5.2 Tawaran Istimewa

223 13 1
                                    

"Selamat pagi Uncle," aku memberi hormat kepada Uncle Neoh.

"Selamat pagi." Beliau membalas.

"Duduk sini Zek." Aku terus duduk di atas kerusi panjang di sebelahnya.

Walaupun aku kerap bertemunya, tetapi pertemuan kami pada pagi ini membuatkan aku berdebar-debar. Maklumlah awal-awal lagi Cathy telah memberi bayangan bahawa suatu perkara yang mustahak akan dibincangkan antara aku dengan Uncle Neoh.

"Zek ada rancangan apa ka cuti panjang ni?"

"Secara spesifik tu tak ada la. Tapi ada juga cadang nak mintak kerja sementara kat KFC atau pun mana-mana supermarket di SP. Boleh juga ada duit sikit nak belanja masuk U nanti."

"Bagus jugak kalau ingat macam tu. Ini Uncle ada satu cadangan, tapi boleh kata mau mintak tolong dengan Zek. Kalau Zek mau Uncle nak mintak Zek tolong kerja-kerja Nicky di Penang. Kira Zek kerja bawah dia la kat kilang buat baju tu. Dia sekarang sibuk sangat, selalu pergi balik KL. Lagi pun dia punya Assistant Manager sudah cabut, sementara mau cari ganti Uncle harap Zek dapat tolong dia."

"Saya tak ada masalah Uncle, tapi saya mana tau nak buat kerja apa, belum ada pengalaman."

"Itu Zek jangan susah hati, Nicky akan ajar satu-satu. Tapi kita mesti belajar cepat, kalau boleh Zek kena belajar semua hal kilang tu. Ini satu pengalaman yang baik, boleh belajar cara-cara berniaga. Zek boleh duduk dengan Nicky, pergi kerja sama-sama, makan sama-sama. Itu takda masalah. Zek tolong Nicky serupa tolong Uncle juga. Kilang itu kita punya. Macam mana?"

"Kalau Uncle mau bagi peluang saya belajar, saya kena ucap terima kasih la. Memang saya suka. Tapi saya kena tanya ayah saya dulu."

"Oh sudah tentu. Zek mesti balik bincang elok-elok dengan ayah, dengan emak, baru buat keputusan. Kalau semua setuju baru kita boleh kerja dengan senang hati. Kalau setuju Uncle akan bayar gaji satu bulan satu ribu. Cuti dua hari satu minggu macam biasa. Tapi kalau ada apa-apa mustahak, mau cuti, cakap dengan Nicky, no problem. Kalau boleh kerja sampai result keluar, baru boleh dapat belajar macam-macam. Untuk Uncle, itu yang paling mustahak untuk you, belajar. Bukan senang mau dapat ini experience." Aku mengangguk setuju, tetapi yang ligat bermain di kepalaku ialah aku akan dibayar sebanyak RM1,000 sebagai seorang pekerja sementara.

"Macam mana setuju tak?" Aku terkejut dengan pertanyaan Cathy dan tepukan tangannya di bahuku. Dia sudah bertenggek di sebelahku tanpa aku sedari. Aku terasa malu juga dengan keadaan ini, malu kepada Uncle dan Auntie yang ada sama. Tapi teringatkan Wellington, aku pura-pura seperti biasa sahaja.

"Saya setuju. Tapi saya akan confirm malam ni."

"Boleh, boleh. Take your time." Uncle menjawab.

Cathy menghulur cawan teh kepadaku. Aku terus menyambutnya. Kami semua minum bersama-sama.

"Zek jangan malu. Buatlah macam rumah sendiri. Bukan tak biasa datang sini." Auntie pula berkata. Agaknya mereka dapat merasai kegugupan yang melanda diriku. Gugup dengan tawaran yang sungguh lumayan dari Uncle.

Uncle bangun dan memberitahu yang dia akan ke pejabatnya dan meminta aku jangan pulang lagi kerana ingin aku makan tengah hari bersama mereka. Aku hanya mengangguk. Aku berborak-borak bersama Auntie apabila Kak Nah datang. Dia dan Auntie ke dapur untuk menyediakan makanan. Kini tinggal aku dan Cathy sahaja. Selalunya jika berdua-duaan pun, kami sentiasa ditemani oleh buku-buku pelajaran, itu pun di pondok khas yang di bina oleh Uncle untuk kami belajar. Aku tidak berapa selesa berada di ruang tamu ini lama-lama.

"Jom kita pergi pondok." Cathy bersuara. Terus saja aku setuju dan bangun. "You pergi dulu, I nak ambil makanan sikit."

Pondok ini mempunyai kenangan manis buatku dan juga Cathy. Di sinilah kami berdua bersama belajar setiap hujung minggu. Uncle Neoh membinanya khas untuk kami, memberi suatu suasana yang selesa, sunyi dan nyaman untuk mentelaah pelajaran dalam menghadapi peperiksaan STPM yang baru lepas. Uncle telah menyediakan semua keperluan kami, dari peralatan dan buku-buku manakala makan minumku pula disediakan khas oleh Kak Nah. Selalunya aku ke sini pada petang Khamis dan bermalam di rumah Pak Mat yang kini sudah menjadi ayah angkatku, dan pulang pada petang Sabtu. Pernah Uncle menjemput keluargaku makan tengah hari di rumahnya semasa aku di sini, tetapi aku rasa tujuan utamanya ialah untuk menunjukkan bagaimana keadaan aku dan Cathy belajar.

Cathy & ZackWhere stories live. Discover now