BEBERAPA paparan gambar pada slaid menayangkan jenis-jenis sauh yang lazimnya digunakan oleh kapal perairan. Encik Izwan memberi kami masa untuk menghafal semua dua belas jenis sauh sebelum sesi soal jawab bermula.
Aku paling pantang bab menghafal. Kadang-kadang otak dapat serap dengan mudah, kadang-kadang bengong. Sekejap ingat, lepas itu lupa. Nama sauh pula ada yang bergabung dengan nombor. Lagilah biul otak aku nak hadam satu per satu.
"HY-09 AC-14 High Holding Power Anchor, HY-14 AC-14 Holding Power Balanced Anchor..."
Gigih aku cuba sumbat dua sauh utama yang digunakan dalam TLDM. Nampak sangat dah lama tak menghafal lepas nak dekat setahun tinggalkan zaman universiti. Itu baru dua, nama dahlah tak rilek. Belum campur lagi sepuluh kapal sauh yang lain.
Dewan kuliah yang sunyi diisi dengan bisikan suara yang sibuk menghafal. Bayangkan masa diberi sepuluh minit sahaja, mana sempat nak sumbat dua belas kapal sauh dalam otak. Encik Izwan lebih tegas berbanding Fajar. Muka nampak suci. Dah serasa Encik Izwan dan Fajar bertukar personaliti.
Mata dipejam rapat. Memaksa diri aku untuk fokus dengan hafalan yang tak berapa nak jadi prosesnya. Tanpa sedar, sepuluh minit sudah berakhir. Ini bermakna, sesi soal jawab akan bermula tidak lama lagi.
Paparan slaid baharu yang diatur Encik Izwan menunjukkan gambar-gambar kapal sauh tanpa nama khasnya. Otak aku automatik jatuh dari sarang. Terus segala jenis hafalan lenyap sekelip mata apabila ada ruangan kosong disediakan di bawah setiap gambar yang ada.
Aku toleh ke kanan, Mel seakan tahu aku memanggilnya tanpa bersuara sepatah kata. Serentak menggeleng kecil, pasrah awal jikalau Encik Izwan ingin mendenda kami. Kemudian aku menoleh pula ke kiri, Clara masih kusyuk dengan hafalannya meskipun Encik Izwan sibuk berucap di depan. Jari-jemari dilipat-lipat menunjukkan jumlah hafalan yang dia usahakan. Gila... Dah cukup dua belas jenis kapal sauh melekat dalam otak dia.
Mata aku terpandang ke arah Mai yang sedang menulis sesuatu di sebalik bekas pensilnya. Jangan-jangan dia menipu. Laju tangan buat kerja selit kertas tersebut bawah buku notanya.
Sontak Encik Izwan menepuk tangan, mengalihkan perhatian kami semua sehingga bungkam. "Baiklah, saya akan pilih secara rawak antara kamu semua untuk teka jawapan bagi setiap kapal sauh yang akan saya tunjukkan nanti. Get ready because each wrong question will have a punishment waiting for you."
Macam biasa, satu kesalahan satu dendaan.
Aku berpura-pura tunjuk lagak pandai termenung pada slaid itu. Cuba ingat sebanyak yang boleh selagi aku bukan jadi sasaran Encik Izwan. Kalau dapat dekat Fajar, memang dinosaur jadian itu sengaja nak kenakan aku.
Tolonglah pilih orang lain selain daripada aku. Sungguh aku tak mahu disoal jawapan yang aku tidak hafal langsung. Sebab itu aku pandang slaid, selalunya orang akan sasarkan mangsa yang menunduk memanjang.
Tetiba getaran telefon atas meja menerima mesej daripada penghantar menarik perhatian aku buat seketika. Izz mesej aku panjang meleret. Baru nak sentuh layar peranti tersebut, Encik Izwan melaung kuat nama anak buahnya di kumpulan satu. Hampir gugur jantung, ingatkan aku yang jadi sasarannya. Baguslah, selagi bukan aku mangsa dia, aku selamat.
Satu ketikan pada layar membawa aku pergi ke ruangan mesej Whatsapp dengan Izz. Bertubi-tubi barisan mesej dia hantar kepadaku. Tatkala satu per satu bait ayat dibaca, serasa perut dicengkam kuat dari dalam.
[Izz] Ibu terkena strok. Malam tadi dia muntah banyak kali masa makan dan terus pengsan. Ayah cuak, Izz pun dah gelabah. Jadi kami dua dah bawa ibu pergi kecemasan dan dia ditahan dalam wad untuk pemantauan.
YOU ARE READING
Di Lautan Biru [C]
RomanceKata orang, perempuan masuk bidang ketenteraan adalah manusia paling gila dan berani mati. Dianggap bersifat lemah dan semestinya tingkah laku feminin haruslah dijaga. Kelayakan badan beruniform hanya berpihak pada insan bergelar lelaki. Benarkah ke...