Bab 45

4.2K 231 12
                                    

"YAD sudah ditauliahkan sebagai Juruterbang Pesawat Pejuang, kamu ada apa? Acah eksen macam orang berpengaruh. Kamu takkan setanding Yad, Ella oi! Cukuplah berangan nak jadi macam arwah, memang tak tercapai niat kamu tu. Sedar diri darjat kamu sebagai seorang perempuan,"

Tujuan aku disuruh duduk di sofa ruang tamu semata-mata nak dengar ibu berceloteh ke? Sudah empat hari arwah pergi, ibu masih mahu menyembur aku dengan ayatnya yang konon nak bagi aku kesedaran. Nak buat aku tarik diri daripada jadi anggota TLDM agaknya.

Takkan. Aku akan teruskan juga perjuangan abang aku yang telah terputus dalam bidang ketenteraan. Cabang berbeza, tugas berbeza tetapi peranan yang sama.

"Sekurangnya Ella ada pangkat, bukannya kerja sebagai kerani pejabat. Walaupun baru pemula, tetapi peluang Ella untuk bawa diri ke darjat lebih tinggi tu ada. Selagi Ella masih hidup, selagi itulah Ella akan bekerja keras untuk kejar impian Ella sepertimana Yad kejar impian dia untuk menjadi skuadron terbaik. Pangkat tinggi tak mengira jantina, yang pasti orang yang berusaha keras nak mendapat nama layak mendapat jawatan itu. Dan Ella nak jadi sebahagian daripada diorang."

Ledakkan tawa ibu dibuat-buat. Terhibur atau mengejek? Tidak sama sekali aku bergurau bila sentuh soal pangkat dan kerjaya. Makin tinggi pangkat, makin tinggi tangga gaji. Siapa tak nak jadi orang berduit, kan?

Tawa ibu dimatikan. Renungan helangnya tepat memanah ke arahku. "Kamu dan Yad tak sama. Yad pelajar aliran sains tulen dan berkelulusan dalam jurusan undang-undang. Tambah pula dia dekan setiap semester. Semua usaha lelah Yad melayakkan diri dia untuk terima anugerah sebegitu. Rezeki dia melimpah ruah lepas masuk TUDM. Kamu ingat senang nak dapat anugerah sebanyak itu pada usia masih muda?"

Hatiku membara panas dari dalam. Suhu di muka kian terasa. Kalau tengok di cermin, pasti merah bak tomato yang masih segar rupanya. Tanganku menggepal penumbuk, cuba menahan amarah yang meronta ingin dilepaskan keluar.

"Ella tahu mohon kenaikan pangkat ada temuduga tapi Ella yakin Ella boleh lulus. Ella tak macam orang lain, mulut sembang kencang padahal buatnya tidak,"

Tubuh ibu sedikit membongkok. Senyuman sinisnya seakan mengejek aku. "Jadi kamu yakin kamu boleh jadi setaraf dia? Cuba sedar diri sikit, kamu tu perempuan! Tak manis bawa senjata pergi merata tempat. Tambah pula kena bersifat ala maskulin. Ibu tak suka."

Tergamam lalu mulutku sedikit melopong. "Bawa senjata tu masa dalam kem ajelah. Dan ibu kata ibu tak suka Ella masuk tentera? Bukan dulu ibu pernah lafaz rasa bangga dekat Ella ke lepas habis Passing Out Parade Ceremony?"

Sudut bibirnya jatuh melengkung. Riak angkuh ditayang.

"Bangga? Tch... Ibu malas nak dengar abang kamu membebel. Mengalahkan perempuan. Yad dengan ayah dua kali lima aje. Ibu berpura-pura bangga semata-mata nak tengok Yad gembira untuk sehari. Kalau tak, masam mencuka muka. Padahal ibu tengok hilang seri Ella sebab sunburn."

Pengakuan jujur dari buah mulutnya sendiri. Terima kasih, ibu. Sungguh, engkau sudah cukup menghiris hatiku. Sudah lama agaknya dia pendam rasa ini. Setelah Yad pergi, barulah ada kesempatan muntahkan semua benda yang dia pendam selama ini. Terbuktilah aura Yad mampu mendominasi personaliti seorang ibu sehingga berupaya menjaga tutur katanya selagi kehadiran Yad ada.

Seperti yang aku sangkakan, bola mataku berkaca. Pandangan kabur. Automatik kaki berdiri tegak lalu membawa diriku masuk ke bilik tidur. Suara ibu samar-samar menyusup masuk dalam corong telingaku.

"Itulah kamu, Ella. Sikit-sikit merajuk. Susah betul terima pandangan dan teguran ibu."

Krek... Bam!

Itu lebih kepada hinaan, bukan teguran ibu!

Pintu bilik dihempas kuat. Tombol dikunci. Aku menekup seluruh wajahku, bersandar pada pintu lalu terduduk kecewa. Teresak-esak melayan tangisan yang tersedu-sedu. Teringatkan sesuatu, aku merangkak lemah pergi ke katil lalu menyeluk sesuatu di bawah bantal. Diari merah dibawa keluar dan terus masuk ke dalam pelukanku.

Di Lautan Biru [C]Where stories live. Discover now