29| Serpihan Memori 2

662 60 10
                                    

19xx

      Kali terakhir air mata ini menetes kerana kematian Neng si kucing betina bertompok hitam peliharaannya. Kehilangan Neng memberi impak yang besar kepadanya. Separuh nyawa juga turut terkubur dalam gundukan tanah merah bersama-sama bangkai si Neng yang malang.

Sedih yang dirasai berlanjutan lamanya dan mengubah dirinya yang ceria menjadi suram. Tiada lagi senyuman hangat di waktu pagi dan tiada gurau senda yang menghiburkan. Perubahan drastik itu menimbulkan kerisauan buat bonda dan bapak. Anak pertama mereka yang ceria seakan sudah mati.

Tidak hanya dua pasangan tua itu sahaja, Ratna juga turut kehilangan abang kesayangannya. Pelbagai cara sudah mereka lakukan untuk mengembalikan semangat pemuda itu. Namun semuanya tidak membuahkan hasil. Sehinggalah hati yang rawan itu kembali terubat dengan kedatangan seorang gadis sunti yang merupakan anak bangsawan tempat ia berkerja.

Kejora datang membantu. Memujuk dirinya yang kesepian dan sabar melayan kerenahnya. Gadis itu tidak lelah memberi kata-kata semangat. Menghapuskan jejak air mata yang bersisa dan memberi pelukan hangat setiap kali dia berada dalam keadaan terperuk.

Bermula dari status anak seorang majikan dan pekerja, bertukar menjadi teman mesra. Menjadi tempat bercerita, bersandar dan saling meminjamkan bahu jika antara mereka berada di titik terlemah.

Perasaan aneh juga mulai menjalar di sanubari. Menyebabkan detak-detik jantung semakin tidak normal tika mereka bertemu. Rona pipi bertukar merah. Rasa ingin melindungi dan memiliki semakin kuat di dalam diri. Sehingga satu kucupan lembut di dahi menyatakan segalanya.

Status mereka berubah lagi. Dari sekadar teman bertukar menjadi sepasang pasangan kekasih. Bercinta  secara sembunyi-sembunyi namun itu tidak menjadi penghalang, malah menguatkan lagi rasa cinta mereka.

Sayangnya panas yang disangka hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Tangisan pilu yang sepatutnya tidak berlaku selepas kejadian Neng, kini terjadi sekali lagi.

Dia diuji lagi dengan ujian dari Tuhan. Bukan kehilangan yang mematikan tetapi cukup memeritkan berbanding luka ditinggalkan kucing kesayangan. Jauh lebih terkesan dan membekaskan sayatan luka tak kesat mata yang panjang.

"Anak bonda... tabah ya." Usapan lembut di bahagian belakang sebelah badan bagai racun yang menular di sekitar bahagian tubuh. Semakin menggelatar dia menahan sesuatu dari terus terhambur. Dia yang sedia merunduk makin menyembunyikan kepala dengan satu tangan menggenggam dada yang semakin nyeri.

Tuhan katakan ini adalah mimpi. Dan bangunkan dia dari mimpi terburuk ini.

"Sudah lah Abang Jiwa. Tidak perlu menangisi kebahagian mantan mu. Abang layak bahagia sepertimana Kakak Kejora di singgahsana sana." Kata-kata dari Ratna menusuk dan menghancurkan.

Bibir yang bergetar menahan esakan diketap erat. Dia tidak mampu berbicara dan membalas omongan bonda dan adiknya yang setia berdiri di sisinya dan turut bersama menghadiri majlis penyatuan Kejora dan Aren.

Bulir-bulir air dari dua iris pudarnya semakin lebat turun dan jatuh setitik demi setitik ke tanah ia berpijak. Bahkan sapu tangan pemberian bonda beberapa waktu yang lalu tidak lagi berupaya menyerap air yang tidak henti mengalir.

Ya Tuhan ini begitu sukar.

Jiwa sebolehnya tidak mahu bonda dan Ratna khawatir. Dia mahu menghadiri majlis perkahwinan Kejora dengan senyuman yang paling indah. Dan menyokong pilihan Kejora. Tetapi ianya tidak berjalan sesuai keinginan.

Pada akhirnya Jiwa hanya seorang lelaki lemah kerana cinta.

"Lihat Abang Jiwa." Pinggang kirinya dicuit dengan hujung jari Ratna. Memaksa Jiwa untuk mendongakkan kepalanya.

C| MANUSKRIPWhere stories live. Discover now