matanya meliar di atas meja. Namun, kosong saja. Hanya ada ice latte yang dia pegang. Resit atau apa-apa sticky note yang selalu dia dapat tidak ada.

Afaf mengeluh lagi. Nampaknya lelaki itu sudah tidak sudi dengannya. 'Apa lagi yang kau harapkan, Afaf?'

Afaf meletakkan ice latte di atas meja lalu dia bangun dan melangkah ke arah rak tadi. Buku yang dia pegang tadi dia letakkan semula di tempat yang dia ambil tadi. Dia termenung seketika sambil fikirannya jauh melayang mengingatkan apa yang dia nampak di dalam buku itu.

Perlahan-lahan jari jemarinya dilarikan di sekitar leher yang ditutupi tudung sarung. Diusap perlahan kesan torehan di dada yang memanjang itu dan jemarinya tehenti pada sesuatu yang bergantung di situ. Bibir mengoyak senyuman tipis. Diusap benda yang bergantung itu dengan satu rasa yang menenangkan.

"Hai, kakak manis." Afaf kembali pusing belakang sebaik saja dia disapa oleh suara kanak-kanak perempuan. Anggun menyengih lebar dan dengan tangan yang dipenuhi buku-buku mewarna dan segala peralatan sekolah, Anggun melabuhkan punggung di kerusi kosong berhadapan Afaf.

"Anggun, dari mana ni? Kenapa kakak tak nampak pun Anggun?" Afaf melangkah ke arah Anggun dan pipi Anggun dicubit geram. Rindunya dia dengan si cilik ini.

Anggun hanya tayang wajah pasrah bila dia tidak sempat melarikan wajahnya menjadi mangsa cubitan Afaf. Walid dengan Afaf sama saja perangai. Suka cubit pipi!

Afaf hanya ketawa bebas. Dia kembali semula ke kerusi tadi dan punggung dilabuhkan di situ. Ada Anggun di sini, makin lama pula dia akan melepak. Mesti ibu akan tertanya-tanya ke mana dia pergi. Lagipun dia ada memaklumkan nak keluar sekejap saja.

"Anggun duduk dekat sana tadi." Mata Afaf dilarikan ke arah yang ditunjukkan oleh Anggun. Tempat yang Afaf nak duduk tadi. Rupanya kanak-kanak perempuan yang dia lihat tadi adalah Anggun.

"Kakak pergi mana? Lama Anggun tak nampak kakak?" Anggun kerdipkan mata memandang Afaf. Kaki juga digoyang.

"Kakak ada saja Anggun. Kakak masih lagi jual nasi lemak. Cuma kakak tak jual dah depan sekolah Anggun." Sesekali ice latte itu dihirup lagi.

"Kakak. Anggun tadi, kan naik moto dengan walid datang sini. Walid itu kalau naik moto bukan nak ingat dengan orang belakang. Menonong dia potong sana sini. Anggun pula yang terpaksa cubit perut dia sebab bawa macam nak pergi batu dua. Penat betul Anggun dengan walid." Megah Anggun bercerita. Dia siap buat gaya lagi macam mana Affan meunggang motosikal ducati mereh itu.

Afaf yang mendengar cerita Anggun hanya menggeleng pasrah. Sesekali dia ketawa dengan memek muka Anggun. Tidak dapat dia bayangkan cara Anggun cubit perut Affan. Bukankah keras? Erk? Mana kau tahu Afaf? Afaf cepat-cepat menggeleng apabila fikirannya mula memikirkan hal-hal nakal.

"Tak padan tangan kecik, ada hati nak cubit perut keras walid." Anggun berpeluk tubuh sambil mengajuk cara Affan bercakap.

Afaf yang mendengar terasa berpasir air liur nak ditelan. Macam tahu saja apa yang difikirannya saat ini. Memerah pipi Afaf. Laju saja kedua tangan naik menekup pipi yang terasa hangat. Tidak cukup dengan itu, dikibas-kibas pula.

Anggun yang melihat kelakuan Afaf tersengih sumbing. Dalam fikiran dia ada sesuatu yang dia fikirkan. Aci tak ya kita kenakan kakak manis ini sikit.

"Kakak, nak jadi kawan Anggun tak?"

Anggun sempat mengerling ke arah Affan yang sedang berjalan menghampiri mereka dengan sepinggan croissant dan kek di tangan. Nampak smart dan hensem walidnya itu dengan berbaju tshirt lengan pendek dan tersarung apron cafe di tubuh badan tegapnya itu.

