MESEJ tidak balas. Sudah hampir empat jam tersidai dengan satu tiknya. Online tidak. Seen lagilah tidak. Dibiar sepi dengan tanda tanya.
Apa khabar dia sekarang? Gigih sungguh nak kejar mereka berempat. Mana tahu sampai ke Johor lokasinya. Padan kata ambil masa tiga hari pulang. Clara juga sama tidak pulang sejak pagi tadi. Bukan aku seorang saja yang risau, Mel dah serupa cacing kepanasan tak tenang duduk. Sekejap simpan telefon, tak sampai dua minit buka balik skrin untuk menilik notifikasi yang masuk. Malangnya, hampa.
"Clara balas mesej kau tak?"
Mel menggeleng laju. "Encik Fajar?"
Aku balas perkara yang sama.
Kami serentak mengeluh berat. Jangan kata Clara senyap-senyap ikut Fajar kejar kereta Hayyan. Bukan boleh percaya Clara tu. Diam-diam ubi berisi.
Sepatutnya hari ini mereka semua menghadirkan diri ke kuliah untuk pengajaran seterusnya. Atas arahan Encik Redza, Mel hanya perlu menjaga aku di wad sehinggalah diberikan kebenaran untuk keluar. Adakah anggota lain tahu tentang kes ini? Sudah pasti. Siapa lagi kalau bukan Encik Fajar yang buka mulut kepada jurulatih lain. Bahkan, ada anggota dari kepakaran lain turut sama kecoh tatkala mendengarkan kejadian tidak sangka ini berlaku.
Andai kata empat setan jadian itu dibawa pulang ke pangkalan, mesti dihentam teruk oleh orang atasan.
Aku cuma ingin tahu perkembangan semasa Fajar di luar sana. Di mana keberadaan dia? Dengan malam tadi datang mengejut, lepas itu lesap macam pelesit. Kali terakhir aku melihat wajahnya adalah setelah aku dibawa masuk ke dalam keretanya. Udara penghawa dingin membuatkan aku terlelap. Mesti gambar muka aku tengah tidur penuh dalam galerinya. Tak sah kalau tak ada.
Tangan Mel tetiba merayap naik ke lenganku. Iris matanya seakan memanggil aku. "Kenapa ni? Ada apa-apa kau nak kata dekat aku ke?"
Senyuman nipisnya terbentuk. "Shah... Akan dikebumikan dekat kampung halaman dia jauh di Pahang atas permintaan keluarga dia. Encik Redza bagitahu dalam group tadi,"
"Hah, dekat group?" Lincah jariku menaip masuk kata kunci sebelum pergi ke aplikasi Telegram. JTP Junior Group dicari, lalu ditekan. Bait-bait mesej Encik Redza dibaca. Perasaan hiba hadir dalam diri tapi belum sampai tahap aku nak buat drama air mata di sini.
Cuma... Rasa bersalah sebab aku salah sangka padanya.
"Al-Fatihah..." Surah dibaca mengikut hukum tajwid yang betul. Baca dengan seikhlas hatiku. Tangan meraup wajah, baru aku rasa tenang. Semoga dia tenang di tempat barunya.
Mel melihat aku dengan riak datar. Bagaikan ingin meletus air matanya dari benteng. Tatkala aku selesai melafazkan doa, bingkas dia bangun dari tempat duduk. Meminta izin untuk bawa diri seketika di luar wad. Langkah demi langkah kelibatnya mula pudar dari pandangan mata.
Kini, aku seorang diri lagi sekali. Bunyi monitor tidak enak didengar dalam corong telingaku. Rasa seram. Nasib baik aku bukan ditempatkan dalam wad ICU, naya tengok pesakit kiri kanan tetiba tak bernyawa. Tak tentu pasal aku tengah tunggu giliran masuk alam lain.
Mindaku teringatkan kenangan aku dan Yad berhubung dalam talian semasa Navy Day hari itu. Suaranya masih aku ingat. Setiap mesej yang dia kirim kepadaku mesti asyik bertanya khabar tentang keadaan aku di sini. Bimbang jika ada perkara buruk terjadi padaku. Malangnya, memang benar terjadi selepas pemergian arwah. Nak mengadu, tak boleh. Buat panggilan sekalipun, siapa yang akan jawab? Karang ibu yang menjawab tak tentu pasal aku yang disembur.
Hm... Aku berfikir. Patutkah aku beritahu pada ayah atau Izz tentang keadaan aku masa ini? Takut pula ibu salahkan aku lagi sebab degil sangat nak masuk TLDM. Itulah padahnya acah berani. Sendiri terima akibatnya.
YOU ARE READING
Di Lautan Biru [C]
RomanceKata orang, perempuan masuk bidang ketenteraan adalah manusia paling gila dan berani mati. Dianggap bersifat lemah dan semestinya tingkah laku feminin haruslah dijaga. Kelayakan badan beruniform hanya berpihak pada insan bergelar lelaki. Benarkah ke...