Bab 58

3.8K 235 19
                                    

ANGGOTA kepakaran yang baru mahupun lama berkerumun penuh di dataran pagi hari. Pancaran matahari baru naik di kaki langit. Silau. Topi yang dipakai pada kepala diturunkan sedikit bagi menghalang sinaran daripada terus menembus ke kornea mata. Mel menarik aku rapat dengannya sambil mencari kepakaran kami dalam kalangan mereka.

Leherku dipanjangkan sambil menjengketkan kaki mencari kelibat jurulatih kami di hadapan. Apabila para anggota mula berbaris dengan teratur dan ada jarak yang mengasingkan kepakaran, barulah terlihat Encik Izwan dan Encik Redza sedang mengawasi anak buahnya. Mel selamba menarik tangan aku bagai nak putus dari sendi lesung. Nasib sebelah kanan.

Aku berlari mencicit mengejar langkah Mel lalu masuk baris mengikut kumpulan. Memandangkan aku seorang saja ahli kumpulan tiga yang tinggal dengan ketiadaan Shah di sini, maka aku menyelinap masuk ke kumpulan dua iaitu kumpulan Clara. Dalam keadaan baris sedia, seluruh dataran bertukar sepi tatkala jurulatih lain mampir ke hadapan dengan wajah ketat.

Tetiba bunyi pintu dewan Sidek terbuka dari dalam. Encik Redza menjenguk keluar sambil memberi arahan agar semua anggota dibawa masuk dengan tertib. Bermula dari kepakaran pelaut di sebelah kanan dan seterusnya.

Tidak sampai lima minit, kami semua telah berada dalam dewan di tempat duduk yang disediakan. Apa yang mengejutkan adalah terdapat empat figura manusia tidak didedahkan identiti sedang melutut di atas pentas. Kepala disarung dengan kain hitam. Tangan diikat di belakang tubuh badan. Tidak lain tidak bukan pasti kroni Mai. Secepat itu Fajar memburu mereka berempat?

Namun, kelibatnya tiada. Hanyalah mereka berempat yang menjadi tontonan ramai buat masa ini. Suasana dewan yang riuh dengan suara para anggota berbisik antara satu sama lain langsung bertukar sepi dengan bunyi gemaan pintu dewan tertutup. Seketika semua orang menoleh ke belakang termasuk aku. Rahangku terjatuh sebaik sahaja melihat jejaka bertubuh tegap melangkah laju di laluan tengah dewan ini. Lebih menghairankan, ada wanita di sebelahnya bersama beberapa anggota pegawai polis mengekori jejaka itu dari belakang.

Mel menepuk bahuku perlahan seraya berbisik, "Itu bukan ke Clara? Kenapa dia dengan Encik Fajar?"

Bahuku dijongketkan bermakna tidak tahu sebarang cerita. Takkan Clara bersubahat dengan Fajar dalam misi mengejar mereka tempoh hari. Anggota polis bersama mereka mesti tahu kes yang berlaku dalam pangkalan ini.

"Reveal their identity, now!" arah Fajar tegas dan lantang. Aku yang dengar bukan setakat kecut perut, malah pundi kencing juga rasa nak pecah.

"Damn, he's scary..." Mel mencuit lengan baju seragam aku. Pandangan masih tertumpu atas pentas dengan beberapa orang jurulatih sedia berdiri belakang figura manusia yang membatu itu.

Fajar menaiki anak tangga dengan laju dan berdiri tempat di belakang figura nombor dua. Clara dan pegawai polis yang lain berdiri tegak beberapa meter jauh dari Fajar. Dalam kiraan tiga, kain hitam yang menutupi wajah mereka segera ditanggalkan. Seperti yang dijangka, seluruh dewan tergamam apabila melihat Mai, Hayyan, Nasran dan Rafael dalam keadaan tidak terurus. Tudung Mai senget-benget, baju mereka semuanya lusuh. Dah serupa baru tamatkan perang dunia.

Fajar mendekati podium yang terletak di sebelah kanan pentas lalu mencapai mikrofon yang tersedia di situ. Melakukan cubaan suara untuk memastikan mikrofon itu berfungsi dengan jelas dan baik.

"Mesti ada di antara kamu tertanya kenapa mereka berada di sini. Ada sesiapa tahu?"

Tiada seorang pun menjawab. Sepi memanjang.

"Saya ada penjelasan yang ingin dikemukakan kepada anda semua. Sebelum itu saya nak tanya, adakah kamu semua tau kes pembunuhan yang berlaku di rumah tidak berpenghuni sebelah padang bola yang luas itu?"

Di Lautan Biru [C]Where stories live. Discover now