Khairil yang sedang memerhati kelakuan dua beranak itu hanya menggeleng pasrah. Dia sebenarnya sudah berpakat dengan Anggun tadi. Pada mulanya, Affan yang menyuruh dia menghantar dessert kepada Anggun. Namun, Anggun yang beria-ia tidak mahu. Anggun pula dia nampak Afaf ketika dia sedang memilih dessert di kauter. Jadi, dia lencongkan kaki ke arah Afaf. Segala peralatan mewarna tadi dia bawa sekali. Dessert tadi pula dia yang menyuruh Affan hantarkan ke meja.

"Eh, mestilah kakak nak. Anggun ni pun tanya soalan." Afaf mengekek ketawa. Bukankah mereka sudah jadi kawan? Lagipun hanya Anggun seorang yang sudi berkawan dengan dia.

Dia sudah serik sebenarnya nak berkawan dengan sesiapa. Di depan dia mereka baik, tapi di belakang dia mereka mengutuk fizikalnya. Dasar muka tembok. Sebab itulah dia bekerja sambilan hanya bertahan beberapa bulan dan sering kali bertukar tempat kerja. Penyudahnya dia meminta keizinan ibu untuk berniaga saja. Mujur ibu tidak membantah. Dan sekarang berkat doa ibu dan bantuan dari Khairil dia mampu untuk terus bertahan sehingga kini.

"Walid, kakak nak jadi kawan Anggun. Kira jadilah, ya." Mati terus ketawa Afaf. Dia terkaku sebaik saja Affan meletakkan sepinggan croissant coklat di atas meja. Dan sepinggan kek coklat pula ditolak ke arahnya.

Dia curi-curi memandang wajah Affan walaupun lelaki itu memakai penutup muka. Kedudukan mereka agak dekat memandangkan Affan sedikit menunduk ke arahnya. Cukup sekadar menghilangkan rasa resah yang membungkam dada, menghilangkan rasa rindu yang mencengkam jiwa. Dia hanya inginkan kepastian. Namun, lelaki itu pula hanya beriak biasa. Dia langsung tidak boleh mengagak apa yang dalam ada dalam fikiran lelaki itu.

"Malas walid nak layan Anggun." Affan tahu 'kawan' yang dimaksudkan oleh Anggun. Tapi, kalau sudah tuan badan tidak sudi, dia nak buat apa. Affan kembali tegakkan tubuh. Sempat dia kerling Afaf yang tunduk bermain dengan jari-jemari sendiri. Nampak resah dan tidak selesa. Bibir tersungging senyuman senget. Bukan dia tidak perasan gadis itu memandang dirinya.

'Apa tidak cukup bukti lagikah yang dia mahukan gadis itu?'

"Makan dan habiskan." Affan sempat memberi pesanan kepada Afaf sebelum berlalu pergi.

Afaf menoleh semula namun dia hanya disajikan dengan belakang tubuh Affan yang kian menjauh.

Afaf kembali memandang Anggun yang sedang menikmati dessert itu. Mendengar amaran dari Affan membuatkan dia kecut perut pula. Dicapai sudu kecil yang dilapik tisu dan dipotong kek menjadi kepingan kecil lantas disuap ke dalam mulut. Perfect. Mata Afaf terpejam merasai kelembutan kek coklat tersebut.

"Kakak, pipi kakak tu lekat bekas coklat." Teguran dari Anggun membuatkan Afaf segera membuka mata. Terlalu leka sehingga tidak perasan pipinya terkena coklat. Bibir dia tersengih malu. Diraba-raba pipinya ingin memastikan kata-kata Anggun. Betul kata Anggun. Pipi dia comot terkena lelehan coklat.

Afaf mencapai tisu tadi. Membulat mata dia ketika dia membuka lipatan tisu itu ada satu tulisan di situ.

"Terkadang DIA datangkan seseorang sebagai ujian. Namun, andai sebaliknya? Andai ianya merupakan sebuah kebahagiaan, kenapa perlu melepaskan? DIA tidak akan menggerakkan hati kedua-dua tanpa sebab.' (Fa)

So far, macam mana cerita ni? Boleh drop komen tak untuk saya perbaiki lagi.

AFFAN_ADRAWhere stories live. Discover now