PERUT berkeroncong lapar minta disuap masuk kantung. Sejak maghrib lagi aku tidak makan gara-gara malas bersua muka dengan ibu. Duduk dalam bilik tak berbuat apa. Sekejap scroll Tiktok, sekejap mesej orang. Tak Fajar, Yumna. Tak Yumna, dua ketul gadis dekat asrama sana. Mai dikecualikan, sekian.
Sedikit pun Mai tak tanya khabar pasal aku. Lagipun, aku tak mengharapkan sepatah kata daripada dia. Entah-entah lagi suka Yad dah tak ada dalam hidup aku, rela tengok aku sengsara setiap hari.
Jarum jam panjang hampir menyentuh angka dua belas. Perutku berkeroncong buat kali kedua. Asbab lapar, aku selamba membawa diri keluar dari bilik tidur untuk menuju ke dapur. Moga-moga ibu sudah puas menjamu selera dan lepak dalam biliknya. Apabila tiba di ruang tamu, ayah dan Izz kusyuk melihat paparan di kaca televisyen. Wajah resah. Aku hairan, apa yang membuatkan mereka kelihatan sebegitu?
Saluran telingaku menangkap bait-bait ayat yang diucapkan oleh pembaca berita itu. Setelah mengambil masa beberapa saat untuk mengenal pasti topik apa yang dibualkan olehnya, aku berjalan ke arah ayah lalu membelakanginya. Turut serta menonton berita yang sudah tersebar luas satu Malaysia tentang tragedi pesawat terhempas di TUDM Kuching.
Pegawai atasan kelihatannya ditemu bual oleh wartawan yang datang ke tempat itu. Riak wajahnya yang tampak kosong menimbulkan rasa hiba dalam hati termasuklah aku. Namun, pada satu saat kesedihan ku bertukar kekecewaan.
"Kami mendapati bahawa terdapat kesan kelar di leher kedua-dua anggota tersebut sewaktu pemeriksaan forensik dijalankan. Saya syak ada di antara kami melakukan perbuatan aniaya tersebut atas sebab dengki terhadap arwah. Hati saya kuat merasakan yang bukan mereka berdua sahaja yang naik pesawat itu, tetapi ada seorang lagi mengikut mereka untuk menjalankan jenayah pembunuhan dengan sengaja. Selain daripada kesan kelar itu juga, ada hirisan halus pada lengan dan wajah mereka. Pasti mereka bergelut dengan pelaku itu sebelum dia keluar dari pesawat bersama payung terjun yang sedia tersarung pada belakang tubuh."
Seketika aku kelu. Jelingan pada hujung mata melirik kepada ayah, namun dia tidak memberi sebarang reaksi. Tampak... kosong.
"Yad... Meninggal sebab perbuatan orang?" bisikku sendiri. Kaget. Adakah parut yang terukir pada leher Yad merupakan kesan kelar daripada pelaku itu? Bukan gigitan wanita jadian?
Aku kembali fokus menatap kaca televisyen setelah melarikan pandangan beberapa saat memikirkan suatu kemungkinan. Telinga kusyuk mendengar. Banyak lagi benda yang aku langsung tak tahu apa-apa pasal kejadian menimpa Yad sehinggalah ayah mula mendedahkan hal sebenar.
"Masa ayah datang tengok jasad dia yang tak bernyawa atas tanah, ayah perasan ada luka pada lehernya. Panjang dia macam nak sembelih ayam tu, tau? Ayah pergi pula jenguk cari jasad arwah Sarjan Izhar, dia pun ada luka sama macam Yad. Dari situ ayah syak yang mereka meninggal bukan sebab masalah kerosakan enjin atau sebaliknya, tetapi angkara perbuatan keji seseorang terhadap orang yang tak bersalah. Ayah yakin kalau pelaku tu tak ada bersama mereka, kemalangan itu takkan terjadi. Pada pendapat ayah kan, ayah rasa macam... Semua ini sudah dirancang."
Kepalaku diteleng. Jari-jemari diramas lembut. Sebelum pengebumian arwah, aku perasan ada hirisan calar yang halus pada wajahnya. Tidak sangka ada hirisan lain yang lebih ngeri pada anggota tubuh yang lain. Lagipun tubuhnya sudah dibalut kemas dengan kain kafan. Bilanya nak perasan?
"Kenapa ayah tak bagitahu awal lepas jasad arwah dibawa balik ke rumah? Bukannya Ella ikut sekali masa tu, tahu-tahu keluar bilik tengok Yad pucat terbaring atas lantai. Kecewa Ella lepas dengar berita temu duga pegawai tadi." Aku menunjukkan reaksi kesal depan ayah dan Izz memandangkan mereka berdua saja pergi ke hospital pada ketika itu.
Ayah menghela nafas berat seraya memicit batang hidungnya dan menggeleng sedih. Mataku tertumpu pada Izz, dia sekadar angkat bahu. Kalau Izz pun tak tahu, aku lagilah tak tahu. Boleh saja ayah cerita pada aku tentang hasil pemeriksaan terhadap arwah. Aku berhak tahu segalanya pasal Yad, bukan membiarkan aku terkapai sendiri mencari penyebab atau sebaliknya.
YOU ARE READING
Di Lautan Biru [C]
RomanceKata orang, perempuan masuk bidang ketenteraan adalah manusia paling gila dan berani mati. Dianggap bersifat lemah dan semestinya tingkah laku feminin haruslah dijaga. Kelayakan badan beruniform hanya berpihak pada insan bergelar lelaki. Benarkah ke...